Rate

Chapter 152

Romance Completed 26118

Bab 152

Apa lelaki itu fikir dia pelacurkah yang boleh dilanggani sesuka hati?

“Apa tuan cakap ni? Tuan dah salah faham tentang saya.”

“Saya salah faham tentang you? Saya tak rasa macam tu Duha? Berapa you dapat di Blue Ocean, saya akan bayar dua kali ganda.”

Duha Maisara terpaku mendengar kata-kata lelaki itu. Oh tuhan, apakah lelaki itu tahu di mana dia bekerja sebelum ini? Tapi tidak mustahil, kerana dia sendiri pernah terserempak Engku Iskandar di Blue Ocean sebelum ini.

Melihat gadis itu terdiam, Engku Iskandar merasakan jeratnya sudah mengena. Langkahnya makin mendekat. Tangannya tiba-tiba naik ke bahu Duha Maisara. Duha Maisara merasa debaran di dadanya semakin kuat.

“Tuan, tolong jangan buat macam ni.” Rayunya berkali-kali tapi tidak dipedulikan. Nafas Engku Iskandar turun naik. Wajahnya didekatkan ke arah Duha Maisara.

“Kalau tuan terus macam ni, saya akan jerit.” Ugut Duha Maisara.

Tindakan lelaki itu terhenti seketika apabila mendengar kata-katanya. Engku Iskandar tertawa kecil. “Oh nak jerit, ha tunggu apa lagi, jeritlah. Tapi siapa akan percaya perempuan sundal macam kau ni.”

Hatinya kian pedih. Dia menolak tubuh Engku Iskandar sekuat hati. Tapi tangan lelaki itu lebih pantas menangkap lengannya, lalu dipulas ke belakang. Duha Maisara mengaduh kesakitan apabila tubuh kecilnya dihumban ke arah kabinet dapur.

“Dengar sini sayang, aku cuma nak khidmat kau, itupun berbayar. Bukan free. Kau layan aku untuk malam ni, dan aku jamin hidup kau akan senang selama-lamanya.” Bisik lelaki itu di telinganya. Duha Maisara memejamkan matanya. Ya Allah, selamatkan aku dari manusia rakus ni. Berilah aku kekuatan untuk menjaga maruah diriku Tak putus-putus Duha Maisara berdoa begitu.

Dia mengucap selawat nabi dan menyebut nama Al-Rahman berulangkali. Sepantas kilat, dia menghantukkan kepalanya ke belakang, lalu terkena dahi lelaki itu menyebabkan pegangannya terlepas. Engku Iskandar mengaduh kesakitan. Hidungnya mula dibasahi darah pekat. Dia merenung Duha Maisara dengan wajah menyinga.

“Celaka betina ni. Kau nak mampuskah?” Jerkahnya cuba menerkam ke arah Duha Maisara, tapi sempat dielak oleh gadis itu. Dia segera meluru ke muka pintu, tapi serentak dengan itu langkahnya terhenti. Engku Iskandar turut terdiam. Matanya terpaku di hadapannya.

Di suatu sudut, muncul Engku Latifah bersama beberapa orang pekerja pejabat dan dua orang pengawal keselamatan. Mata wanita itu mencerlung tajam ke arah Engku Iskandar, sebelum dialihkan ke arah Duha Maisara yang serba salah. Duha Maisara semakin gugup. Wajah wanita di hadapannya itu benar-benar menakutkannya.

* * * *

“Tif, percayalah cakap abang, perempuan tu yang cuba goda abang.” Berkali-kali Engku Iskandar cuba menyakinkan wanita di hadapannya. Namun reaksi Engku Latifah tetap sama. Dia sudah buntu.

“Kalau abang tak bersalah, kenapa wajah abang tu lebam? Abang jangan nak tipu saya, saya ni adik abang. Saya kenal luar dalam abang. Saya tahu apa niat abang terhadap budak tu.” Balas Engku Latifah.

Entah kenapa, dia benar-benar panas hati dengan lelaki itu. Sejak muda sehingga ke tua, sifat hidung belang Engku Iskandar langsung tidak berubah. Pantang nampak anak gadis berdahi licin, pasti semuanya nak disambar.

“Apa kamu cakap ni Tif? Takkan kamu lebih percaya orang luar dari abang kamu sendiri? Memang perempuan tu yang tarik abang ke dalam. Dia cuba nak goda abang, tapi abang cuba mengelak. Lepas itu abang terlanggar kabinet sampai cedera macam ni.” Engku Iskandar memberi alasan.

Engku Latifah tersenyum sinis. Dia faham benar perangai lelaki itu. Entah apa malang kakak iparnya bersuamikan abangnya yang mata keranjang itu.

“Tif, abang dah cakap pada kamu, perempuan tu ada tujuannya mendekati Nashriq. Yang dia mahu cuma harta Nashriq bukan hatinya. Kalau kamu terus biarkan sahaja perempuan itu bekerja di sini, entah apa taktiknya lain kali,” canang Engku Iskandar.

“Lagipun kamu mahu ke menantu yang bersekedudukan dengan lelaki lain dan terus membiarkan Nashriq dipermainkan?” Lelaki itu terus mencucuk adiknya. Wajah Engku Latifah seakan terkejut mendengar kata-katanya.

“Bersekedudukan? Apa maksud abang?”

“Duha Maisara bersekedudukan dengan lelaki bernama Zafran. Kononnya lelaki ini abangnya padahal mereka langsung tidak ada apa-apa hubungan. Sekarang dia tinggal di apartment lelaki itu di Jalan Semarak.” Ujar Engku Iskandar. Melihat Engku Latifah termenung panjang, bibirnya melemparkan senyuman dalam diam-diam. Dia tahu kata-katanya mula termakan oleh wanita itu.

“Kalau kamu tak percaya, abang ada buktinya.” Sambungnya lagi. Wanita itu memandangnya seperti ingin mengatakan sesuatu. Namun keluhan berat terdengar dari bibir Engku Latifah. Entah kenapa, dia benar-benar bingung kali ini.

******

“Apa patut Duha buat Pak Mat? Duha takut kena buang kerja,” luah Duha Maisara pada Pak Mat yang menjadi pendengar yang setia sejak tadi.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang akan dijelaskan oleh Duha kepada Engku Latifah?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience