Rate

Chapter 175

Romance Completed 26118

Bab 175

“Kamarul kawan aku Asri, kawan baik aku. Aku tak boleh tutup sebelah mata bila Zoey datang merayu. Lagipun anak tu tak salah apa-apa.”

“Gila. Kau betul-betul dah gila kali ini. Kau sedar tak perkahwinan kau dengan Latifah baru masuk dua minggu?” Dia menyoal adiknya itu. Hatinya separuh geram dengan keputusan Zainal.

“Asri, kau tak faham. Zoey nak anak tu aku yang bela.”

“Tapi kenapa? Bukankah dia ada keluarganya sendiri?”

“Dia nak anaknya duduk dalam keluarga Islam. Dia mahu darah daging Kamarul dibesarkan secara Islam. Aku tak boleh menolak hasrat dia, Asri. Lagipun ada sebab lain kenapa Zoey perlukan aku yang menjaga anaknya.”

“Sebab lain?” Dia mengerutkan dahinya. Hairan dengan kata-kata adiknya itu.

“Aku tak boleh beritahu kau sebabnya Asri. Bukan sekarang.” Jawab lelaki itu. Mendengar kata-kata Zainal, dia sudah kematian idea mahu terus membantah. Bulat matanya memandang wajah adiknya Zainal yang sejak dulu berhati lembut.

Asri mengeluh panjang. Bagaimana kalau Zoey yang pernah disebut oleh Zainal suatu ketika dahulu adalah salah seorang anak mendiang Steven Wong, bekas ketua kongsi gelap Black Parade? Apakah kematian Zainal berkaitan dengan kumpulan itu? Mungkinkah mereka tahu siapa sebenarnya Nashriq yang dibawa pulang oleh Zainal 27 tahun yang lalu?

Dia memandang ke arah Nashriq yang kelihatan baru selesai berbincang dengan lelaki yang berkemungkinan salah seorang klien syarikatnya. Kedua-dua lelaki itu bersalaman, sebelum lelaki yang seorang lagi beredar pergi. Namun tubuh Nashriq masih duduk santai di situ sambil termenung panjang.

Perlahan-lahan Asri melangkah ke arah anak muda itu. Kehadirannya langsung tidak disedari oleh Nashriq. Dia seolah terbuai dalam mimpinya sendiri.

“Naz…,” panggil Asri.

Nashriq berpaling. Wajahnya berubah tatkala memandang lelaki itu. Sedangkan Asri dengan selamba sudah mengambil tempat di hadapan lelaki itu. Wajah Nashriq dipandang tidak berkelip. Dia mahu menduga apakah anak muda itu masih mengenalinya.

“Pak Cik Asri?” Sebut Nashriq hampir tidak percaya. Asri hanya tersenyum.

******

“Sudahlah Sue, jangan nak ajar ayah pula. Ayah tahu apa yang ayah buat. Lagipun ayah dah beri mereka peluang. Masih ada seminggu lagi untuk mereka cari wang itu dan bayar pada ayah.” Ujar Dato’ Mustadza sambil melangkah pantas menuju ke arah dewan utama Hotel Istana. Dia sedang menghadiri jemputan jamuan makan makan di situ.

Suraya berlari-lari anak, mengejar atur langkah lelaki itu. Dia mengeluh panjang. Lelaki itu tetap dengan kedegilannya yang entah bila hendak surut.

“Tapi memaksa mereka macam ni bukan jalan penyelesaian yang Sue mahukan ayah. Tolonglah. Tolong jangan jual saham ayah tu pada A&K Corporation, dan jangan sesekali ayah tarik diri dari Mega Timur. Mereka perlukan sokongan ayah.” Pujuk Suraya tidak pernah putus asa.

Langkah Dato’ Mustadza mula perlahan. Dia berpaling memandang Suraya yang nampak termengah-mengah.

“Sue ni nak jadi apa hah? Bukankah ayah dah pesan suruh Sue berhenti kerja dari Mega Timur dan bantu ayah di syarikat kita. Tapi Sue berdegil, terus juga nak bekerja di situ, lepas tu menangkan orang luar dari ayah Sue sendiri.” Marah Dato’ Mustadza.

“Ayah tak faham. Sue sayangkan ayah, sebab tu Sue tak mahu ayah buat perkara yang mungkin akan ayah sesali nanti. Ini bukan sikap ayah yang sebenarnya. Bukankah ayah pernah ajar Sue yang kita sesekali tak boleh gunakan cara kotor untuk memenangi pertempuran yang kita tahu kita akan kalah.”

Dato’ Mustadza merenung anak gadisnya dalam-dalam. “Jadi Sue tuduh ayah guna cara kotor untuk kenakan Mega Timur, begitu?”

Suraya menarik nafas berat. Dia memandang ayahnya dengan pandangan sayu. “Maafkan Sue ayah. Tapi bagi Sue, apa yang ayah buat ni adalah cara kotor yang paling licik. Tak apalah ayah, ayah fikirkanlah perkara ni baik-baik. Sue nak balik ke Mega Timur. Walau apapun tindakan ayah, Sue akan terus berdiri menyokong Nashriq dan Puan Engku.” Ujar Suraya lalu melangkah pergi dari situ.

Terkelip-kelip mata Dato’ Mustadza memerhatikan anak gadisnya pergi dengan rasa hampa. Dia menarik nafas panjang. Suraya kelihatan beria-ria mahu membantu Mega Timur. Malah di wajahnya tidak langsung terdapat riak kecewa seperti beberapa minggu yang lalu. Apakah benar Suraya sudah tidak kisah dengan kejadian dulu? Apakah tindakan aku benar-benar telah melampaui batas seperti yang dikatakan oleh anak itu? Dato’ Mustadza mulai rungsing.

Tanpa sedar, suatu kelibat tubuh sedang mengintai gerak geri Dato’ Mustadza dari balik tirai banner yang terpasang. Dia mengetapkan bibirnya. Kata-kata Suraya jelas di pendengarannya. Dengan wajah Dato’ Mustadza begitu, tidak mustahil rancangan yang telah mereka atur bakal terjejas.

...bersambung

Bab akan datang:

Siapakah yang mendengar perbualan Dato’ Mustadza dengan Suraya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience