Rate

Chapter 136

Romance Completed 26118

Bab 136

Dia menguap menahan kantuk yang masih terasa. Cahaya matahari yang mencelah masuk dari celah tirai jendela yang sedikit terselak, menganggu penglihatannya. Dia menggosok-gosok matanya yang terasa pedih. Duha Maisara segera menolak kain selimut ke tepi katil. Dia termenung panjang.

Peristiwa semalam masih menganggu perasaannya. Dia cuba mendengar bunyi dari luar biliknya. Zafran sudah pergikah atau masih berada dalam rumah itu? Namun suasana sunyi yang menyelubungi rumah itu membuatkan dia yakin yang lelaki itu sudah beredar.

Duha Maisara segera mandi dan bersiap. Dia harus ke pejabat awal-awal pagi lagi, kerana begitulah pesan Nashriq petang semalam. Sebaik selesai berpakaian, Duha Maisara segera keluar dari bilik. Matanya masih mengawasi kelibat Zafran biarpun dia yakin lelaki itu sudah pergi.

Namun melihat jarum jam dinding yang masih menunjukkan waktu masih awal, Duha Maisara segera berkejar menyiapkan minuman di dapur. Tapi sewaktu melewati meja makan, dia terpandang sekeping nota dilekatkan di peti ais. Dia tergaman. Semalam nota itu tidak ada di situ, bagaimana hari ni boleh ada pulak? Dari Zafran barangkali, duga Duha Maisara.

Dia segera mencapai helaian nota ringkas itu, lalu dibaca.

Duha, maafkan abang sebab hal semalam. Abang terlalu marah sehingga lupa menjaga hati dan perasaan Duha. Abang nak kita macam dulu, sebab abang terlalu rindukan saat-saat dulu.

Duha Maisara termenung panjang. Kata-kata di dalam nota itu membuatkan perasaannya tersentuh. Apakah mereka masih boleh seperti dulu? Bercanda dan bergurau tanpa ada perasaan menyakiti dan disakiti? Dia kembali menyambung baris ayat yang belum sempat dibacanya.

Institusi Al-Raudah mencari Duha sejak dua tiga hari yang lalu. Maaf kerana abang lupa memberitahu Duha semalam. Duha pergilah ke sana nanti. Maaf sekali lagi dari abang.

Kali ini Duha Maisara tersentak. Al-Raudah? Ada sesuatu berlaku pada ibunyakah? Dia mula gusar. Wajah ibunya bermain di matanya tak kunjung padam sebaik dia memasuki perut teksi.

“Encik, bawa saya ke Al-Raudah,” beritahu Duha Maisara kepada pemandu teksi itu. Saat itu, keadaan ibunya lebih penting dari segala-galanya yang dia ada.

******

Nashriq memandang jam di tangannya. Hampir pukul 10 pagi namun kelibat Duha Maisara tidak kelihatan langsung. Dia mendengus separuh geram. Mana dia ni tak sampai-sampai? Dia tak tahukah yang masa itu amat penting untuk bekerja di syarikat seperti Mega Timur Construction? Nashriq merungut sendiri.

Namun panas baran Nashriq datang bukan kerana keterlewatan Duha Maisara, tapi kerana majlis semalam yang membuatkan dadanya berombak besar. Dia benar-benar berang apabila mengetahui tujuan sebenar ibunya menyuruhnya datang.

Mulanya dia tidak mengesyaki apa-apa yang aneh malam itu. Tapi apabila wanita itu membuat pengumuman tentang pertunangannya dengan Suraya, wajahnya terus berubah. Dia memandang Suraya yang turut menatapnya. Gadis itu kelihatan serba-salah. Tapi raut wajah gembira yang terpancar di wajah ibunya dan Dato’ Mustadza menyakinkannya, yang semuanya sudah dirancang sejak awal-awal lagi.

Tanpa berfikir panjang, dia terus bertindak meninggalkan majlis malam itu. Dia tahu tindakannya mengejutkan semua orang. Tapi dia tidak peduli. Mana mungkin dia boleh bertunang dengan gadis yang tidak dia cintai dan tanpa pengetahuannya pula. Ibunya benar-benar melampau kali ini.

“Kau sangka dengan perbuatan kau ini, masalah akan selesai?” Pertanyaan Erman malam semalam bermain di ingatannya.

“Pernah kau fikir perasaan Suraya? Kasihan abang tengok dia malam semalam bila kau bertindak melarikan diri.”

“Dia akan faham.”

“Itu kata kau Naz, tapi dia perempuan. Perempuan macam dia ada harga diri. Macam mana dia nak berdepan dengan orang ramai jika kau secara terus terang menolaknya begitu?” Ujar Erman tidak senang. Dia benar-benar tidak bersetuju dengan tindakan Nashriq.

Entah apa yang tidak kena dengan Suraya sehingga Nashriq tidak suka berteman dengan gadis itu. Bagi Erman, Suraya tidak ada cacat celanya. Gadis itu berpendidikan tinggi dan cantik pula. Atau hati Nashriq benar-benar terpaut pada Duha Maisara?

Erman memandang lelaki itu agak lama. Benarkah seperti apa yang bermain di kepalanya saat itu? Betulkah Duha Maisara puncanya hingga menghalang Nashriq dari menerima jodoh yang ingin dimeterai dengan anak Dato’ Mustadza itu?

“Kau buat begini bukan kerana Duha Maisara kan?” Duga Erman sambil memandang wajah Nashriq. Matanya menyorot jauh ke dalam mata lelaki itu. Nashriq turut memandangnya. Dia tahu lambat laun Erman akan dapat membaca perasaan hatinya. Lelaki itu terlalu pintar untuk dibohongi meskipun perkara yang melibatkan hati dan perasaan.

“Betul kau sukakan budak perempuan tu?” Soal Erman lagi ingin tahu.

Lambat-lambat Nashriq mengangguk. Dia tidak mahu berbohong lagi tentang perasaannya. Sudah cukup selama ini dia menipu diri sendiri. Menghalang dirinya untuk jatuh cinta dengan gadis itu.

...bersambung

Bab akan datang:

Bagaimanakah perasaan Suraya dengan kelibat Nashriq yang tidak suka akan pertunangan yang ingin dimeterai ibunya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience