Rate

Chapter 140

Romance Completed 26118

Bab 140

“Tapi mana saya nak dapatkan duit sebanyak tu, dato? Kami tak ada kecairan aset, lagipun masa sebulan tu terlalu singkat bagi kami?”

“Itu bukan masalah saya Puan Engku, you fikirlah sendiri bagaimana caranya. Tapi kalau dalam tempoh itu, Puan Engku gagal membeli saham itu, saya akan serahkan saham saya pada individu yang ingin membeli.” Ujar lelaki itu lalu segera meletakkan gagang.

Engku Latifah terus termenung. Langsung dia tidak sedar, Katrina yang tercegat lama di sampingnya.

“Puan Engku?” Panggil Katrina. Dia perasan airmuka wanita itu bagaikan membendung masalah. Tentu fasal peristiwa kecoh yang berlaku di majlis semalam agaknya, duga Katrina. Dia sendiri tidak tahu kenapa majlis yang sepatutnya menjadi majlis yang menggembirakan buat temannya Suraya, akhirnya berakhir begitu.

“Kat, suruh Nashriq jumpa saya di bilik. Saya nak ke dalam berehat. Oh ya, tolong bawakan saya segelas air masak dan sebotol aspirin.” Ujar wanita itu lalu melangkah kembali ke dalam biliknya. Katrina tidak terkata, hanya memandang dengan pandangan simpati.

Selang beberapa minit, muncul Nashriq di hadapan pintu bilik ibuya. Dia mengetuk beberapa kali sebelum membuka pintu di hadapannya. Wajah Engku Latifah muncul sambil memicit-micit kepalanya yang terasa berdenyut. Nashriq memandang ibunya yang kelihatan serius.

“Kenapa umi nak jumpa saya?” Tanya Nashriq meskipun dia boleh menduga tujuan wanita itu mahu bertemunya.

Engku Latifah tidak terus menjawab. Sebaiknya matanya dihalakan tepat ke arah anaknya. Dia menarik nafas panjang.

“Umi nak Naz berhentikan budak perempuan tu.” Ujar Engku Latifah tenang.

Nashriq terpana.“Siapa yang umi maksudkan?”

“Tolonglah Naz, jangan buat-buat tidak faham. Naz tahu yang umi maksudkan Duha Maisara, pembantu Naz tu. Umi nak Naz berhentikan dia dan ikut rancangan umi kahwin dengan Suraya.”

“Apa umi cakap ni? Saya kahwin atau tidak dengan Suraya, apa kena mengenanya dengan Duha?” Nashriq mula naik berang. Kata-kata wanita itu kedengaran tidak masuk akal.

“Jangan ingat umi bodoh Naz. Naz ingat umi tak tahu yang Naz ada simpan perasaan pada perempuan kelab malam tu?’

Nashriq terkejut. Bagaimana ibunya tahu tentang Duha Maisara?

“Umi tak sangka yang Naz boleh buat macam ni. Naz kutip dia dari kelab malam kotor tu dan bawa dia masuk bekerja di samping Naz, apa tujuannya? Naz memang sengaja nak sakitkan hati umi.” Rintih Engku Latifah separuh geram.

Nashriq terdiam.

“Sekarang sebab perempuan tu, Naz bantah keputusan umi, Naz lukakan hati Suraya. Naz tahu tak apa Dato’ Mustadza dah buat hari ni? Dia dah tak mahu berganding bahu dengan Mega Timur lagi. Dia tawarkan kita membeli semua saham-sahamnya di Mega Timur dengan harga RM4.5 juta dalam tempoh sebulan. Mana kita nak cari duit sebanyak tu dalam tempoh singkat ni?”

Nashriq mengeluh. Dia tidak sangka lelaki tua itu begitu cepat berkecil hati dengan tindakannya.

“Kita akan cari jalan sama-sama untuk beli saham-saham Dato’ Mustadza tu. Umi jangan bimbang, saya akan usahakan.” Janji Nashriq.

“Nak usahakan apa lagi? Apa yang perlu Naz buat adalah putuskan hubungan dengan perempuan tu dan balik pada Suraya. Umi akan minta maaf pada Dato’ Mustadza. Hanya semudah itu saja.”

“Lagi-lagi Suraya yang umi ungkitkan. Umi tahu tak yang saya tak cintakan Suraya, dia hanya seorang gadis yang saya anggap teman biasa, tak lebih dari itu.”

“Tapi dia lebih sesuai dengan Naz dari perempuan yang tidak tahu asal usul keturunannya.” Bidas Engku Latifah tidak mahu mengalah.

“Apa yang baiknya dengan keturunan? Hanya sebab dia pernah berkerja di kelab malam, maka umi tuduh dia perempuan tidak baik? Umi tahu tak ramai perempuan dari keturunan yang baik-baik lagi rendah maruahnya berbanding seorang perempuan kelab malam.”

“Umi tak mahu dengar alasan Naz. Kalau Naz tak mahu berhentikan dia, umi akan ambil tindakan umi sendiri.” Ujar Engku Latifah.

“Umi nak buat apa dengan dia?” Nashriq memandang ibunya tidak berkelip.

“Umi akan paksa dia tinggalkan Naz dan umi akan buktikan pada Naz yang Duha Maisara bukan perempuan baik-baik seperti yang Naz sangkakan. Dia hanya mabuk pada kesenangan keluarga kita, pada status keluarga kita.”

“Umi takkan berani..”

“Naz cabar umi?” Herdik Engku Latifah benar-benar meradang. Inilah kali pertama sejak dua belas tahun lalu, dia benar-benar marah dengan Nashriq. Kalau dulu dia masih boleh bersabar dengan sikap dingin Nashriq terhadapnya. Tapi kali ini dia sudah tidak boleh berdiam diri. Tindakan Nashriq hanya akan membawa kepada kehancuran syarikat titik peluh suaminya itu.

Tanpa sedar, perbualan keduanya diintip sepasang telinga dari luar bilik yang sedikit renggang.

...bersambung

Bab akan datang:

Siapa yang mengintip mereka?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience