Rate

Chapter 49

Romance Completed 26118

Bab 49

Mendengar nama Black Parade disebut lelaki itu, Black terdiam. Nama yang disebut lelaki itu membuatkan dia gerun. Dia tahu dalam saat-saat sekarang dia tidak boleh melawan. Buruk padahnya dia mencari fasal dengan Black Parade. Lagipun tubuh tukang pukul kelab itu besar-besar belaka. Jika dilawan, yang teruk pastinya dia dan kawan-kawannya juga.

Namun sebelum beredar, matanya mencerlung tajam ke arah Duha Maisara. Hmm…takpe hari ni kau menang. Lain kali kau tahulah nasib kau! Bisik Black dalam hati. Dia segera mengisyaratkan orang-orangnya meninggalkan tempat itu.

Setelah lelaki-lelaki itu beredar, Duha Maisara segera mendapatkan Nashriq. Tubuh lelaki itu dipusing mengadap ke arahnya. Terkejut dia melihat darah merah yang menitis di kolar baju Nashriq. Mata lelaki itu terpejam rapat. Hanya dadanya sahaja yang turun naik.

“Teruk juga budak ni kena belasah. Tapi dia berani selamatkan Duha,” ujar Salim ketika menjengah Nashriq.

Duha Maisara terdiam. Dia sendiri tidak tahu kenapa Nashriq boleh tiba-tiba ada di situ ketika itu. Apakah dia memang sengaja menunggu aku, dan secara tak sengaja terbabit sama? Duha Maisara memandang ke arah Salim.

“Abang Salim, Duha nak minta tolong abang.”

Salim tercengang. Dia memandang gadis itu, sambil menunggu buah bicara yang mahu disampaikan oleh gadis itu. Namun wajah Duha Maisara keresahan, bagaikan sukar meluahkan kata-kata.

******

Kelopak matanya terasa berat, namun cuba digagahi jua membuka mata. Dia mengerdipkan kelopak mata berkali-kali. Cahaya terang bersinar memasuki ruang matanya dari celah tingkap yang sedikit terbuka.

Nashriq bangun. Kepalanya terasa sakit. Dia mendesis ngilu, sambil memandang ke setiap pelusuk bilik itu. Entah di mana dia sekarang. Bilik itu terasa benar-benar asing baginya kini. Sambil menggosok-gosokkan mata yang terasa pedih, dia bangun perlahan-lahan lalu menuju ke muka pintu.

Tapi belum sempat mahu memusing tombol pintu, dia terpandang cermin besar di suatu sudut. Baru Nashriq perasan akan plaster yang tertampal pada dahi dan tengkuknya. Wajahnya juga dipenuhi dengan kesan-kesan lebam di pipi dan hujung bibir. Serta-merta dia mengeluh. Aduh! Bagaimana dia mahu pulang dengan muka begini? Sudah pasti Erman dan ibunya tak sudah-sudah bertanya. Kalau bukan kerana dia mahu membantu Duha Maisara, sudah pasti wajahnya tidak akan bengkak-bengkil begini. Siapa agaknya lelaki-lelaki yang menganggu gadis itu?

Sebaik daun pintu dikuak, bau aroma semerbak menusuk ke hidungnya. Dia tercengang. Aku sebenarnya di mana? Peristiwa semalam kabur-kabur dalam ingatannya. Semalam dia masih ingat yang dia bertumbuk dengan lelaki berkepala botak itu. Dan selepas itu dia tidak ingat apa-apa lagi.

Nashriq terus melangkah keluar dari bilik. Dia sampai ke ruang tamu. Tiada sesiapa pun di situ. Namun bau araoma yang enak cukup untuk membuatkan dia berpaling ke arah dapur. Apatah lagi bunyi pinggan berlaga menarik minatnya seketika.

Tergaman Nashriq melihat Duha Maisara sedang ralit di dapur. Tangan gadis itu lincah menggoreng nasi dalam kuali sederhana besar. Rambut panjang Duha Maisara sesekali diterbangkan oleh kipas angin yang tidak jauh dari situ. Hampir Nashriq terpegun. Lama matanya singgah ke arah gadis itu tanpa Duha Maisara sedari.

Tiba-tiba Duha Maisara berpaling. Nashriq tidak sempat mengelak, apabila wajahnya terlebih dahulu disapa sepasang mata milik gadis itu. Duha Maisara tergaman. Dia tidak sangka Nashriq akan tercegat di situ.

“Awak dah bangun?” Tegur Duha Maisara serba salah.

Nashriq tidak menjawab. Matanya lebih tertumpu ke arah kesan kotor di dahi Duha Maisara. Dia hampir hendak tertawa, namun dia cuba menahan.

“Terima kasih sebab bantu saya semalam. Saya harap awak tak marah saya bawa awak ke sini. Lagipun semalam awak pengsan, saya tak tahu awak tinggal di mana.” Ujarnya.

“Awak tentu dah lapar, saya dah masakkan nasi goreng kalau awak nak makan.” Sambung Duha Maisara cuba menutup gelodak resah di hatinya, seraya melepasi tubuh lelaki itu ke arah meja makan. Semangkuk besar nasi goreng diletakkan di situ. Namun ketika dia hendak kembali beredar ke dapur, lengannya ditarik tiba-tiba oleh Nashriq. Duha Maisara terpaku.

Mata Nashriq merenung lama ke wajahnya. Sedikit demi sedikit, tubuh Duha Maisara ditarik hampir ke arahnya. Wajah Duha Maisara berubah. Merah padam mukanya menahan malu. Nashriq tertawa kecil.

Gadis itu mengangkat mukanya. Ledakan tawa lelaki itu membuatkan dia diterpa rasa hairan. Mata Nashriq masih melekat di wajahnya dengan sisa-sisa tawa yang masih tinggal.

“Kenapa awak ketawa?” Soal Duha Maisara. Hairan.

Nashriq tersenyum. Tiba-tiba tangan Nashriq beredar ke wajah Duha Maisara. Dia tergamam. Dia cuba mengelak tapi apabila jari-jemari itu singgah di dahinya, Duha Maisara terpegun.

...bersambung

Bab akan datang:

Apa yang dilakukan Nashriq terhadap Duha?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience