Rate

Chapter 32

Romance Completed 26118

BAB 32

“Mana Duha pergi tadi? Puas abang cari Duha kat bangku tu tapi Duha lesap macam tu aje. Duha buat abang bimbang.” Rungut Zafran ketika mereka beriringan ke kafeteria hospital. Sengaja mereka makan di situ, kerana selepas itu Zafran masih ada sedikit kerja yang harus diselesaikan.

“Duha tak ke mana-mana, di situ saja. Tapi tadi Duha sengaja berjalan-jalan kat sekitar wad.” Jawab Duha Maisara. Langsung dia tidak menyebut tentang lelaki tua yang dibantunya tadi.

“Duha tak kisah kita makan di sini saja?” Duga Zafran.

Duha Maisara menggelengkan kepalanya. Selepas membuat pesanan makanan, kedua-dua mereka segera bergerak ke arah sebuah meja.

“Abang nampak macam sibuk je. Kalau abang masih ada kerja, Duha balik dulu lah. Nanti Duha tunggu abang di rumah.” Ujar Duha Maisara.

“Tak..tak payah, abang cuma nak ganti Doktor Halim semak fail pesakit. Dia yang suruh, lagipun dia penyelia abang. Duha tunggu abang sekejap, tak lama. Lepas tu kita balik sama-sama.”

Duha Maisara terdiam. Mata Zafran terpaku ke arahnya. Mata Duha Maisara beralih ke arah lain, bagaikan tahu dirinya menjadi santapan mata Zafran. Melihat gadis itu kelihatan kekok, Zafran tersenyum kecil.

Tiba-tiba tangan Zafran menyentuh kulit jari gadis itu. Duha Maisara tersentap. Anehnya dia tidak berani memandang Zafran.

“Abang sayangkan Duha.”

Pengakuan Zafran membuatkan airmata Duha Maisara hampir menitis. Dia mengetapkan bibirnya. Cuba menahan airmata yang mahu gugur. Serentak tangannya dilarikan. Zafran tergaman.

Ketawa Duha Maisara meletus tiba-tiba. “Agak-agak abang ayah ke mana? Agaknya ayah merajuk dengan Duha sebab Duha selalu masak tak sedap untuk dia.” Duha Maisara cuba bergurau. Namun ketawanya jelas kekok.

Zafran diam sahaja. Bulat matanya merenung Duha Maisara yang tertawa. Entah mengapa hatinya sakit melihat gelak yang sengaja dibuat-buat itu.

“Duha makan cepat, lepas tu terus balik. Tak payahlah tunggu abang, abang balik sendiri lepas kerja abang selesai.” Ujar Zafran tiba-tiba. Serius. Duha Maisara terpegun. Perlahan-lahan matanya merenung lelaki itu. Marahkah dia?

******

Dia melangkah tanpa arah tujuan mengikut kakinya. Entah kenapa, dia tidak terasa ingin pulang, meskipun hari sudah jauh malam. Kadangkala tergerak hatinya untuk pulang ke rumahnya, mungkin ayahnya sudah berada di rumah. Namun kadangkala dia ragu-ragu mahu berbuat demikian. Bimbang sesuatu yang buruk akan berlaku.

Namun untuk terus tinggal bersama Zafran, dia tidak sanggup. Sudah dua hari dia menumpang di rumah Zafran. Meskipun Zafran seperti abangnya, namun hakikat bahawa mereka bukan muhrim adalah satu kenyataan yang harus ditelannya.

Dia tahu Zafran tidak akan mengapa-apakannya. Malah Zafran tidak akan cuba merosakkannya. Tapi cinta Zafran membuatkan dia lemas. Setelah tahu perasaan lelaki itu terhadapnya, apakah dia mampu berdepan dengan Zafran setiap masa? Apakah dia mampu mengubah perasaannya kepada cinta untuk seseorang yang sudah lama dianggap abangnya sendiri?

Bagaimana kalau Zafran tahu siapa dia sebenarnya? Bagaimana kalau Zafran tahu hakikat yang terpaksa dipendamkannya sejak dulu. Apakah lelaki itu akan memaafkannya nanti? Sukar dia mahu menjawab persoalan itu sedangkan dirinya sendiri dalam dilema menanti kepastian yang tak kunjung tiba.

******

Dia mengorak langkah perlahan memasuki sebuah restoran makanan ‘western’ di Damansara. Sampai di pintu masuk, dia disambut seorang lelaki pelayan yang memakai bow. Nashriq menarik nafas panjang.

Dia mengekori pelayan lelaki itu menuju ke sebuah meja yang agak tersudut. Dari jauh dia terpandang kelibat ibunya, Engku Iskandar dan isteri serta Dato’ Mustadza yang sedang mengadap ke arahnya. Duduk membelakanginya pula ialah seorang lelaki dan perempuan yang tidak dikenali. Nashriq segera melangkah mendapatkan ibunya.

“Kenapa lambat?” Tegur Engku Latifah seraya memeluk anak itu. Nashriq hanya membatu. Apabila dia berpaling, matanya terpandang Suraya yang sedang tersenyum memandangnya. Dahi Nashriq berkerut memandang gadis itu. Apa dia buat di sini? Namun rasa hairannya hanya terpendam dalam hati.

“Naz, tentu dah kenal dengan Dato’ Mustadza kan.” Ibunya menanya.

Nashriq mengangguk seraya menghulurkan tangannya. “Maaf sebab selama ini kita masih belum berkesempatan untuk berbual, Dato’.” Pintas Nashriq. Lelaki di hadapannya tertawa kecil.

“Tak mengapa Nashriq, saya rasa kita ada banyak masa untuk berbual selepas ini. Please have a seat.” Ujar lelaki itu. Nashriq memandang ke arah kerusi kosong di sebelah Suraya. Gadis itu tersenyum menatapnya. Nashriq mengambil tempat duduk kosong itu. “Naz, perkenalkan anak Dato’ Mustadza. Yang itu anak sulungnya Sachary dan yang sebelah Naz tu Suraya. Dia bekerja di Mega Timur. Naz tentu pernah jumpa dia kan?” Engku Latifah tersenyum.

...bersambung

Bab akan datang:

Apa yang dibincangkan oleh keluarga Engku Latifah dan Dato’ Mustadza?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience