Rate

Chapter 43

Romance Completed 26118

Bab 43

Sementara menanti Mami Jun bercakap dengan lelaki di bilik VIP, Duha Maisara dan Zarina berbual-bual seketika. Sepuluh minit kemudian, Mami Jun melangkah keluar dari bilik itu seraya menuju ke arah Duha Maisara. Wajah Mami Jun muram.

“Apa kata dia mami?” Tanya Duha Maisara sudah tidak sabar.

“Dia kata dia hanya mahu bercakap dengan Duha. Mami rasa baik Duha masuk jumpa dia sekejap.” Saran Mami Jun.

“Tapi mami…”

“Duha, please. Mami tak pernah minta apa-apa dengan Duha sejak Duha bekerja di sini. Malah mami juga tak pernah paksa Duha jadi pelayan di sini. Cuma kali ni saja mami nak Duha jumpa dengan lelaki tu.” Ujar Mami Jun serius.

Duha Maisara terpaku. Bingung. Wajah Zarina juga seolah terkejut. Hairan dengan permintaan Mami Jun yang kelihatan pucat. Entah apa yang merasuk wanita itu kali ini, sehingga dia mengikut saja cakap lelaki itu.

******

Duha Maisara menarik nafas panjang. Dia cuba bertenang. Beberapa surah suci yang diingatnya dibacanya. Tak putus-putus dia berdoa agar tuhan melindunginya dari sebarang bahaya.

Lama dia berteleku di luar pintu bilik. Tombol pintu bilik itu hanya dipandang sepi. Dia ragu-ragu mahu membuka pintu bilik itu. Namun mengenangkan situasi Mami Jun mungkin akan jadi sukar kerananya, dia memaksa dirinya bertenang. Nafasnya ditarik panjang-panjang, bersama tombol pintu yang sudah dipulas.

Berkeriut bunyi pintu ditolak dari luar. Namun tumpuan Duha Maisara cepat terarah ke arah sesusuk tubuh yang sedang duduk di atas sofa, mengadap ke arah skrin tv besar. Apabila lelaki itu menoleh, darah Duha Maisara menyirap. Nafasnya seperti hendak terhenti. Dia lagi? Apa dia mahu?

Duha Maisara melangkah masuk perlahan-lahan, menuju ke arah lelaki itu. Setiap aturan kakinya terasa diintai oleh sepasang mata lelaki itu. Dia rasa kekok. Apatah lagi apabila teringat peristiwa dia didakap lelaki itu di bilik yang sama. Malunya masih tebal di mukanya.

“Encik nak jumpa saya?” Tanya Duha Maisara perlahan. Dia tunduk, tidak berani memandang lelaki itu.

“Kau rasa ada orang lain di sini selain aku?” Soal lelaki itu tenang. Duha Maisara tercengang. Terasa malu kerana bertanya soalan bodoh. Padanlah dengan jawapan yang aku perolehi, desis hatinya.

“Duduk.” Suruh lelaki itu. Seperti orang bodoh, Duha Maisara mengikut.

“Apahal encik nak jumpa dengan saya?” Dia terus bertanya, ingin tahu. Lelaki itu mengangkat mukanya menatap ke arahnya. Tajam renungan itu singgah di wajahnya. Duha Maisara terkedu. Pandangan itu terasa menjalar ke lubuk hatinya.

“Boleh kau beritahu aku berapa bayaran pelayan-pelayan di kelab malam ni dapat untuk semalam?” Soal lelaki itu tiba-tiba.

Dia hanya diam. Dia bukannya ambil tahu tentang soal bayaran orang lain.

“Bagaimana dengan seorang penyanyi? Berapa yang kau dapat untuk semalam?”

Duha Maisara terkejut. Bulat matanya memandang lelaki itu yang nampak selamba. Apa maksudnya bertanya begitu?

“Kalau tak silap aku lebih kurang RM300 untuk dua buah lagu, dan selang semalam kau akan menyanyi di sini kan?” Lelaki itu tergelak kecil. Darah Duha Maisara sudah naik ke muka. Lelaki itu seolah sudah maklum dengan tugasnya.

“Tak perlu kau nak tunjukkan airmuka terkejut. Bos kau dah beritahu aku segala-galanya. Bagaimana kalau aku bayar kau RM1000 setiap malam untuk menemani aku? Kau mahu?” Bibir itu tersenyum, sedang Duha Maisara pula mengetapkan bibirnya. Dia bingkas bangun dari sofa. Wajahnya merah padam. Entah kenapa kata-kata lelaki itu menyakitkan hatinya. Dia sudah tidak tahan mendengarnya. Betul seperti apa yang disangkanya, lelaki yang pernah menolongnya itu sama sahaja seperti lelaki-lelaki lain yang dikenalinya. Semuanya mahu mengambil kesempatan.

“Encik, sudah saya katakan yang saya bukan pelacur. Tawarkan sahaja RM1000 encik tu pada orang lain. Saya tak berminat.” Ujar Duha Maisara seraya beredar ke arah pintu.

“Cik Duha Maisara…” Panggil lelaki itu. Duha Maisara tergaman. Langkahnya terhenti. Lancar lelaki itu menyebut namanya membuatkan dia dipalit rasa hairan.

“Sekali kau melangkah keluar dari bilik ini, kau mungkin akan menyusahkan kawan-kawan kau di luar sana.” Kata-kata lelaki itu mengejutkannya. Duha Maisara menoleh. Apa maksud lelaki itu? Tiba-tiba dia teringat wajah Mami Jun yang kelihatan gusar. Tentu ada sesuatu yang berlaku, jika tidak Mami Jun takkan bersikap begitu.

“Apa awak nak sebenarnya?” Soal Duha Maisara resah. Hilang sudah panggilan ‘encik’ yang dibiasakan kepada lelaki itu.

Lelaki itu melangkah ke arahnya. Semakin hampir. Namun sepasang mata itu masih menikam ke wajah Duha Maisara.

“Aku cuma nak kau temankan aku, bila –bila masa aku perlukan kau.”

“Saya rasa awak tak faham. Saya cuma penyanyi di sini, saya bukan GRO.” Tegas Duha Maisara. Lelaki itu mendekatkan wajahnya. Duha Maisara tergaman.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah sebenarnya niat lelaki tersebut terhadap Duha?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience