Rate

Chapter 199

Romance Completed 26118

Bab 199

Namun belum sempat dia mahu menekan butang pada mesin itu, entah dari mana munculnya tangan yang terlebih dahulu menekan salah satu butang merah di situ. Duha Maisara tergamam. Bunyi tin minuman jatuh dari mesin itu terdengar jelas di telinganya. Dia menoleh.

Suatu wajah berdiri di sampingnya sambil meratah wajahnya tidak berkelip. Dia tergamam, namun menyedari sepasang mata itu menatap tajam ke arahnya, Duha Maisara segera mengambil tin minuman itu. Dia hendak beredar namun lengannya terlebih dahulu di sambar oleh sepasang tangan lelaki itu. Dia mendongakkan wajah memandang Engku Iskandar yang menatapnya tidak berkelip.

“Berkemungkinan besar dia terlibat dalam konspirasi untuk membunuh Zainal dan memfitnah ayah Hana. Sebab itu pak cik mahu Hana terus mengawasi dia di Mega Timur. Kita kena cari bukti yang boleh mensabitkan Engku Iskandar dalam perkara ini.” Kata-kata Asri suatu ketika dulu kembali menjengah dalam kotak fikirannya. Kalau diikutkan hatinya, dia tidak mahu berhadapan dengan lelaki itu lagi. Cukup sudah selama ini tidurnya diganggu mimpi-mimpi ngeri kerana lelaki itu. Tapi permintaan Asri juga cukup sukar mahu ditolak. Apatah lagi yang terlibat adalah Zainal Ikram dan ayahnya sendiri.

“Kenapa kau balik lagi ke mari? Bukankah adik aku dah bagi kau wang yang banyak untuk tinggalkan Mega Timur?” Soalan lelaki itu menjengah pendengarannya. Dia memandang Engku Iskandar dengan berani.

“Kenapa saya yang kena pergi sedangkan Tuan Engku yang buat salah?” Dia memerli. Engku Iskandar tergaman mendengar kata-kata itu. Darahnya menyirap tiba-tiba.

“Kurang ajar! Kau tahu tak dengan siapa kau bercakap? Aku boleh halau kau dari sini bila-bila masa aku mahu. Waktu itu jangan kau sangka aku tak beri kau amaran.” Marah Engku Iskandar.

Duha Maisara tergelak kecil. Kata-kata lelaki itu membuatkan dia rasa lucu. Mata Engku Iskandar membulat apabila mendengar tawa gadis itu. Dia merasakan seolah-olah gadis itu memandang lekeh terhadap amarannya.

“Kenapa Tuan Engku macam tak sabar-sabar nak halau saya keluar dari Mega Timur? Apa kelayakan yang saya ada sehingga boleh membuatkan Tuan Engku bimbang begini?” Sindir Duha Maisara lagi.

Wajah Engku Iskandar merah padam. Kata-kata Duha Maisara benar-benar membuatkan darahnya mendidih.

“Perempuan kelab malam tak sedar diri!” Getus Engku Iskandar.

“Perempuan kelab malam? Hina sangat ke perempuan kelab malam macam saya ni jika dibandingkan dengan lelaki licik berwatakkan musang tua seperti Tuan Engku?” Balas Duha Maisara lancang.

Engku Iskandar tidak dapat menahan marahnya. Lengan Duha Maisara tiba-tiba direntap kasar membuatkan gadis itu terkejut. Tubuh Duha Maisara ditarik dan ditolak mengadap ke arah kaca tingkap. Wajah Engku Iskandar berapi memandang gadis itu.

“Dengar sini baik-baik. Jika kau sayangkan nyawa kau, baik kau pergi dari sini buat selama-lamanya. Jangan muncul lagi depan aku dan di depan Nashriq juga. Ini amaran aku yang terakhir!” bisik Engku Iskandar rapat di telinga Duha Maisara.

“Lepaskan dia!” Bentak suatu suara tiba-tiba. Engku Iskandar tergaman. Suara yang tiba-tiba mencelah membuatkan dia terkejut besar, lagi-lagi dia kenal dengan tuan empunya suara. Perlahan-lahan tubuh Duha Maisara dilepaskan. Dia menoleh perlahan-lahan memandang sekujur tubuh yang menghadap ke arahnya dengan wajah marah. Duha Maisara turut menoleh. Matanya bertembung pandang dengan sepasang mata Nashriq yang bersinar garang. Entah sejak bila lelaki itu ada di situ?

“Naz, aku cuma….”

“Jangan bersuara apa-apa. Saya tak mahu dengar.” Pintas Nashriq sebelum sempat Engku Iskandar mahu memberi penjelasan. Matanya memandang Duha Maisara yang kelihatan gelisah.

Nashriq tiba-tiba meluru ke hadapan lalu menarik tangan Duha Maisara membuatkan gadis itu terkejut. Langkahnya kemudian diatur keluar dari ruang itu meninggalkan Engku Iskandar yang terpinga-pinga.

Memandang kelibat Nashriq dan Duha Maisara yang menghilang, Engku Iskandar mengetapkan bibirnya. Dia benar-benar meradang dengan kejadian itu. Raihana, lambat laun kau akan tahu dengan nasib kau. Dan aku takkan sesekali berlembut hati dengan kau, biar siapa pun kau! Aku tak boleh biarkan kau menganggu rancangan aku buat kali kedua. Tidak untuk kali ini! Dia segera mengambil telefon bimbitnya lalu mula mendail. Apabila mendengar suara di hujung talian, dia mula bersuara.

“Robert, aku nak kau buat sesuatu untuk aku. Tak payah libatkan Reyna, dia ada urusan lain yang lebih mustahak. Jumpa aku kat tempat biasa. Kali ni aku nak pastikan budak tu benar-benar mampus.” Gumam Engku Iskandar tanpa menyedari percakapannya di dengari sepasang telinga tidak jauh dari situ.

Engku Latifah membalikkan tubuhnya. Wajahnya pucat. Dia seolah tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Apakah budak yang dimaksudkan oleh abangnya itu Duha Maisara? Apakah selama ini lelaki itu tahu yang Duha Maisara adalah Raihana?

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang didengar oleh Engku Latifah?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience