Rate

Chapter 14

Romance Completed 26118

BAB 14

“Apa kaitan elaun-elaun ALP dengan prestasi syarikat yang merundum? Saya tak rasa semua ini berpunca dari elaun-elaun kami semua.” Ujar salah seorang dari lelaki-lelaki itu. Yang lain-lain hanya mengiyakan. Nyatalah mereka semua tidak setuju dengan usul itu.

Nashriq tersenyum tenang. Lelaki yang nampak emosi itu dipandang agak lama. “Setiap produktiviti syarikat saling berkait dengan sumber kerja yang proaktif dan efisien. Jika produktiviti yang terhasil tak seiring, maka ia berpunca dari sumber tenaga kerja yang lemah. Kita sebagai pentadbir harus menguatkan dahulu bahagian yang lemah ini dengan cara menjaga kebajikan mereka dengan menyamaratakan kedudukan mereka dengan kita. Pertama dengan mengurangkan elaun pihak pentadbir, kita sudah boleh menjimatkan sebahagian besar kewangan syarikat. Malah kemudahan-kemudahan syarikat harus diberi kepada pegawai-pegawai operasi dan unit-unit penting dalam syarikat untuk melancarkan perjalanan kerja.” Ujar Nashriq petah.

Sebahagian hadirin terdiam. Engku Iskandar memandang sebahagian besar ahli-ahli lembaga pengarah yang kelihatan berbincang sesama sendiri. Dia yakin usul Nashriq itu akan ditentang bulat-bulat oleh lelaki-lelaki itu.

Namun bunyi tepukan gemuruh datangnya dari suatu arah mengejutkan Engku Iskandar. Dia menoleh. Dato’ Mustadza salah seorang pesero syarikat kelihatan tersenyum sambil memandang ke arah Nashriq. Seperti dipukau, beberapa ahli lembaga pengarah yang lain turut menyambut sokongan yang diberi oleh lelaki itu. Engku Latifah tersenyum lega di kerusinya.

* * * *

Laju kakinya melangkah mendaki tingkat 5. Mahu menaiki lift, dia bimbang lagi terlambat, apatah lagi ramai orang sedang berkerumun di hadapan pintu lift. Aduh! Apa malangnya nasibnya hari ini kerana terlewat bangun. Hampir sesak nafasnya melihat jam di dinding biliknya yang hampir menunjukkan pukul 10.30 pagi. Kalau bukan dia terdengar anak jiran sebelah rumahnya yang melalak pagi-pagi buta, sudah tentu dia kesiangan sehingga ke tengahari.

Sebaik sampai di hadapan pintu bilik mesyuarat, langkah Suraya terhenti. Seorang wanita bercermin mata bulat yang berdiri di hadapan pintu bilik, merenung tajam ke arahnya.

“Baru sampai Cik Suraya?” Tegur wanita itu.

“Maaf Puan Mahira, saya terlewat. Mesyuarat dah mula?” Tanya Suraya.

“Dah hampir sejam mula. Apa nak jadi dengan you ni Suraya. Masuk bulan ni saja, dah dua tiga kali you lewat. Kalau hari-hari lain tak apalah, tapi hari ni hari penting. You pun tahu kan ini mesyuarat ahli lembaga pengarah syarikat. Ramai ahli-ahli ALP yang datang untuk meraikan anak Puan Engku.” Leter Mahira.

Suraya hanya diam. Dia sedar dia tersilap. Semuanya kerana peristiwa malam semalam. Sudahlah dia tersekat sampai tengah malam di balai polis. Sampai di rumah pula, teruk dia disoal bertubi-tubi oleh ayahnya sehingga pukul 2 pagi. Marah benar orang tua itu kerana kelewatannya.

Belum sempat Mahira mahu menyambung memarahi Suraya, pintu di belakangnya terbuka tiba-tiba. Muncul Katrina, setiausaha bosnya dari dalam.

“Kak Ira, mesyuarat dah nak selesai. Lepas ni tolong kemaskan terus bilik mesyuarat sebab kita nak guna bilik ni untuk meeting dengan delegasi dari US pukul 3.00 petang nanti,” beritahu Katrina. Mahira hanya mengangguk.

Mata Katrina terpandang Suraya di belakang Mahira. Mata gadis itu mencerlung tajam memandang Suraya. Suraya hanya tersengih. Serentak dengan itu pintu di belakang Katrina terbuka lebar. Ketiga-tiganya serentak mengundur ke tepi.

Apabila para ALP keluar dari bilik mesyuarat, Suraya mengundur sedikit ke belakang Mahira. Dia tunduk.

Salah seorang lelaki separuh umur yang hampir botak melangkah melewati Mahira dan Katrina, lalu terhenti di hadapan keduanya. Namun anak matanya tertumpu pada Suraya yang kelihatan tunduk. Dia mendengus.

Dengusan lelaki itu membuatkan Suraya mengangkat kepalanya. Matanya bertembung pandang dengan sepasang mata yang berkerut memandangnya. Mahu tak mahu Suraya tersenyum lebar. Dia tahu lelaki itu tentunya belum puas berleter padanya.

Namun lelaki itu tidak berkata apa-apa padanya. Langkah lelaki itu segera diatur pergi, membuatkan Suraya sedikit lega. Jika tidak, pasti Mahira dan Katrina akan tahu bahawa lelaki yang baru keluar itu adalah ayahnya. Dan jika kedua-duanya tahu bahawa ayahnya adalah salah seorang pesero utama Mega Timur, sudah pasti kecoh satu jabatannya. Selama ini dia memang merahsiakan hubungannya dengan Dato’ Mustadza.

Sedang dia asyik tersenyum, tiba-tiba nafasnya seakan mahu terhenti melihat kemunculan seorang lelaki beriringan bersama pengerusi syarikat. Lelaki itu cukup segak berkot dan bertalileher. Mulanya dia tidak yakin apakah lelaki yang dilihatnya itu Nashriq, namun apabila melihat Erman di belakang lelaki itu, dia mula mempercayai matanya. Tapi apa dia buat di sini?

“Anak bos kita tu boleh tahan kacaknya kan,” bisikan Katrina ke telinga Mahira jelas terdengar di telinganya. Suraya terpempan. Biar betul! Apakah lelaki yang sering diheboh-hebohkan di pejabatnya sejak dua minggu yang lalu adalah Nashriq?

...bersambung

Bab akan datang:

Benarkah lelaki yang Suraya fikirkan itu adalah Nashriq?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience