Rate

Chapter 25

Romance Completed 26118

BAB 25

Hendak memanggil jiran sebelah rumah pula, dia berat hati mahu mengganggu, apatah lagi jam sudah menunjukkan pukul 12.15 tengah malam. Sudah terlalu lewat.

Hendak tak hendak, Duha Maisara memberanikan diri melangkah masuk. Terkejut besar dia melihat barang-barang rumah itu habis dipecahkan. Dia cuba memanggil nama ayahnya, namun tidak bersahut.

Oh tuhan, apakah lelaki botak yang mengejarnya di Blue Ocean tadi yang punya angkara? Ayah, apa lagi yang ayah dah buat kali ini? Kenapa mereka mengejar Duha sampai ke mari? Duha Maisara diamuk resah. Bimbang juga ada jikalalau lelaki-lelaki itu kembali semula ke situ. Apa patut aku buat? Ke mana harus aku pergi?

Sudahlah fikirannya bercelaru kerana peristiwa tadi. Kini ditambah lagi satu masalah. Entah mengapa, dada Duha Maisara seakan berdebar-debar sebaik teringatkan bagaimana sikap lelaki itu terhadapnya tadi. Apatah lagi renungan lelaki itu menikam tepat ke wajahnya. Dia takut, namun sekaligus terbuai dengan tingkah laku lelaki yang pendiam itu. Sentuhan lelaki itu dibahunya membuatkan emosinya bergolak. Menyedari wajah lelaki itu semakin dekat ke wajahnya, dia semakin lemas. Semakin takut. Namun mujurlah tindakan lelaki itu hanya setakat itu.

Duha Maisara terduduk lemah di muka pintu. Entah mengapa tubuhnya seakan tidak berdaya. Banyak benar masalah yang berlaku terhadapnya malam ini. Sampai bila hidup aku akan begini? Dia meraup wajahnya dengan kedua tapak tangannya. Apa yang dia boleh buat hanyalah berserah pada takdir tuhan. Entah di mana ayahnya sekarang ini. Tiba-tiba dia teringatkan Zafran. Patutkah aku hubungi Zafran? Mungkin juga ayah ada di apartment Zafran sekarang ini. Laju tangan Duha Maisara mendail nombor telefon lelaki itu.

******

Zafran berlari-lari anak ke tingkat bawah rumah sewanya. Dari jauh dia melihat Duha Maisara sedang duduk menunggu di sebuah bangku kosong sambil berpeluk tubuh. Sebuah beg pakaian dibawa bersamanya. Langkah Zafran terhenti. Lama matanya terpaku ke arah Duha Maisara yang memeluk tubuh menahan kedinginan malam. Melihat gadis itu, hati Zafran terasa sakit tiba-tiba. Dia menarik nafas panjang sebelum perlahan-lahan mengorak langkah.

“Abang.” Duha Maisara terasa lega melihat kemunculan Zafran. Dia bingkas bangun dari kerusi batu yang didudukinya. Namun tubuhnya hampir jatuh. Zafran terkejut, namun dengan cepat memaut tubuh Duha Maisara kembali ke arah kerusi.

“Duha ni kenapa?” Tanya Zafran terkejut.

Duha Maisara tertawa lepas. “Duha tak apa-apa, agaknya badan Duha ni penat. Ayah ada kat rumah abang?” Soal Duha Maisara pula. Zafran mengerutkan dahinya. Kenapa tiba-tiba bertanya tentang lelaki itu?

“Ayah belum balik?” Soal Zafran pula tanpa menjawab pertanyaan gadis itu.

Duha Maisara terkedu. Jadi ayahnya tiada di rumah Zafran? Hati Duha Maisara berdetik kencang. Entah ke mana lelaki itu pergi agaknya. Duha Maisara bimbang jika berlaku sesuatu yang tak baik pada lelaki itu. Biar bagaimana sekalipun lelaki itu melayaninya, namun dia tetap risau keselamatan lelaki itu. Namun untuk diluahkan pada Zafran, dia tidak berani. Lagipun dia faham benar dengan perangai Zafran yang panas baran.

“Duha, ayah ke mana? Kenapa Duha cari abang tengah-tengah malam macam ni?” Soal Zafran seraya mengerutkan dahinya. Wajah gadis kecil molek di hadapannya direnung tidak berkelip. Entah kenapa firasatnya kuat mengatakan, ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Duha Maisara.

“Err Duha sebenarnya nak tumpang rumah abang malam ni. Duha ingatkan ayah ada dekat sini. Kalau tak ada tak apalah, Duha balik dulu.” Anak gadis itu mahu beredar, namun Zafran terlebih dahulu memaut lengannya.

Duha Maisara terpaku melihat jari-jemari lelaki itu melekat kuat di lengannya. Perlahan-lahan dia memberanikan diri menatap renungan Zafran yang singgah di wajahnya. Hatinya rasa terhimpit. Hendak berterus terang dengan Zafran, dia bimbang ayahnya akan mengamuk jika tahu. Apa yang boleh dia lakukan hanyalah berdiam diri Jikalau Zafran terus-menerus mahu menggorek cerita, rasanya lebih baik dia beredar segera.

Mata Zafran memandang beg pakaian yang dibawa oleh Duha Maisara. Dia diterpa rasa hairan. Kenapa Duha Maisara tinggalkan rumah? Mahu ke mana dia sebenarnya? Namun melihat kerut resah di wajah itu, dia tidak jadi bertanya. Sudahnya beg pakaian yang berada di tangan Duha Maisara segera diambil.

Sebelah tangannya pula memegang erat tangan gadis itu. Terpegun Duha Maisara melihat Zafran menghela langkahnya ke arah apartmentnya.

******

Dia menatang segelas minuman menuju ke ruang tamu. Namun langkahnya terhenti sebaik terpandang sesusuk tubuh sedang tertidur kepenatan di atas sofa. Zafran mengeluh. Perlahan-lahan dia merapati Duha Maisara.

Wajah Duha Maisara kelihatan begitu lena. Pasti gadis itu penat benar, jika tidak masakan sampai tertidur pula. Zafran segera berlalu ke biliknya. Tak lama kemudian dia mengambil selimut dari dalam biliknya. Tubuh Duha Maisara yang kedinginan menahan sejuk segera dibalut kemas.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah perasaan yang ada di dalam hati Zafran terhadap Duha?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience