Rate

Chapter 97

Romance Completed 26118

Bab 97

“Kenapa Tuan Engku?” Tanya Borhan, pegawai kanannya.

“Borhan, siapa perempuan di sebelah anak Dato’ Mustadza tu?” Tanya Engku Iskandar. Borhan segera mengalihkan pandangannya ke satu arah.

“Hmm kalau tak silap, perempuan tu baru masuk kerja beberapa hari yang lalu. Dia pembantu baru Encik Nashriq.” Ujar Borhan.

“Pembantu Nashriq?” Dia tergaman. Matanya sekali lagi mengawasi gerak geri Duha Maisara. Di mana ya aku pernah bertemu dengan wajah manis itu? Puas sudah dia cuba mengingati, namun tak berjaya.

******

“Dah lama Duha tak ke mari, sibuk agaknya,” tegur Doktor Habibah ketika menerima kunjungan Duha Maisara ke Al-Raudah petang itu. Gadis itu hanya tertawa.

“Saya dah mula bekerja, sebab tu tak ada banyak masa. Ini pun terpaksa cari masa untuk ke sini,” jawab Duha Maisara.

“Duha nak cari Makcik Jamilah ke? Dia ada di taman belakang. Baru-baru ini emosinya agak stabil. Dia dah tak mengamuk macam dulu. Rasanya saya kena berterima kasih dengan Duha atas perhatian yang Duha berikan,” ujar Doktor Habibah.

“Tak ada apa yang saya buat doktor. Saya juga gembira kalau dia sihat. Tapi saya benar-benar berharap dia boleh sembuh seperti dulu.” Duha Maisara menyuarakan rasa hatinya.

“Insya Allah, itu semua kehendak tuhan. Tapi kita sebagai manusia kena berusaha. Saya sentiasa mengharapkan Makcik Jamilah boleh sembuh dan pulang ke pangkuan keluarganya, itupun jika dia masih ada keluarga.” Balas Doktor Habibah.

Duha Maisara segera ke belakang bangunan institusi itu. Dari jauh dia melihat ibunya sedang duduk sendirian di bangku kecil di taman itu. Beberapa jururawat berpakaian serba putih sedang mengawasi dari jauh.

Perlahan-lahan Duha Maisara mendekati wanita itu. Melihat mata ibunya yang kelihatan kosong, dia diterpa perasaan sedih. Wajah wanita itu pucat lesi, sambil merenung jauh. Ibunya seperti hidup dalam dunianya sendiri. Entah bagaimana caranya lagi untuk dia membawa keluar ibunya dari dunia serba kosong dalam hati wanita itu.

“Mak, Hana dah datang melawat mak. Hana bawakan mak bubur, tentu mak suka makan bubur ni.” Ujar Duha Maisara cuba mengajak wanita itu berbual. Namun tiada reaksi dari ibunya. Wanita itu seolah tidak mendengar langsung setiap patah perkataan yang diucapkannya.

“Sampai bila mak nak Hana bercakap sendirian begini mak? Kalau mak dengar cakap Hana, jawablah mak. Hana rindu sangat nak mendengar suara mak.” Bisik Duha Maisara sebak.

Melihat ibunya hanya diam, Duha Maisara sudah kehabisan ikhtiar. Entah bagaimana harus dia menyembuhkan ibunya, jika ibunya sendiri tidak mengecamnya? Dia benar-benar sudah buntu.

“Mak, Hana suapkan mak bubur? Bubur ni bubur ayam kesukaan mak. Hana ingat lagi masa Hana kecil dulu, mak selalu buatkan Hana bubur ni.” Duha Maisara menyudu sedikit bubur ayam dari bekas yang dibawanya ke mulut ibunya. Apabila bibir wanita itu seolah tidak bergerak, Duha Maisara menolak sudu ke dalam mulut ibunya. Melihat wanita itu mampu menelan makanan yang dibawanya, sedikit sebanyak hatinya terubat.

“Sedap kan bubur ni mak, Hana sempat masak tadi di rumah selepas balik dari pejabat. Nasib baik Hana boleh pulang awal hari ni.” Duha Maisara memandang wanita itu. Entah kenapa hatinya serba salah mahu menyatakan apa yang terbuku di hatinya pada ibunya.

“Mak, Hana bekerja di Mega Timur sekarang. Hana tahu dulu Hana pernah berjanji dengan mak yang kita takkan ada kena mengena lagi dengan tempat itu. Tapi Hana dah jumpa abang mak. Hana dah lama jumpa dia, tapi anehnya Hana tak mengecamnya selama ini. Hati Hana terlalu rindu padanya. Kebencian Hana pada orang-orang yang memusnahkan kebahagiaan kita dulu, tak mampu memadamkan rindu yang Hana rasakan. Bukan Hana tak cuba mak. Hana dah cuba menghalang perasaan ini, tapi Hana tak berdaya.” akui Duha Maisara.

“Dahulu Hana sangka, sampai bila-bila pun kita takkan berjumpa lagi. Hana sangka mak dah pergi tinggalkan Hana seorang macam ayah, tapi rupa-rupanya tuhan masih sayangkan Hana. Tuhan izinkan kita bertemu lagi. Tuhan juga izinkan Hana bertemu semula dengan abang selepas dua belas tahun. Tapi Hana sedih mak, abang langsung tak cam siapa Hana. Hana tahu, dah dua belas tahun lamanya. Mana mungkin dia mengingati Hana, budak kecil yang ayahnya dianggap seorang pembunuh.” Bisik Duha Maisara lagi.

Apabila matanya terperosok ke arah ibunya, dadanya berdegup kencang. Anak mata wanita itu tertumpu ke wajahnya. Renungan wanita itu biarpun nampak kosong, tapi seperti memahami setiap patah perkataan yang keluar dari mulutnya.

“Mak, mak dengar kan cakap Hana? Beritahu Hana yang mak faham setiap kata-kata Hana kan?” Soal Duha Maisara bertalu-talu.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah ibunya masih mengingati Hana?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience