Rate

Chapter 145

Romance Completed 26118

Bab 145

“Bukan tak berminat tapi buat apa nak membazir duit membeli barang-barang tu semua. Cukup dengan barang-barang penting sudahlah,” ujarnya. Lelaki di sampingnya tertawa polos. Sejak dari dulu hingga kini, tuannya itu memang begitu. Suka berjimat cermat meskipun orangnya kaya raya.

“Kaki tuan tu macam mana?”

“Dah baik sikit Omar. Tapi minggu depan aku kena pergi hospital buat pemeriksaan. Memang beginilah orang tua macam aku ni, mudah benar terkena ‘gout’. Mujurlah ubat yang aku makan tu boleh tahan juga.” Dia memberitahu.

“Err tuan, lepas ni kita ke Carrefour sekejap. Piah suruh saya belikan dia barang-barang dapur sikit.” Ujar Omar. Lelaki itu hanya mengangguk. Perlahan-lahan dia melangkah mengekori Omar menuju ke arah Carrefour yang dekat sahaja di hadapannya.

Leka matanya memerhatikan pemandunya itu sibuk mengisi bakul dengan barang-barang dapur. Dia turut memilih beberapa bungkusan biskut yang nampak sedap ke dalam bakul hijau itu.

Tiba-tiba dia terdengar suatu bunyi bising dari tempat tidak jauh dari rak dia berada. Serentak dia berpaling memandang pemandunya Omar yang juga seakan terkejut.

“Bunyi apa tu tuan?” Omar mengerutkan dahinya.

“Entahlah Omar, aku pun tak tahu. Kau tunggu sini, aku nak pergi tengok sekejap,” ujarnya seraya meletakkan barang-barang yang sudah dipegangnya ke tempat asal. Dia segera melangkah ke arah hadapan. Perasaan ingin tahunya semakin kuat.

Dari jauh sekelompok lelaki memakai seragam baju Carrefour sedang mengelilingi seseorang yang tidak nampak jelas wajahnya.

“Oh berani mencuri ya. Karim, panggil ‘security’ tangkap ini perempuan,” Jerit seorang lelaki India. Dia yang mendengar hanya mampu menggelengkan kepala. Tak sangka masih ada lagi yang begitu berani mencuri barang di tempat begini. Dia baru hendak berpatah balik, apabila terdengar suatu suara diselangseli tangisan yang meruntun hati sesiapa jua yang mendengar. Langkahnya tidak jadi dihela.

“Bukan..aku tak curi...aku tak curi…” ujar suara itu berulangkali.

“Mustahil. Kalau awak tak curi, macamana coklat ni boleh ada dalam poket baju awak.” Herdik lelaki India itu agak garang.

“Betul aku tak curi. Aku cuma ambil sebab aku lapar.” Ujar suara itu.

“Kalau lapar beli, bukan curi.” Marah salah seorang lelaki lain.

“Tapi aku tak ada duit. Anak aku ada duit, tapi dia hilang. Aku tak tahu mana dia pergi.”

Mendengar kata-kata itu, dia semakin ingin tahu apa sebenarnya yang sedang berlaku. Perlahan-lahan dia melangkah ke arah lelaki-lelaki itu. Dia nampak seorang wanita berambut ikat di belakang sedang mengadap beberapa lelaki itu. Namun wajah perempuan itu tidak kelihatan.

“Jangan dilayan perempuan ni Ramesh. Baik kita bawa aje dia jumpa security. Tahulah mereka nak buat apa nanti,” cadang salah seorang lelaki itu. Lelaki bernama Ramesh itu mengangguk setuju. Dia segera mencekak lengan perempuan itu.

“Tak mahu… tak mahu…” Wanita itu merengek-rengek, sambil cuba menolak tangan Ramesh dari lengannya.

“Mari ikut aku. Berani curi beranilah tanggung.” Tengking Ramesh separuh geram. Namun wanita itu tiba-tiba menggigit tangannya menyebabkan Ramesh tergaman bercampur sakit. Serentak Ramesh melarikan tangannya menyebabkan tubuh wanita itu tertolak ke belakang lalu mendarat di atas lantai.

Dia yang memerhatikan situasi itu turut terkejut. Dia segera mendapatkan wanita itu. “Puan, puan tak apa-apa?” Tanyanya. Wanita itu menoleh ke arahnya dengan airmata berlinangan. Dia terpaku. Bukan kerana airmata yang mengalir lebat di pipi wanita itu, tapi kerana wajah wanita itu mengingatkan dia pada seseorang.

“Mai…kau Mai kan?’ Dia bertanya sedikit gugup. Wanita itu memandangnya tapi terus membisu.

“Aku tahu kau Mai. Kau dah tak ingat aku lagi?” Dia bertanya lagi. Wanita itu menggelengkan kepalanya. Dia bingkas bangun. “Aku nak balik jumpa anak aku.” Maisara merengek-rengek, membuatkan dahinya berkerut seribu. Kenapa dengan dia? Wanita ini berbeza dengan Maisara yang aku kenal dulu, bisik hati kecilnya.

“Maaf encik, kami kena bawa perempuan ini ke security. Dia ni pencuri.” Sampuk lelaki India itu.

Dia memandang lelaki itu. Bibirnya tersenyum tenang. “Kalau boleh kita selesaikan di sini saja cukuplah. Kerja awak semua pun tak susah. Apa barang yang wanita ni curi, saya akan bayar ganti ruginya. Dua kali ganda pun tak apa.” Ujarnya. Lelaki India itu termenung panjang.

“Kalau begitu kata encik, saya ikut saja. Lagipun saya tengok perempuan ni lain macam saja.” Lelaki India itu memandang ke arah Maisara yang masih merengek-rengek seperti kanak-kanak kecil.

Dia turut menoleh ke arah wanita itu. Diam-diam diakui kata-kata lelaki India itu ada benarnya. Sebelum sempat dia membalas kata-kata lelaki India itu, tiba-tiba muncul seorang gadis entah dari mana lalu memeluk tubuh wanita di sisinya. Dia tergaman melihat adegan itu.

...bersambung

Bab akan datang:

Mengapa dengan ibu Duha sebenarnya? Siapa pula lelaki yang baik hati itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience