Rate

Chapter 181

Romance Completed 26118

Bab 181

Melihat reaksi Duha Maisara yang tidak mengendahkannya, Nashriq tiba-tiba naik marah. Dia meluru pantas ke arah gadis itu lalu mencekak lengan Duha Maisara, menyebabkan anak gadis itu tergamam.

“Apa ni, sakitlah,” rungut Duha Maisara. Namun Nashriq buat tidak peduli. Tubuh gadis itu ditolak masuk ke dalam keretanya. Duha Maisara tercengang melihat tindakan lelaki itu. Cengkaman tangan lelaki itu masih terasa perit di pergelangan tangannya. Nashriq segera memandu keluar ke arah jalan utama. Wajah Duha Maisara yang masam mencuka di sisinya dibuat endah tak endah.

“Apa kena dengan awak ni? Awak tak boleh buat macam ni sesuka hati awak.” Marah Duha Maisara tidak mampu ditahan. Lelaki itu menoleh sekilas sebelum kembali memandang ke arah jalan.

“Untuk orang yang degil macam kau, ini sahaja caranya.” Balas Nashriq tidak mahu mengalah. Duha Maisara hanya mampu mengeluh. Malas dia mahu berbalah dengan lelaki itu kerana dia tahu dia takkan menang. Matanya dilemparkan ke luar tingkap. Pandangannya berkaca.

“Kita pergi sarapan dulu lepas ni.” Beritahu Nashriq setelah suasana di dalam kereta tiba-tiba sunyi. Duha Maisara menoleh.

“Tak payahlah, dah lambat ni.” Dia membangkang. Namun melihat kereta lelaki itu sudah singgah di sebuah kafeteria, Duha Maisara hanya mampu mengeluh.

******

“Saya dah dapatkan maklumat yang Cik Estella mahukan tempoh hari tentang pembelian Vila Kecil.” Ujar lelaki itu. Mendengar nama Vila Kecil, dia tidak jadi meneruskan kerjanya. Nama itu lebih menarik perhatiannya berbanding sebeban dokumen di atas mejanya.

“Apa yang you dapat?”

“Lebih kurang dua belas tahun yang lalu, Cik Reyna beli Vila Kecil ni melalui peguam CK Tan iaitu peguam syarikat Mega Timur. Vila Kecil ni milik pasangan Munif Ibrahim dan Maisara Hadi.”

“Siapa mereka tu?”

“Munif Ibrahim adalah bekas pemandu Tuan Zainal Ikram yang dituduh membunuh Tuan Zainal dua belas tahun yang lalu. Dia dibicarakan dan didapati bersalah kerana membakar salah sebuah vila milik Tuan Zainal. Sepuluh tahun yang lalu dia meninggal dunia di dalam penjara kerana penyakit radang paru-paru. Maisara Hadi pula isteri kepada Munif. Mereka memiliki seorang anak perempuan bernama Raihana. Tapi kedua-dua anak isteri Munif hilang khabar sehingga sekarang. Tak ada seorang pun tahu mana mereka sekarang ini?” Cerita Jason, salah seorang orang kepercayaannya.

“Tapi apa kaitan keluarga ni dengan Reyna? Macam mana vila ni boleh jatuh ke tangan Reyna?” Estella mengerutkan dahinya. Apa pula kaitan vila itu dengan Nashriq sehinggakan lelaki itu beria-ria mahukan ia kembali.

“Dari hasil penyiasatan saya, vila ni asalnya milik Tuan Zainal sebelum diserahkan kepada keluarga pemandunya. Tapi selepas kejadian yang membabitkan Zainal Ikram, isteri Tuan Zainal telah menghalau anak isteri Munif dari rumah mereka sebelum hilang jejak. Vila ini kemudian diserahkan kepada Engku Iskandar sebelum dibeli oleh Reyna. Tapi yang menariknya bayaran harga vila itu yang dibuat kepada Engku Iskandar berharga lebih dua juta ringgit.” Jelas Jason.

Estella terpegun. Dua juta lebih untuk sebuah vila? Bagaimana wanita itu boleh memiliki wang sebanyak itu?

“Macam mana dengan vila tu sekarang? Apa Reyna buat dengan vila tu?”

“Yang peliknya, vila itu sekarang terbiar kosong begitu saja. Saya tak rasa Reyna berniat mahu tinggal di villa itu, Cik Estella.”

Estella terdiam. Berbaloikah harga hampir dua juta untuk sebuah vila yang hanya berharga lebih setengah juta? Atau ada urusniaga tersembunyi yang melibatkan Reyna dan Engku Iskandar? Tapi setahunya Reyna tidak memiliki wang sebanyak itu, kecualilah….dia tergaman.

“Kenapa Cik Estella?”

Estella memandang Jason. “Jason, you jangan ceritakan hal ni pada Reyna okey. I tak mahu dia tahu yang kita sedang menyiasat tentang Vila Kecil. Lagipun I rasa hal ni tak semudah itu. I rasa uncle I, Albert Wong dan Black Parade terlibat sama. Hanya persatuan yang mampu keluarkan wang sebanyak itu untuk membiayai sesuatu.” Estella menelah.

Jason terdiam. Namun mendengar nama Albert Wong disebut oleh wanita itu, sedikit sebanyak dia naik cemas. Siapa tidak kenal dengan Albert Wong yang terkenal dengan kekejamannya.

Estella termenung panjang. Walaupun secara layaknya dia menggantikan tempat ayahnya sebagai pemimpin persatuan, tapi yang berkuasa adalah Albert Wong, sepupu ayahnya sendiri. Malah sebahagian besar ahli-ahli persatuan itu patuh pada setiap arahan Albert berbanding dirinya. Estella menyedari keadaan itu. Dia hanya pemimpin pada nama, sedangkan Albert merajai semua ahli-ahli Black Parade yang masih tinggal. Malah sebahagian besar keuntungan dari A&K Corporation adalah untuk membiayai semua aktiviti yang dijalankan oleh Black Parade. Sesuatu yang sudah lama menjadi duri dalam dagingnya. Namun dia terpaksa akur menyedari nyawanya menjadi taruhan jika dia ingkar.

...bersambung

Bab akan datang:

Apa yang Reyna ingin lakukan dengan vila kecil itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience