Rate

Chapter 35

Romance Completed 26118

BAB 35

Suraya sedang sibuk menyusun program aturcara majlis ringkas meraikan delegasi perniagaan dari US yang akan diadakan minggu hadapan. Sememangnya dia dan ketuanya Mahira bertanggungjawab untuk memastikan semuanya berjalan lancar.

Sesekali sambil menghabiskan kerja, Suraya memicit kepalanya yang terasa pening. Tidak tahu kenapa, sejak semalam kepalanya asyik berdenyut. Dia sudah menelan beberapa biji aspirin sejak semalam, namun entah apa silapnya, sakit kepalanya tidak mahu hilang.

Namun disebabkan mahu menyiapkan kerja, dia memaksa diri. Lagipun dia faham benar sikap Mahira yang selalu marah-marah jika kerjanya terbengkalai.

“Jun, kau nak ke bilik rehat ke?” Suraya menegur Junaidah yang melewati mejanya. Langkah gadis itu terhenti.

“Tak, aku nak pergi hantar dokumen ni kat tingkat atas. Bos aku suruh hantar dokumen ni pada Katrina. Kenapa?”

“Tak adalah, ingatkan nak suruh kau ambilkan air untuk aku, malas benar kaki aku ni nak bergerak.” Dia tersengih.

“Aku pulak malas nak ke atas. Kerja aku bertimbun lagi kat atas meja tu. Lagipun si Kat tu bukan kau tak tahu perangainya, asyik nak bersembang aje. Hei apa kata kau tolong hantarkan dokumen ni untuk aku?” Junaidah tersengih.

Suraya terpegun. Dia menggaru kepala yang tidak gatal. Aku suruh dia, dia suruh aku pula. Elok benarlah tu…gumam Suraya sendiri. Dia mengeluh panjang.

“Takpalah, kau tinggalkan dokumen ni, nanti aku jumpa Kat. Tapi kau kena buat coklat panas untuk aku.” Ujar Suraya.

“Okey no problem, sekarang juga aku pergi buat.” Junaidah segera berlalu. Terpinga-pinga Suraya melihat lenggok tubuh gempal Junaidah yang berayun melangkah ke bilik rehat. Dia menggelengkan kepala. Aku atau dia yang malas sekarang ini? Suraya tersenyum. Melihat dokumen yang terbaring di mejanya, dia menarik nafas panjang. Nampaknya terpaksalah aku merangkak ke tingkat atas.

Suraya segera melangkah menuju ke arah lift. Butang lift ditekan. Sebaik sampai ke tempat dituju, matanya segera mengintai kelibat Katrina. Namun batang hidung temannya itu tidak kelihatan.

“Tumpang tanya, Katrina mana?” Tanya Suraya pada seorang lelaki yang sedang bercakap di dalam telefon. Lelaki itu tidak menjawab, sebaiknya jari telunjuknya dihalakan ke suatu arah. Suraya menoleh. Dia terlihat kelibat Katrina sedang berdiri di suatu sudut.

Namun belum sempat dia mahu menegur Katrina, dia terdengar suara bising-bising datangnya dari bilik Engku Latifah. Suraya tercengang. Apa yang ribut-ribut tu? Dia segera mendapatkan Katrina. Melihat kemunculan Suraya, Katrina terlebih dahulu melangkah pantas ke arahnya.

“Jom ikut aku ke meja.” Ajak Katrina seraya memegang lengan gadis itu.

“Kat, kenapa dengan Puan Engku tu? Siapa yang ada dalam bilik tu?”

Katrina tidak menjawab. Dia tidak mahu membuat apa-apa spekulasi apatah lagi orang yang dilibatkan adalah temannya sendiri. Diam-diam dia melirik ke arah Suraya. Entah kenapa dia yakin, nama yang disebut-sebut tadi adalah Suraya.

“Kat, aku tanya ni Puan Engku bergaduh dengan siapa?” Suraya tidak puas hati selagi belum tahu. Sebelum sempat Katrina mahu membuka mulut, pintu bilik itu terbuka lebar. Suraya menoleh. Dia tergaman melihat Nashriq keluar dari bilik itu dengan wajah merah padam.

Apabila anak muda itu melewatinya, Suraya tidak dapat menahan diri dari memanggil nama lelaki itu. Langkah Nashriq terhenti. Dia berpaling. Wajah resah Suraya menjadi sasaran.

Tanpa disangka, Nashriq tiba-tiba melangkah pantas ke arahnya. Suraya terkejut apabila lengannya dipaut kasar sebelum dihela ke arah pintu keluar. Adegan itu mengejutkan sebahagian besar kakitangan yang ada di situ, termasuklah Katrina sendiri. Dia benar-benar tidak menyangka, Nashriq akan bertindak di luar dugaan.

“Lepaskan I, malulah orang tengok.” Bisik Suraya sambil cuba melepaskan pegangan tangan Nashriq. Namun Nashriq tidak mengendahkannya, sebaliknya mengemaskan pegangan tangannya.

Sebaik sampai ke biliknya, tubuh kecil itu ditolak masuk. Suraya sedikit terkejut. Perlahan-lahan matanya mencari wajah Nashriq. Lelaki itu nampak bengang. Apabila mata lelaki itu menjamah wajahnya. Suraya seperti ditikam dengan sebilah belati tajam. Entah kenapa hatinya cemas. Pandangan Nahsriq menakutkannya. Lelaki itu seperti bersedia untuk melontarkan larva kemarahannya. Apa salah aku kali ini? Sebab semalamkah? Pelbagai andaian terbuku di kepala Suraya. Namun tiada satu pun yang mampu merungkai tanda tanyanya.

Mata Nahsriq masih melekat di wajah Suraya. Dia tertanya-tanya sendiri, apakah gadis itu tahu tentang rancangan keluarga mereka? Tak mungkin dia tidak tahu, hati Nashriq berbisik begitu.

Langkah Nashriq mendekat ke arah Suraya. Suraya nampak cemas. Wajah gadis itu takut-takut mahu berbalas pandang dengannya.

“Dengar sini, I tak peduli you siapa. I juga tak peduli kalau ayah you pesero utama syarikat ini. Tapi tak ada seorang pun yang boleh memaksa I buat sesuatu yang I tak suka. Tak seorang pun. Mengerti!” Herdik Nashriq berang.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Suraya berpura-pura tidak mengetahui rancangan keluarga mereka?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience