Rate

Chapter 58

Romance Completed 26118

Bab 58

Namun entah kenapa hatinya saat itu lebih tenang. Dia menggenggam tangan ibunya lalu dibawa ke bibirnya. Sebuah kucupan singgah di situ. Namun genggaman tangan wanita itu tak mudah dilepaskan. Dia membawanya ke dadanya, ingin merasai sentuhan kasih seorang ibu yang didamba-dambakan selama ini. Matanya terpejam rapat.

* * * *

Tangannya berjabat mesra. Sesekali dia tunduk tanda hormat pada klien-klien lama Mega Timur sewaktu ayahnya masih memegang teraju syarikat itu lagi. Majlis makan malam itu hanya sebagai tanda memperkenalkannya kepada wakil-wakil perniagaan dan klien-klien utama. Itu kata ibunya. Jika diikutkan hatinya, dia memang malas mahu keluar malam itu. Selesai mengiringi pemergian tetamu-tetamu itu, Engku Latifah memandang ke arah Nashriq.

“Selepas ini Naz nak ke mana?” Tanya wanita itu yang nampak anggun dengan dress labuh berwarna merah hati. Solekannya tipis tapi berseri. Dalam diam-diam Nashriq akui, ibunya itu masih menawan biarpun sudah berusia.

“Balik.” Jawab Nashriq ringkas.

“Balik ke rumah kita?” Pinta Engku Latifah. Dia memang amat merindui kehadiran Nashriq di sisinya.

Nashriq terdiam. Sudah acapkali perkara itu diutarakan kepadanya. Namun entah kenapa dia selalu bersikap acuh tak acuh terhadap permintaan wanita itu. Bukan dia tidak kasihan pada ibunya, namun hatinya merajuk dengan tindak tanduk ibunya yang selalu membekam perasaannya.

“Lepas ni Naz ada janji dengan abang Erman.” Nashriq memberi alasan. Engku Latifah mengeluh. Lagi-lagi Erman. Asyik-asyik Erman. Entah kenapa dia sering merasakan yang Erman banyak mempengaruhi setiap perlakuan Nashriq sekarang ini.

“Umi rasa Naz sepatutnya pertimbangkan permintaan umi untuk mengupah seorang pembantu. Sampai bila Naz nak susahkan Erman? Dia pun perlukan hidupnya sendiri kan?” Pujuk Engku Latifah. Besar harapannya agar umpan yang dipancingnya mengena.

“Abang Erman dah cukup buat saya umi, saya tak perlukan sesiapa lagi.” Balas Nashriq selamba. Dia takkan sesekali menyingkirkan lelaki itu dari hidupnya. Besar jasa Erman menjaga dan mendidiknya takkan terbalas olehnya.

Engku Latifah mengeluh. Kedegilan Nashriq kadangkala membuatkan dia kecewa sekaligus lemas.

Nashriq memandu sendirian meredah suasana malam bertemankan lampu neon. Dia teringatkan wajah ibunya yang muram lesu sebaik permintaannya ditolak mentah-mentah sebentar tadi. Kalau Erman tahu dia bersikap begini, tentu panjang leteran lelaki itu.

Kata Erman tempohari, seorang ibu tetap seorang ibu walau apa pun jua kesalahan yang dilakukannya. Dia mengerti hakikat yang satu itu. Kalau bukan kerana wanita itu, mana mungkin dia lahir ke dunia ini. Kalau bukan kerana wanita itu juga, masakan dia mampu menerokai dunia ini.

Tiba-tiba Nashriq teringatkan sesuatu. Pantas dia membuka dashbox, lalu mengeluarkan sebuah telefon. Bibir Nashriq tersenyum senang. Hampir dia terlupa untuk memulangkan telefon milik Duha Maisara. Dia segera memandu ke Blue Ocean, namun seketika hatinya ragu-ragu pula untuk ke sana. Jam di tangannya dikerling. Hampir pukul 11 malam. Mungkin gadis itu sudah pulang.

Serta-merta Nashriq segera membelokkan keretanya ke suatu arah. Dia ingin ke rumah gadis itu. Tentu duduk tak senang gadis itu memikirkan telefonnya yang entah ke mana. Wajah Duha Maisara terbayang di wajah Nashriq. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini dia sering memikirkan gadis itu. Setiap masa wajah Duha Maisara muncul dalam mimpinya. Dia tidak tahu apakah ertinya semua ini. Namun sedikit demi sedikit dia mula menyenangi kehadiran Duha Maisara dalam hidupnya. Cinta? Entahlah, dia sendiri tidak tahu apakah perasaan yang bergolak dalam hatinya adalah cinta. Tapi yang pasti kehadiran Duha Maisara sedikit sebanyak membuatkan dia teringatkan Raihana.

* * * *

Nashriq meletakkan keretanya di salah satu lot parking yang tersedia, sebelum menghela langkahnya deras ke kawasan apartment. Dia ingin segera bertemu dengan Duha Maisara. Hatinya seolah tidak sabar untuk menjenguk gadis itu, apatah lagi hampir dua hari mereka tidak bertemu.

Namun belum sempat Nashriq mahu menekan punat lift, telinganya mendengar bunyi bising dari taman di sebelah apartment itu. Hatinya tertanya-tanya penuh kemusykilan. Lantas dia tidak jadi memasuki lift, sebaliknya langkahnya diatur perlahan ke arah kawasan taman.

Dari jauh dia terlihat sesusuk tubuh kecil seorang gadis sedang mengadap seorang lelaki separuh umur yang berwajah garang. Serta-merta hati Nashriq bergolak kencang. Duha! Bisiknya sebaik cam wajah gadis yang kelihatan sedih itu.

Melihat airmata yang mengalir di wajah Duha Maisara, dia bagaikan tidak sabar mendapatkan gadis itu. Namun suara herdikan lelaki itu membuatkan langkah Nashriq terhenti.

“Aku dah kata aku datang nak ambil duit tu, tapi kamu buat aku naik angin. Mana duit simpanan kamu selama ini?”

“Ayah, Duha tak ada duit sebanyak tu. Ayah berhutang dengan siapa kali ni?”

...bersambung

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience