Rate

Chapter 38

Romance Completed 26118

BAB 38

Dato’ Mustadza terpegun. Pilu rasa hatinya bila anak yang ditatang bagaikan minyak yang penuh, terpaksa menderita seorang diri. Apa guna dia sebagai seorang ayah jika tidak mampu membantu anaknya sendiri. Maafkan ayah Sue, ayah terlalu sibuk hingga lupa tentang Sue. Maafkan ayah! Keluh Dato’ Mustadza benar-benar kesal.

******

“Dia mengidap penyakit kardiovascular. Satu-satunya cara untuk menyelamatkan Suraya adalah dengan menjalani pembedahan koronari jantung. Tapi Suraya degil. Selama ini dia hanya bergantung kepada ubat-ubatan untuk mengurangkan ketegangan berlebihan pada jantungnya.” Ujar Sachary sambil merenung jauh ke arah sepasang kanak-kanak yang sedang berlari-lari di kawasan hospital.

“Kenapa dia tak buat pembedahan?” Tanya Nashriq ingin tahu.

“Katanya dia takut dia mati ketika pembedahan. Dia tak sampai hati tinggalkan kami. Doktor Halim ada beritahu, ‘bypass surgery’ agak berisiko. Tapi dengan membiarkan Suraya begitu, juga adalah risiko bagi kami Naz.”

“Kenapa?”

“Suraya tak boleh menerima sebarang kejutan. Apa sahaja perkara yang mengejutkannya samaada gembira atau sedih, boleh membuatkan dia mendapat serangan mengejut. Bila-bila masa dia boleh ‘pergi’.” Ujar Sachary muram.

Nashriq terdiam. Dia tak menyangka, gadis seriang Suraya akan berdepan dengan keadaan sebegini. Terbit rasa bersalah di hati Nashriq mengenangkan apa yang telah dilakukannya pada Suraya. Dia tidak tahu apa sahaja layanannya pada Suraya boleh merisikokan nyawa gadis itu. Oh tuhan! Kalaulah aku tahu hal sebenar.

“Kau tahu, Sue suka kau Naz.” Sachary tersenyum.

Nashriq tergaman. Dia memandang Sachary yang tergelak kecil.

“Selepas makan malam tempohari, dia tak habis-habis bertanya ayah fasal kau. Sampai tak menang mulut orang tua itu nak menjawab. First time aku tengok dia macam tu. Selalunya Sue tak pernah serius mahu mengenali lelaki. Bagi dia, nyawanya bila-bila masa akan melayang. Dia tak kisahkan hidupnya langsung, kecuali menikmati setiap hari bagaikan hari terakhir.”

Ucapan Sachary membuatkan perasaan Nashriq berkeping-keping. Selama ini dia salah sangka dengan Suraya. Dia menyangkakan Suraya salah seorang anak orang kaya yang menggunakan rupa dan status untuk memancing lelaki. Rupa-rupanya sikap nakal gadis itu bersebab. Entah kenapa perasaan simpati Nashriq tumpah pada Suraya. Dia mengerti kini.

******

¬ Selepas waktu pejabat, Nashriq bergerak semula ke hospital. Dia ingin melawat gadis itu. Dua hari sudah dia tidak sempat melawat Suraya yang kian pulih. Ini disebabkan dia terdengar ura-ura kakitangan pejabat itu yang merancang mahu melawat gadis itu diketuai oleh Katrina, setiausaha ibunya.

Nashriq sempat membeli sejambak bunga ros segar di Florist berdekatan sebelum memandu ke arah kawasan hospital. Setelah dia meletak kereta di parking bersebelahan bangunan hospital, dia segera melangkah masuk ke hospital swasta itu.

Sementara menunggu pintu lift terbuka, mata Nashriq ralit memerhatikan ke arah orang ramai yang berpusu-pusu keluar dari lift yang satu lagi. Lama matanya terpaku di situ. Sekali lagi dia terkejut melihat wajah itu sedang berbual-bual dengan seorang lelaki berpakaian serba putih, sambil beriringan keluar dari lift.

Dahi Nashriq berkerut. Kedua-duanya nampak mesra. Sesekali jemari lelaki itu menguis rambut si gadis. Gadis itu hanya membiarkan. Nashriq tersengih. Amboi, mesra nampaknya. Entah mengapa Nashriq tiba-tiba teringat peristiwa di Blue Ocean minggu sudah, bagaimana gadis itu menolak tubuhnya.

Dia mula terfikirkan sesuatu. Apakah gadis itu sengaja berpura-pura suci di hadapannya? Mungkin dia sengaja mahu menjerat aku. Malah lelaki-lelaki yang dikatakan mahu mengejarnya hanya satu pembohongan yang sengaja direka untuk mengelabui mataku. Mungkin juga semua ini sudah dirancang sejak awal-awal lagi.

Mata Nashriq masih mengawasi kelibat gadis itu dan pasangannya. Memandang wajah doktor yang bersama gadis itu, dahi Nashriq berkerut. Dia baru teringat, itulah doktor muda yang merawat Suraya kali pertama dahulu. Tapi apa hubungan doktor itu dengan gadis itu? Pasangan kekasihkah? Tak mungkin seorang doktor akan tertarik dengan pelayan kelab seperti itu. Atau mungkinkah dia sama seperti aku? Tertipu dengan wajah ‘innocent’, dengan sepasang mata yang memukau sesiapa sahaja yang memandang.

Tanpa dia sedar, kakinya terus mengekori pasangan itu. Sampai di hadapan pintu utama, pasangan itu berhenti. Nashriq melihat doktor itu berbisik sesuatu di telinga gadis itu, sebelum langkah kaki gadis itu mula diatur. Kedua-duanya sempat berbalas senyuman sebelum berpisah di hadapan lobi hospital.

******

Dari jauh, dia melihat gadis itu memasuki sebuah kedai buku. Dia diterpa rasa hairan. Apa gadis itu buat di situ. Hendak membeli bukukah? Bibirnya mula menguntum senyum. Agaknya hendak mencari buku bagaimana mahu memikat hati lelaki barangkali, bisik Nashriq nakal.

Dia sendiri tidak tahu, kenapa tiba-tiba sahaja dia tergerak hati mahu mengekori gadis itu. Asalnya dia mahu bertemu Suraya, tapi tiba-tiba sahaja dia melencong ke arah lain. Bunga untuk Suraya tadi entah di mana dicampakkannya. Baginya, dia tidak mahu melepaskan peluang mengekori gadis itu. Dia benar-benar ingin tahu helah gadis itu sebenarnya.

...bersambung

Bab akan datang:

Siapakah sebenarnya gadis yang diekori Nashriq itu? Mengapa Nashriq benar-benar ingin tahu tentang gadis itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience