Rate

Chapter 74

Romance Completed 26118

Bab 74

Siang tadi, dia ke kedai buku tempat Duha Maisara bekerja, namun bayang gadis itu tidak kelihatan di sana. Malah Syafa sendiri mengaku, Duha Maisara sudah dua hari tidak datang bekerja. Dia jadi risau, bimbang jika sesuatu yang buruk menimpa gadis itu. Bagaimana kalau betul Duha Maisara ditimpa malang? Zafran mengelengkan kepala. Tak mungkin! Dia cepat-cepat membuang sangkaan buruk yang bersarang di kepalanya.

Dulu bukan tidak pernah Duha Maisara menghilangkan diri. Kadangkala berjam-jam lamanya. Tapi entah kenapa kali ini, hati Zafran dirasuk bimbang, Duha Maisara tidak pernah sampai tidak pulang ke rumah. Dia semakin risau setiapkali memikirkan tentang gadis itu. Duha ke mana? Tahukah Duha betapa hati abang rasa serba tidak kena bila Duha tiada!

“Duha dah dua hari tak datang bekerja, Zafran.” Ujar Syafa siang tadi. Dia terpaku seketika mendengar kata-kata wanita itu. Sangkanya Duha Maisara terlalu sibuk di kedai buku sehinggakan tiada masa lagi untuk menjenguknya di hospital Kalau tidak selang sehari, gadis itu akan datang menemaninya makan tengahari. Apatah lagi apartmentnya dekat sahaja dengan hospital. Tapi dugaannya meleset.

“Duha ada kawan lain tak kak?” Soal Zafran. Namun dia malu juga dengan Syafa kerana bertanya soalan yang bukan-bukan. Mesti Syafa mengatanya, masakan adik sendiri sampai tidak tahu dengan siapa berkawan.

“Entahlah, kakak sendiri pun tak tahu. Kalau kat sini, selain kakak, Duha juga rapat dengan Ezad dan Rina. Yang lain tu kakak tak tahu.” Balas Syafa.

Zafran mengeluh panjang. Sepantas kilat dia mencampakkan telefonnya ke atas meja. Mukanya diraup perlahan. Sudahlah ayahnya hilang entah ke mana, sekarang giliran Duha Maisara pula. Oh tuhan, janganlah kau timpakan malapetaka pada Duha Maisara. Kalau dia sesat, bawalah dia pulang ke pangkuanku ya Allah, doa Zafran tidak putus-putus.

* * * *

Waktu hampir petang, baru Nashriq kembali ke pejabat. Dia menolak pintu biliknya, namun wajah pertama yang ditemuinya ialah wajah uminya. Wanita itu asyik memandang ke luar jendela. Merenung kosong pada pemandangan bandaraya Kuala Lumpur yang tersergam indah.

Melihat wanita itu tidak bersuara, Nashriq mendekatinya perlahan-lahan. Kotnya dicampakkan ke arah sofa sambil matanya mengawasi wanita itu. Dia tahu apa yang mahu dinyatakan oleh wanita itu sebenarnya. Pastinya kerana dia gagal menghadiri tapak projek yang baru memulakan fasa pertama di Putrajaya.

“Umi…” tegur Nashriq.

Engku Latifah berpaling. Menatap wajah Nashriq yang baru muncul. Renungan wanita itu penuh dengan kekesalan yang terlukis di matanya.

“Anis kata Naz tak sihat? Betul ke?” Soal Engku Latifah dengan wajah serius.

Lelaki itu tidak menjawab. Langkahnya segera diatur ke arah jendela, mengambil kedudukan wanita itu sebentar tadi. Matanya memandang ke arah sekawan burung yang melintas di hadapan cermin kaca itu.

“Naz betul-betul tak sihat atau itu cuma alasan?”

Dia memandang wanita itu. “Jadi umi datang nak tengok sendiri bagaimana keadaan saya? Nampaknya Puan CEO ada banyak masa lapang sekarang ni.”

“Nashriq!” Herdik Engku Latifah. Entah kenapa kata-kata anak muda itu kedengaran melampau.

“Umi cuma mahu Naz faham tanggungjawab Naz. Fikir yang mana yang lebih penting. Jangan bawa masalah peribadi di tempat kerja.”

Nashriq menatap ibunya. “Saya tahu yang mana lebih penting dalam hidup saya. Saya takkan biarkan umi rampas setiap detik berharga dalam hidup saya, seperti yang pernah umi buat dulu.”

Engku Latifah terpaku. Kata-kata anak muda itu menyengat perasaannya. Selama ini dia bersabar dengan setiap kerenah Nashriq. Ini kerana dia yakin, jauh di sudut hati Nashriq masih menyayanginya. Meskipun bersifat dingin, namun Nashriq masih mengenangnya sebagai seorang ibu. Tapi baru kali ini dia tahu, rupa-rupanya anak yang disayanginya selama ini benci padanya.

“Saya akan pergi tengok semula tapak projek tu esok. Umi jangan risau, projek itu akan saya awasi dengan ketat. Cuma saya harap, umi berhenti dari menganggu hidup saya.” Ujar Nashriq seraya melangkah keluar.

Engku Latifah terpaku. Kata-kata Nashriq menjemput rasa hampa yang bertaut. Sampai bila? Sampai bila anak itu mahu meminggirkan kewujudannya?

Nashriq menghirup teh ais di warung kecil di seberang pejabatnya sehingga habis. Irama lagu Inggeris lama yang dinyanyikan oleh Caterpillar menerusi radio antik di gerai itu sedikit sebanyak membuai perasaannya. Dia termenung panjang. Fikirannya jadi lusuh. Dia tahu wanita itu tersinggung hati. Dia juga tahu sebagai anak, tidak wajar dia menuturkan kata-kata kejam itu. Tapi mengenangkan perbuatan ibunya selama ini, dia seolah merelakan dinya berlaku kejam.

Kadangkala dia selalu membayangkan dirinya dibelai oleh wanita itu, disayangi sepenuh hati. Tapi sejak kecil, yang sentiasa ada untuknya hanyalah ayahnya. Yang sentiasa menyokong setiap kali dia rebah juga adalah lelaki bernama Zainal Ikram. Itu yang dipelajarinya sejak kecil. Wajah itu yang sering dijadikan idolanya setiap masa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience