Rate

Chapter 184

Romance Completed 26118

Bab 184

Dokumen penting ini harus diserahkan segera kepada syarikat yang tertulis pada dada sampul. Sebaik sampai ke Syarikat Tat Heng, Duha Maisara disambut seorang lelaki berketurunan Cina di hadapan muka pintu syarikat itu. Dia segera menerangkan tujuan kedatangannya. Sampul surat itu segera diserah kepada lelaki itu.

“Aiyaa Encik Nashriq banyak bagus la. Saya sudah kasi tahu sama dia, borang kaji selidik ini saya boleh suruh orang saya angkat sana. Tapi dia susah payah mahu hantar sini juga. Manyak terima kasih lu kasi tahu dia ya miss.” Ujar lelaki Cina itu, membuatkan Duha Maisara tergaman. Borang kaji selidik?

“Tokei, dokumen ni bukan dokumen pesanan barang-barang ke?” Tanya Duha Maisara ingin tahu.

“Bukan miss, itu form sebut harga, syarikat sudah hantar minggu lepas. Ini form kaji selidik, kami kasi pada regular customer untuk diisi. Memang tiap-tiap tahun kami kasi,” jelas lelaki itu.

Mendengar kata-kata lelaki itu Duha Maisara tergelak sendiri. Entah kenapa dia rasa lucu dengan sikap Nashriq. Kenapa dia main-mainkan aku sampai macam ni sekali? Ketawanya tiba-tiba meletus tidak dapat ditahan, membuatkan lelaki Cina itu terpinga-pinga.

“Kenapa lu ketawa miss?” Tanyanya. Hairan dengan sikap gadis itu.

Duha Maisara hanya menggelengkan kepala. “Tak ada apa-apa tokei, saya ketawakan bos saya saja.” Jawab Duha Maisara sambil tersenyum.

Dia segera melangkah keluar dari syarikat itu sambil berfikir ke mana pula arahnya selepas ini. Balik ke pejabat atau balik ke rumah? Baik balik ke rumahnya sahaja, lagipun lelaki itu yang mengarahkannya keluar pada waktu pejabat. Kalau dia disalahkan, tentu lelaki itu yang kena dahulu. Duha Maisara tersenyum simpul. Biar padan muka Nashriq menantinya pulang semula ke pejabat.

Dia segera mengatur langkah menuju ke suatu arah. Tangannya baru sahaja hendak menahan teksi, tatkala telefon bimbit di dalam beg tangannya berbunyi minta diangkat. Aduh siapa pula yang menelefon pada waktu begini? Nashriqkah? Macam tahu-tahu saja aku nak ponteng kerja. Tapi apabila Duha Maisara mengerling ke arah skrin telefon, nombor Al-Raudah yang keluar membuatkan jantungnya berdegup pantas. Dia cepat-cepat menjawab panggilan itu.

Dari jauh seorang lelaki tak sudah-sudah mengawasi kelibat gadis itu dari dalam kereta. Sejak gadis itu meninggalkan perkarangan bangunan Mega Timur, dia sudah mula mengekori langkah gadis itu sehinggalah ke Al-Raudah. Entah kenapa sejak dia mengetahui sesuatu tentang Duha Maisara, dia bagaikan tidak senang duduk. Apa sahaja yang dibuat serba tidak kena.

Dari jauh matanya terpandang seorang wanita bercermin mata berpakaian serba putih sedang bercakap-cakap dengan Duha Maisara. Di samping wanita itu, muncul pula seorang jururawat sambil menghela seorang wanita yang lain. Melihat wanita yang terakhir itu, dia tidak dapat melarikan matanya.

******

“Duha tak kisah bawa ibu Duha balik malam ni?” Tanya Doktor Habibah.

“Tak apa doktor. Lagipun mak dah ikut saya balik tempoh hari, so far tak ada apa-apa masalah. Lagipun esok saya cuti.” Jawab Duha Maisara.

“Maaflah sebab telefon Duha mengejut macam ni. Mak Cik Jamilah ni sejak malam semalam merengek-rengek nak jumpa Duha. Semalaman petugas di sini tak boleh tidur dibuatnya, kerana terpaksa memujuk dia. Itu sebab saya terpaksa terlefon Duha.” Ujar Doktor Habibah lagi.

“Tak apalah doktor, saya tak kisah. Memang saya merancang nak minta izin doktor bawa mak saya keluar hujung minggu ni. Tapi sebab doktor dah telefon, senanglah kerja saya.” Jawab Duha Maisara.

Dia memandang ibunya yang nampak ceria dengan kedatangannya. Lengannya tidak pernah berenggang dipaut oleh wanita itu. Wanita itu seakan takut dia akan pergi meninggalkannya keseorangan. Walaupun keadaan ibunya begitu, tapi entah kenapa Duha Maisara seakan-akan dapat merasai perasaan wanita itu.

Sebelum pulang, dia sempat singgah di sebuah kafe lalu memesan dua cawan aiskrim. Melihat aiskrim yang terhidang di hadapannya, Maisara nampak gembira. Tanpa berlengah dia merasa aiskrim itu sehingga mulutnya comot. Duha Maisara tertawa kecil melihat reaksi ibunya. Perlahan-lahan dia mengambil tisu lalu mengesat hujung mulut wanita itu yang bersisa dengan aiskrim.

“Mak, perlahan-lahanlah makan aiskrim tu. Kan ada banyak lagi tu,” pujuk Duha Maisara. Wanita itu mengangguk sambil terus menikmati aiskrim di hadapannya. Duha Maisara tersenyum. Sikap ibunya masih keanak-anakan seperti beberapa minggu yang lalu. Tapi dia langsung tidak kisah. Asalkan wanita itu mengenalinya, cukuplah bagi dirinya. Dia tidak berani meminta lebih dari itu.

Melihat nama yang tertera pada skrin telefon bimbitnya, Duha Maisara tiba-tiba teringatkan Nashriq. Dia mengeluh panjang. Entah apa mahunya kali ini. Namun panggilan lelaki itu dibiarkan sahaja tidak berjawab. Mujurlah dia telah menukar nada panggilan kepada ‘silent’ jadi tidaklah dia menganggu pengunjung-pengunjung lain yang berada di situ.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah ibu Duha mahu ikut dia pulang lagi kali ini?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience