Rate

Chapter 107

Romance Completed 26118

Bab 107

Meskipun hati gadisnya berdebar-debar, namun dia seolah-olah mengharapkan layanan Nashriq padanya akan terus kekal begitu. Oh Tuhan! Apakah aku mula mencintainya? Apakah kerinduan yang sering aku rasakan selama ini adalah cinta?

Sebaik sedar dari lamunan seketikanya, Duha Maisara segera menolak daun pintu yang sedikit renggang. Dia meletakkan kasut yang dipakainya ke dalam rak kasut di tepi pintu. Apabila pandangannya beralih, jantung Duha Maisara bagaikan terhenti apabila melihat sesusuk tubuh sudah tercegat memerhatikannya.

“Abang! Dah lama abang balik?” Tanya Duha Maisara sedikit gugup. Dia sendiri tidak menyangka Zafran akan singgah malam itu. Selalunya Zafran akan menelefonnya dulu jikalau mahu singgah. Namun kehadiran mengejut Zafran malam itu membuatkan dia diterpa rasa hairan. Selebihnya dia bimbang jika Zafran terdengar perbualannya dengan Nashriq sebentar tadi.

Pertanyaan Duha Maisara tidak berbalas. Zafran masih melirik ke arah anak gadis itu yang nampak resah. Apakah matanya yang silap memandang atau sememangnya Duha Maisara seperti serba-salah mahu mendongak wajah menatapnya?

Zafran menuju ke arah sofa lalu segera duduk. Remote control dicapai lalu dia memasang televisyen dengan kuat. Matanya terpanah ke arah skrin televisyen, namun hatinya masih pada adegan yang sempat ditontonnya sebentar tadi dari sebalik pintu yang sedikit renggang. Entah kenapa hati Zafran jadi panas. Dia benar-benar tidak suka dengan apa yang dipandangnya sebentar tadi. Hatinya cemburu apabila melihat lelaki itu mengucup jari-jemari Duha Maisara. Siapa dia? Apakah Duha Maisara mencintainya? Zafran memejamkan matanya. Dia cuba menghalau hakikat yang lelaki itu adalah teman istimewa Duha Maisara.

Melihat Zafran seakan tidak mempedulikannya, Duha Maisara semakin resah. Dia perlahan-lahan menghampiri lelaki itu lalu duduk di samping Zafran.

“Abang dah makan? Nak Duha sediakan makanan untuk abang?’ Soal Duha Maisara, lembut.

Zafran menoleh. Anak mata gadis itu ditatap tajam. Melihat renungan Zafran menikam matanya, hati Duha Maisara semakin gelisah. Dia bingkas bangun. Namun belum sempat langkahnya diatur, pertanyaan Zafran membuatkan dia terpegun.

“Siapa dia?” Soal Zafran tiba-tiba.

Duha Maisara terdiam. Dia sedar renungan Zafran semakin menggila singgah di wajahnya. Dia juga tahu Zafran seolah berperang dingin dengannya. Pasti lelaki itu sudah mendengar segala-galanya tadi.

“Dia ketua di tempat Duha bekerja.” Jawab Duha Maisara akhirnya. Dia tidak mahu berbohong dengan Zafran tentang perasaan hatinya. Namun dia juga tidak mahu Zafran terus terluka.

“Ketua?” Zafran hairan mendengar penjelasan Duha Maisara. Bukankah gadis itu bekerja di kedai buku Syafa!

“Dia ketua Duha di Mega Timur Construction. Dia cuma hantar Duha balik saja tadi.” Jawab Duha Maisara.

“Mega Timur? Sejak bila Duha bekerja di sana? Kenapa tak beritahu abang sebelum ni? Apa abang dah tak layak mencampuri urusan hidup Duha?” Suara Zafran berbungkam dengan rasa tidak puas hati.

“Bukan macam tu. Duha tak bermaksud nak rahsiakan hal ni dari abang.Tapi semua ini berlaku dengan pantas. Duha tak sempat nak beritahu abang. Dia hanya ketua Duha.” Jawab Duha Maisara.

Zafran terdiam. Mata bening gadis itu ditatap lama. Penjelasan Duha Maisara membuatkan dia rasa terpukul. Bagaimana harus dia mempercayai kata-kata Duha Maisara, jika matanya sendiri nampak kemesraan kedua-duanya sebentar tadi. Dia juga nampak anak mata Duha Maisara bersinar-sinar tatkala menghantar kelibat lelaki itu pergi. Entah kenapa dia risau. Hatinya gusar melihat reaksi Duha Maisara.

* * * *

Selepas Zafran pulang, Duha Maisara masih tidak mampu melelapkan matanya. Dia berteleku di atas sofa sambil termenung panjang. Raut wajah muram Zafran sewaktu hendak beredar tadi masih kekal dalam ingatannya. Zafran tidak banyak berbual dengannya malam itu. Dia dapat meneka sebabnya namun tidak berani mahu mengandaikannya. Maafkan Duha abang. Duha tak berniat menipu abang, juga tak berniat melukakan hati abang. Tapi kasih sayang yang abang curahkan itu, membuatkan Duha takut untuk berhadapan dengan abang. Bimbang abang akan kecewa.

“Abang sayangkan Duha, teramat sayang. Duha tahu itu kan?” Bisikan Zafran di muka pintu sudah acapkali singgah di telinganya. Namun setiap kali Zafran berbicara begitu, dia hanya tertawa, pura-pura tidak mengerti. Tapi sebentar tadi, anehnya ketawanya sudah mati, sudah tidak mampu dihamburkan keluar. Sudahnya dia diam sahaja. Langkah Zafran diiringi dengan tangisan yang muncul sepi dalam hatinya.

Wajah Zafran yang kesedihan diganti pula dengan wajah Nashriq yang tersenyum. Dia sebenarnya keliru, juga bingung. Hubungan antaranya dengan Nashriq, entah sejak bila sebenarnya bertaut. Malah dia sering tertanya-tanya, apakah sebenarnya mereka sedang bercinta. Meskipun Nashriq tidak pernah mengucapkan kata-kata cinta, tapi sikap lelaki itu terhadapnya kian berubah hari demi hari. Dia perasan lelaki itu melayannya dengan baik, tidak lagi seperti dulu.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah hati Duha sudah berpaut pada Nashriq?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience