Rate

Chapter 134

Romance Completed 26118

Bab 134

“Apa khabar? Rasanya kita masih belum berkenalan. Saya Nashriq.”

Zafran hanya memerhatikan lelaki di hadapannya. Huluran tangan Nashriq langsung tidak disambut. Nashriq menjatuhkan tangannya. Dia seolah tidak kisah dengan layanan Zafran padanya.

“Maaf sebab bawa Duha Maisara ke Pulau Pinang secara tiba-tiba. Kami ada mesyuarat dan majlis makan malam di sana. Saya harap doktor tidak marahkan Duha. Semua ni salah saya, saya yang tergesa-gesa bawa dia tanpa pengetahuan doktor.” Ujar Nashriq.

Duha Maisara terpegun. Sikap merendah diri Nashriq jarang-jarang dia nampak. Betulkah dia Nashriq yang sama yang aku kenali dulu?

“Encik Nashriq, I think you should go home right now.” Ujar Zafran sambil menarik lengan Duha Maisara yang kelihatan resah, masuk ke dalam. Namun belum sempat pintu di hadapannya dikatup, tangan Nashriq terlebih dahulu menahan. Zafran tergaman. Wajah lelaki di hadapannya direnung tajam.

“Maaf Doktor Zafran, sebelum pergi saya nak cakap sesuatu dengan doktor. Saya harap doktor boleh dengar dulu.” Pinta Nashriq.

“Baik, awak nak cakap apa?” Zafran menghela nafas berat. Dia mengerling Duha Maisara yang hanya diam membisu.

Mata Nashriq menuju ke arah Duha Maisara yang berada di samping Zafran. Dia menarik nafas panjang, cuba mengumpul sisa-sisa keberaniannya. Sejurus, matanya beralih ke arah Zafran.

“Saya cuma nak awak tahu yang saya serius dengan Duha. Perasaan saya pada dia bukan main-main. Saya sayangkan dia.”

Duha Maisara terpempan mendengar pengakuan berani Nashriq. Tubuhnya serta-merta longlai di samping Zafran. Dia bagaikan tidak dapat mempercayai apa yang didengarinya. Oh Tuhan, apa dia buat ni?

Zafran memandang Nashriq tidak berkelip. Buku limanya sudah dikepal-kepalkan. Jika diikutkan hatinya, dia mahu menumbuk lelaki itu saat itu juga, tapi dia masih waras. Dia tidak mahu satu kawasan apartment itu kecoh kerananya. Namun pengakuan Nashriq benar-benar meremukkan hatinya. Dia memandang Duha Maisara yang kelihatan terkejut. Wajah gadis itu seperti orang bingung.

******

Duha Maisara hanya mampu diam apabila berhadapan dengan Zafran. Dia tidak tahu apa yang harus diucapkannya. Wajah Zafran menakutkannya. Sejak setengah jam selepas Nashriq beredar dari situ, sepatah suara pun tidak keluar dari bibir Zafran.

Perlahan-lahan, Duha Maisara melirik ke arah lelaki itu. Reaksi Zafran sama seperti tadi. Dia bingkas bangun dari kerusi yang didudukinya.

“Abang lapar? Duha masakkan bubur ya, nanti kita makan sama-sama,” pujuk Duha Maisara. Dia berjalan melewati Zafran, namun serentak lengannya tiba-tiba dipaut kasar oleh lelaki itu. Duha Maisara tergaman apabila Zafran tiba-tiba memeluknya. Erat.

“Abang, jangan buat macam ni. Tak elok.” Duha Maisara bersuara separuh gementar. Dia cuba melonggarkan pelukan Zafran namun lelaki itu mengemaskan lagi pelukannya membuatkan Duha Maisara seperti sesak nafas. Sedaya upaya dia cuba menolak tubuh Zafran, namun dia gagal.

“Abang..please, jangan buat Duha macam ni,” rayunya tak henti-henti.

Zafran tiba-tiba melepaskan pelukannya. Namun bahu Duha Maisara dipaut kemas ke arah tubuhnya. Dia merenung anak mata gadis itu dengan pandangan dingin.

“Kenapa? Tak suka abang peluk Duha? Tapi kalau lelaki tu, Duha suka kan?” Sinis nada suara Zafran menuturkan kata-kata.

Duha Maisara tergamam. Kata-kata Zafran seakan belati yang menghiris hatinya menjadi kepingan-kepingan kecil. Dia tidak dapat menahan perasaan. Matanya mula berkaca.

“Apa Duha buat dengan lelaki tu di Pulau Pinang? Duha bermalam dengan dia?” Tuduh Zafran tanpa berfikir panjang. Dia benar-benar meradang kali ini sehingga langsung tidak memikirkan perasaan Duha Maisara.

“Apa abang cakap ni?” Duha Maisara terkejut besar. Dia tidak sangka Zafran yang disanjunginya boleh mengeluarkan kata-kata yang melukakan hatinya seperti itu.

“Abang bukan bodoh sehingga tak nampak apa yang berlaku di hadapan mata abang. Selama ini Duha terlalu banyak menipu abang. Semuanya sebab lelaki itu kan? Dia beri apa pada Duha sehingga Duha berubah begini?” Herdik Zafran marah.

“Bukan Duha yang berubah, tapi abang. Abang yang berubah sebenarnya.” Bisik Duha Maisara sebak. Zafran tersentak.

“Duha masih begini, masih sayangkan abang dan juga hormat pada abang. Semuanya sebab abang yang pimpin Duha dalam kegelapan, abang yang beri Duha harapan untuk terus hidup. Tapi kini abang minta balasan untuk segala yang abang telah lakukan untuk Duha. Abang minta Duha mencintai abang, sedangkan Duha tak mampu melakukannya. Kalau Duha tahu begini, lebih baik kita tak pernah berjumpa. Lebih baik abang dan ayah abang tinggalkan saja Duha mati di jalanan dua belas tahun yang lalu. Biar Duha mati saja dari menyusahkan abang dan ayah abang.” Rintih Duha Maisara. Tangisan hatinya cuba ditahan, meskipun dia sudah tidak berdaya.

...bersambung

Bab akan datang:

Apa pula yang akan dikatakan Zafran?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience