Rate

Chapter 51

Romance Completed 26118

Bab 51

“Kenapa kau bawa aku balik ke mari?” Dia teringat soalan yang ditanyakan pada Duha Maisara pagi tadi.

“Awak cedera.” Jawab gadis itu selamba.

“Kalau cedera, kenapa tak bawa aku ke hospital, kenapa mesti rumah kau?” Dia mengusik gadis itu, sekaligus menduga.

Duha Maisara terdiam.

“Jangan-jangan kau dah jatuh cinta dengan aku kan?” Tebaknya sambil tersenyum. Dan seperti yang dia duga, wajah Duha Maisara berubah. Perasaan gadis itu senang benar terlakar di wajahnya. Dan dia hanya tertawa dengan usikannya.

“Oh ya, abang sebenarnya nak beritahu kau yang abang dah ke kampung Telaga Pandak, tapi tak ada seorang pun pernah nampak Raihana dan ibunya. Mereka seperti lesap begitu sahaja. Malah semasa pengebumian Munif, mereka juga tidak muncul-muncul.” Beritahu Erman.

Nashriq terdiam. Berita yang dibawa Erman kembali membuatkan hatinya menderu keresahan.

“Abang juga dah siasat tentang penjualan Vila Kecil pada syarikat A&K Corporation. Orang yang berurusniaga dengan Reyna Tan dalam urusan penjualan Vila Kecil adalah Engku Iskandar dan CK Tan. Abang dapat tahu, Puan Engku serahkan geran Vila Kecil pada Engku Iskandar dua belas tahun lalu.” Terang Erman.

Nashriq terkejut apabila nama Engku Iskandar dibabitkan sama.

“Abang dapat tahu hubungan Engku Iskandar dengan A&K Corporation cukup baik. Malah dia yang bawa masuk urusniaga Mega Timur dengan A&K Corporation lapan tahun dahulu.”

“Tapi kenapa pihak A&K Corporation berminat dengan Vila Kecil?”

“Itu abang tak pasti Naz. Lagipun susah abang nak siasat fasal Estella Wong, pemilik A&K Corporation ni. Malah maklumat tentang Reyna Tan pun sukar nak diperolehi. Pelik juga sebab syarikat ni salah satu syarikat gergasi Singapura, tapi tak ramai yang tahu latarbelakang Estella Wong dan Reyna Tan. Tapi abang ada dengar desus-desus yang tak enak tentang syarikat ni.” Ujar Erman.

“Maksud abang?”

“Entahlah, mungkin ia tak benar. Mungkin juga ia disebarkan oleh orang yang berniat tidak baik. Tapi abang terdengar uru-ara tentang kongsi gelap Singapura yang berlindung di belakang nama A&K Corporation.”

Nashriq tergaman. Kongsi gelap Singapura?

******

Suraya mengemaskan pakaiannya sambil ditemani oleh Sachary. Risau Sachary melihat wajah Suraya yang masih pucat, tapi tetap berkeras ingin keluar dari hospital. Sejak semalam, ketika gadis itu meluahkan hasrat hatinya ingin keluar hospital awal, sedaya upaya dia menghalang. Namun kekerasan hati Suraya tidak boleh dilawan secara paksaan. Mahu tak mahu Sachary terpaksa menurut.

“Prosedur keluar hospital, abang dah uruskan?” Tanya Suraya.

Sachary menggeleng. Suraya mengeluh. Hmm memang lelaki itu membantah dia keluar hospital awal, tapi takkanlah sampai merajuk tidak mahu membantunya menguruskan prosedur itu.

“Tak apalah bang, nanti Sue buat sendiri.” Ujar Suraya sambil tersengih. Dia segera melangkah keluar dari wadnya sambil membimbit beg pakaian kecil. Sachary mengekor dari belakang, tidak bersuara. Dia masih bimbangkan reaksi ayahnya jika tahu tindakan Suraya. Sedikit sebanyak kedegilan anak gadis itu mampu membuatkan dia dimarahi ayahnya. Pening dia bagaimana hendak memberitahu orang tua itu perihal Suraya.

“Abang jangan bimbang, Sue tahulah nak cakap macamana dengan ayah. Jangan bimbang okey,” ujar Suraya bagaikan tahu apa yang bersarang dalam kepala lelaki itu.

Langkah Suraya tiba-tiba mati. Sachary yang mengekori dari belakang, hampir terlanggar tubuh anak gadis itu. Suraya tercegat di tengah-tengah laluan sambil memandang ke suatu arah. Sachary mengerutkan dahinya. Hairan dengan sikap Suraya. Apa yang terlalu asyik sangat dipandang oleh gadis itu? Mata Sachary turut mengekori arah anak mata Suraya.

Seorang gadis manis sedang asyik memujuk seorang anak kecil yang sedang menangis. Apabila tangisan anak kecil itu semakin kuat kedengaran, gadis itu tiba-tiba memeluk bahu kecil itu rapat ke dadanya. Jari-jemarinya yang halus meruncing tak habis-habis mengusap kepala anak itu sehingga tangisan yang tadi kuat mula reda.

Tanpa sedar Suraya tersenyum. Entah kenapa adegan di hadapan matanya itu terasa amat indah. Memandang gadis itu, bagaikan dia mengimbas kembali saat lama bersama arwah ibunya. Dahulu ibunya juga begitu, sabar memujuk jika dia menangis atau dibuli Sachary. Tapi apabila usianya menjangkau sepuluh, wanita yang amat dikasihinya itu pergi untuk selama-lamanya. Sejak itu dia hilang tempat bermanja.

Namun memandang gadis yang memakai baju kurung itu lama-lama, dia bagaikan kenal. Jauh dia termenung cuba mengingati sesuatu. Akhirnya Suraya benar-benar pasti, dia pernah bertemu gadis itu dahulu di sini. Ketika itu gadis itu sedang membantu seorang lelaki tua. Terfikir pula Suraya, apakah gadis itu berkerja di hospital ini? Barangkali dia pekerja sukarela, detik hati kecilnya.

“Duha!” Jerit suatu suara. Suraya segera berpaling. Seorang lelaki kacak bercermin mata dan berpakaian putih sedang melangkah menuju ke arah gadis itu.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah reaksi Suraya apabila terdengar nama Duha dipanggil?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience