Rate

Chapter 18

Romance Completed 26118

BAB 18

Duha Maisara tersandar lemah di dinding bilik. Hatinya terasa sebak. Rupa-rupanya Bustaman mahu meninggalkan dia sendirian. Sebenarnya bukan dia tidak ingat siapa dirinya, siapa keluarganya. Hanya dia berpura-pura tidak ingat. Lagipun apa gunanya dia kembali ke rumah itu, kalau ibunya sudah pergi mengadap Ilahi.

Tapi kerana Zafran, Bustaman sudi jua membawa dia pergi. Hari itu juga mereka meninggalkan tempat itu dan memulakan kehidupan baru di tempat lain. Kepada Bustaman, dia memanggil lelaki itu ayah dan Zafran menjadi abangnya saat itu. Namun hidupnya bukan semudah yang disangka. Lagi-lagi kerana Bustaman terang-terangan menunjukkan sikap pilih kasih terhadapnya.

Sedari kecil, dia sudah bekerja di merata tempat. Malah dipaksa bekerja keras, sedangkan Zafran disuruh belajar. Namun dia langsung tidak kisah. Lagipun Zafran lebih pandai belajar darinya. Lagipun dia amat bersyukur kerana dibenarkan tinggal di situ. Kalau bukan kerana Zafran dan ayahnya, mungkin jua dia akan membesar dan kelaparan di jalan. Mungkin jua dia akan mati di jalanan.

“Mulai hari ni, Duha adik abang….”kata-kata Zafran hanya disambut dengan senyuman. Dia tahu Zafran menyayanginya.

“Betul Duha tidak ingat siapa keluarga Duha?”

Dia menggelengkan kepala.

“Tapi Duha boleh ingat nama Duha sendiri. Aneh kan!”

Dia hanya diam mendengar bicara Zafran ketika itu. Hendak berterus terang pada Zafran, dia bimbang lelaki itu akan menuduhnya pembohong besar. Malah Zafran mungkin akan menghalau dia keluar dari tempat itu. Sedangkan dia masih perlukan perlindungan Zafran dan ayahnya. Dia masih mengingini kasih sayang Zafran terhadapnya. Oh tuhan! Apa patut aku lakukan sedangkan luka di hati ini terlalu ingin aku lupakan buat selama-lamanya.

******

Nashriq memandang ruang pejabat barunya yang nampak elegan. Mulai hari itu dia secara rasminya akan memegang jawatan baru sebagai Pengurus Besar Mega Timur Construction yang baru.

“Kalau Naz tak suka, umi akan suruh ‘decorator’ hiaskan yang baru. Bagaimana?” Tanya Engku Latifah. Dia memandang anak muda itu tidak berkelip.

“Tak perlulah umi. Pejabat ni dah cukup baik.” Balas Nashriq ringkas.

“Umi gembira dengan usul Naz, malah semua ahli lembaga pengarah sebulat suara bersetuju dengan cadangan Naz. Malah Dato’ Mustadza kata, cadangan itu takkan menyusahkan ALP. Umi bangga dengan Naz,” puji Engku Latifah.

“Thanks.” Jawab Nashriq sepatah lagi. Engku Latifah diam. Dia sudah kematian idea untuk terus berbual. Wajah Nashriq sentiasa serius apabila berhadapan dengannya. Malah kemesraan antara ibu dan anak bagaikan tidak wujud langsung antara mereka. Kadangkala dia rasa sedih dengan layanan dingin Nashriq padanya.

“Umi dah sediakan seorang pembantu untuk Naz,” ujar wanita itu semula. Nashriq menoleh.

“Pembantu?”

Engku Latifah mengangguk lalu tersenyum. “Seorang Pengurus Besar perlukan pembantu kanan. Umi cadangkan Katrina, setiausaha umi. Dia memang berpengalaman dalam hal ehwal Mega Timur. Dia boleh bantu Naz dalam semua urusan.”

“Tak perlulah umi, saya dah ada abang Erman. Dia akan jadi pembantu saya di sini.” Pintas Nashriq pantas. Engku Latifah tergaman. Lagi-lagi Erman yang disebutnya. Entah kenapa Engku Latifah benar-benar tidak berkenan dengan persahabatan antara Nashriq dan bekas pembantu kanan suaminya itu.

“Tapi Katrina boleh…”

“Umi jangan bimbang, Erman tahu semua hal ehwal dalaman Mega Timur. Malah dia yang banyak membantu dalam usul yang dikemukakan dalam mesyuarat ALP minggu lepas.” Ujar Nashriq. Engku Latifah terdiam. Dia sudah mati kutu mahu memujuk Nashriq bersetuju dengan cadangannya.

******

Engku Latifah menghempaskan dirinya ke dada sofa dengan perasaan geram. Entah kenapa gelora dalam hatinya membuak-buak hendak keluar. Sudah dicuba bersabar tapi setiap kali sendirian, dia kembali sakit hati.

Sudah dua belas tahun lamanya. Dia bimbang masa dua belas tahun yang berlalu pergi itu akan gagal digapainya. Dia juga risau jika jarak waktu itu juga akan merenggangkan hubungannya dengan Nashriq.

Hampir setiap minggu sejak dua belas tahun yang lalu, dia sering cuba menghubungi Nashriq di US. Malah tak cukup dengan itu, setiap dua bulan sekali dia akan menjenguk anak muda itu di apartmentnya di Kensington Street. Namun hari demi hari layanan Nahsriq padanya ala kadar sahaja. Jika dia telefon Nashriq akan menjawab. Jika dia datang, Nashriq akan menjemputnya. Namun hubungan mereka bagaikan hambar. Bagaikan ada sesuatu yang tidak kena. Dia sendiri tidak tahu kenapa sampai begitu rentak hubungan antaranya dengan anak muda itu.

“Naz dah tak sayangkan umi?” Pernah dia bertanya begitu suatu ketika dahulu. Namun anak muda itu bertindak mendiamkan diri. Dia kian lemas dengan sikap Nashriq yang seolah sengaja mahu mendera perasaan hatinya. Apa patut umi buat supaya Naz boleh memaafkan umi? Takkan umi harus merayu untuk dimaafkan? Apakah kasih sayang Naz pada umi tak sebesar rindu Naz pada Hana?

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang menyebabkan umi tidak menyukai Hana?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience