Rate

Chapter 101

Romance Completed 26118

Bab 101

“Saya…saya sebenarnya…” Tergagap-gagap Duha Maisara cuba bersuara, namun suaranya bagai tersekat di kerongkong.

“Jangan cuba nak tipu aku. Lepas aku turun dari kapal terbang petang semalam, aku terus ke vila mencari kau. Aku tunggu kau di sana sampai pukul 3 pagi. Tapi kau tak balik. Telefon pun tutup. Kau ke mana semalam Duha?” Soal Nashriq dengan suara meninggi. Entah kenapa dia benar-benar meradang kerana terpaksa menanti gadis itu agak lama di tengah-tengah kedinginan malam.

Memandang wajah marah lelaki itu, Duha Maisara seperti hendak ketawa. Wajah marah lelaki itu sama sahaja seperti wajahnya sewaktu kecil dahulu.

“Maaf, sebab tak beritahu awak lebih awal. Saya pulang ke rumah semalam. Saya nak beritahu awak dulu sebenarnya, tapi saya tak boleh call awak. Rasanya telefon bimbit saya rosak,” ujar Duha Maisara.

“Pulang ke rumah? Yang mana satu?” Dahi lelaki itu berkerut.

“Saya…saya balik ke rumah abang saya. Maaf sebab tak beritahu awak.”

Nashriq terdiam. Sejuk sedikit hatinya sejuk mendengar penjelasan gadis itu. Sebenarnya dia naik marah kerana risau takut apa-apa yang buruk berlaku pada Duha Maisara. Semalam tak putus-putus dia berdoa agar gadis itu berada dalam keadaan selamat. Apa yang dibimbangkannya ialah dia takut Duha Maisara dibawa lari oleh lelaki-lelaki yang mencarinya selama ini. Meskipun semua hal sudah dijelaskan tempoh hari, tapi manalah tahu kalau Black cuba menipunya.

“Err, boleh saya tahu kenapa awak menunggu saya semalam?” Tanya Duha Maisara. Nashriq tersentak. Entah kenapa giliran dia pula gugup. Mahu dicakapkan apa pada gadis itu. Takkan dia mahu memberitahu Duha Maisara bahawa dia menanti semalaman kerana rindu. Rindu yang teramat sangat pada gadis itu. Dua hari dia bermesyuarat di Jakarta, tidak ada satu haripun yang dilaluinya tanpa ingatannya terhadap gadis itu.

“Tak ada apa-apa, saja aku nak tengok keadaan kau.” Balas Nashriq.

“Kalau macam tu, saya keluar dulu.” Pinta Duha Maisara. Kakinya baru hendak melewati pintu, apabila namanya diseru semula oleh Nashriq. Duha Maisara berpaling. Wajah Nashriq jelas seperti ingin berkata sesuatu padanya.

“Ada apa-apa lagi Encik Nashriq?” Tanya Duha Maisara di muka pintu.

“Malam ni kau buat apa?”

“Malam ni?”

Lelaki itu mengangguk. “Malam ni, aku nak bawa kau keluar. Pukul 8 aku jemput kau di rumah.” Ujar lelaki itu tanpa memandangnya. Duha Maisara terdiam. Sejurus kemudian dia tersenyum. Perlahan-lahan pintu di belakangnya dikatup. Hatinya berlagu riang. Gembira kerana dapat keluar bersama lelaki itu malam nanti.

* * * *

Mata Engku Iskandar tidak putus-putus merenung gadis yang sedang rancak berbual-bual dengan temannya. Sejak beberapa hari yang lalu, hampir setiap hari dia terserempak dengan gadis itu. Dari pekerja-pekerja di situ, dia tahu nama gadis yang mencuri tumpuannya itu Duha Maisara.

Duha Maisara. Berulangkali nama itu disebut sehingga hafal. Dia tidak tahu kenapa hatinya mudah tertarik memandang gadis itu. Bukan kerana gadis itu berwajah comel, tapi kerana dia cukup pasti pernah bertemu dengan gadis itu sebelum ini. Anehnya dia tidak ingat di mana, padahal dia bukan seorang yang mudah lupa.

Bunyi bising di belakangnya membuatkan Engku Iskandar berpaling. Terkejut dia melihat dua stafnya terlanggar. Salah seorangnya menggosok-gosok kepalanya yang terlanggar bucu meja, manakala yang seorang pula sibuk mengutip fail-fail yang bertaburan di lantai. Melihat kedua-duanya, tiba-tiba ingatan Engku Iskandar singgah pada suatu fragmen.

Dia tergamam. Tak mungkin dia! Fragmen yang muncul di kepalanya mula tersusun satu persatu. Dia mula mengingati sesuatu. Jika bukan kerana kemalangan yang berlaku antara dua lelaki di pejabat itu tadi, mana mungkin dia teringatkan persitiwa dia dirempuh Duha Maisara di kelab Blue Ocean tempoh hari.

“Itu Duha Maisara, penyanyi di kelab ni.” Suara lelaki salah seorang pelayan di kelab itu mengimbau satu persatu dalam ingatannya.

Engku Iskandar mengerutkan dahinya. Hairan! Bagaimana seorang penyanyi kelab malam boleh tiba-tiba muncul di tempat seperti Mega Timur? Bekerja pula sebagai pembantu peribadi Nashriq. Apa helah Nashriq agaknya? Dan yang paling penting bagaimana Nashriq boleh mengupah Duha Maisara?

Tiba-tiba dia teringat yang Nashriq pernah menemani klien-klien mereka dari US berhibur di Blue Ocean. Mungkinkah dia bertemu gadis itu di situ? Engku Iskandar tersenyum tiba-tiba. Pasti antara Nashriq dan gadis itu menyimpan suatu perasaan yang istimewa, jika tidak masakan dia mengatur Duha Maisara bekerja di situ.

Dia seperti hendak ketawa. Sudah boleh dibayangkan di matanya apa reaksi ahli-ahli lembaga pengarah jika tahu lelaki yang bakal mengantikan tempat ibunya sebagai Pengerusi Syarikat berhubungan dengan seorang penyanyi kelab malam. Dengan secepat kilat sahaja dia boleh menghapuskan reputasi Nashriq.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang akan dilakukan Engku Iskandar terhadap Duha?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience