Rate

Chapter 64

Romance Completed 26118

Bab 64

Lama anak mata Nashriq tertancap pada huluran tangan anak gadis itu. Akhirnya perlahan-lahan, tangannya turut dihulurkan. Kedua-duanya saling berjabat tangan, tanpa menyedari sepasang mata asyik mengintai dari celah bilik. Erman tersenyum simpul. Senang hatinya melihat kedua-duanya tidak lagi berlaku salah faham seperti sebelumnya.

******

“Mami bukan tak mahu tolong kau Duha, tapi Mami tak ada duit sebanyak tu. Lagipun Bustaman nak buat apa dengan duit sebanyak tu?” Soal Mami Jun. Dia memandang ke arah Duha Maisara yang nampak muram.

“Kau pun satu Duha, ikut sangat apa yang dia hendak. Entah-entah dia mahukan dia tu untuk berjudi sana sini.” Duga Mami Jun, separuh geram.

“Duha nak tolong ayah selesaikan hutang Mami. Duha perlu sangat duit tu, tak banyak pun sedikit.” Rayu Duha Maisara. Dia benar-benar buntu sekarang. Tempoh untuk dia mengumpul duit hanya tinggal satu hari saja lagi. Sebelum berjumpa Mami Jun, sudah puas dia ke sana ke mari meminjam wang dari kenalannya. Namun tak ada sesiapapun yang mahu memberinya pinjam.

“Mami bukan tak mahu pinjamkan Duha, tapi hutang yang dulu belum habis berbayar. Mami ni berniaga Duha, duit sebanyak tu boleh menghidupkan kelab ni untuk beberapa bulan tau.”

“Tolonglah Mami, Duha dah habis ikhtiar.” Rayu gadis itu tak putus-putus.

Mami Jun terdiam. Dia bukan tak kasihankan gadis itu, tapi berniaga macam dia ada peraturan. Duit kelab tak boleh digunakan sesuka hati. Lagipun Duha Maisara sendiri yang tidak mahu terikat dengan kelab itu.

“Duha, Mami hanya menguruskan kelab ni. Kelab ni milik bos mami. Kalau dia tahu mami guna duit kelab untuk bantu Duha, tentu dia paksa Duha bekerja di sini sampai bila-bila untuk langsaikan hutang. Dah ramai gadis-gadis yang bekerja di sini sebab berhutang dengan bos mami tu. Mami sukakan Duha. Mami tahu Duha budak baik, sebab tu mami tak mahu Duha terjebak terus di sini secara paksa.” Ujar Mami Jun.

Duha Maisara terkedu. Tutur kata wanita itu membuatkan hatinya terharu.

“Mami masa muda dulu terpaksa bekerja dalam kancah maksiat semata-mata nak sekolahkan adik-adik mami. Tapi sampai sekarang mami tak pernah beritahu mereka kerja mami yang sebenar. Mami takut mereka malu mengaku mami ni kakak. Tapi jauh di sudut hati mami, kalaulah waktu itu mami ada peluang kedua, mami akan tinggalkan terus dunia kelab. Sebab tu mami tak mahu Duha jadi macam mami. Sekali kita terjerumus Duha, sampai bila-bila pun kita takkan dapat cari jalan keluar.” Nasihat wanita itu lagi.

Duha Maisara menarik nafas berulangkali. Namun nafas yang dihelanya terasa berat. Dia sudah habis ikhtiar. Tapi dia tidak salahkan Mami Jun. Wanita itu ikhlas membantunya. Kadangkala dia terfikir, kata-kata wanita itu memang ada benarnya. Sekali dia terjebak, maka selama-lamanya dirinya akan terus terperangkap.

“Ala dah namanya bekerja di kelab malam, biar sesuci mana pun kau, orang tetap akan memandang serong.” Dia teringat kata-kata Mimi, salah seorang GRO di kelab itu beberapa bulan yang lalu.

Tapi itu kata Mimi. Tapi baginya pula, mempertahankan kesucian adalah perkara utama yang harus dilakukannya di tempat seperti Blue Ocean. Biar ramai orang memandang serong padanya, namun selagi dia tahu dirinya masih suci dan bersih seperti sebutir kapas, maka dia turut yakin, Allah juga akan mengasihaninya.

Terburu-buru Duha Maisara meredah orang ramai. Dia hendak segera mengambil barang-barangnya di bilik persalinan. Hari sudah semakin lewat. Dia harus bergegas pulang.

“Duha, kak Ina nak jumpa kau,” jerit salah seorang pelayan di situ. Duha Maisara mengangguk seraya melangkah ke suatu arah. Tiba-tiba tubuh Duha Maisara hampir tersembam ke hadapan. Muncul suatu tangan yang entah dari mana menariknya. Dia tergaman. Serentak dia berpaling.

Seorang lelaki separuh usia tersengih memandangnya. Di sisi lelaki itu, seorang wanita berketurunan Cina memandang tajam ke arahnya. Melihat kedua-duanya, darahnya tiba-tiba menyirap. Kakinya seolah-olah dipaku ke lantai. Dia resah tiba-tiba.

******

Dia memandang kelibat ibunya dari cermin lut sinar di hadapan bilik itu. Gelagat wanita itu sama seperti hari-hari sebelumnya. Duduk termenung sambil memandang ke arah siling bilik. Melihat keadaan ibunya begitu, dia rasa sebak. Mak, sembuhlah mak. Hana nak mak sembuh dan tatap wajah Hana!

“Saya tengok Duha ni macam berminat benar dengan pesakit tu. Apa yang membuatkan Duha tertarik?” Doktor Habibah muncul tiba-tiba, membuatkan Duha Maisara sedikit terperanjat. Dia berpaling. Bibir doktor wanita itu tak putus-putus tersenyum.

“Err maaf doktor, saya tak perasan doktor datang tadi.” Ujar Duha Maisara cuba menutup kegugupan hatinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience