Rate

Chapter 77

Romance Completed 26118

Bab 77

Dia merenung kalung di tangannya. Selama ini dia ingatkan dia sudah kehilangan kalung itu. Tapi tiba-tiba sahaja kalung yang dirinduinya itu muncul kembali. Ayah! Kenapa ayah harus pergi, sedangkan Duha tidak pernah membenci. Jika kalung ini boleh membawa ayah kembali sekalipun, Duha rela kehilangannya tapi Duha tidak rela kehilangan ayah, bisik hati kecil Duha Maisara dalam kepiluan.

******

Langkahnya diatur lemah satu persatu. Entah kenapa dia rasa benar-benar tidak berdaya. Pada saat ketika itu, dia terasa begitu ingin bertemu Zafran. Dia ingin Zafran membantunya mencari Bustaman. Tapi pesanan lelaki itu membuatkan hasratnya tidak kesampaian.

Tadi dia sengaja kembali ke hospital menjenguk Zafran. Entah mengapa dia rindu pada lelaki itu. Namun meskipun jaraknya dengan Zafran hanya beberapa ela, tapi sebaik anak muda itu berpaling, dia mengelak pantas. Bersembunyi di sebalik dinding tidak jauh dari Zafran.

Wajah Zafran yang resah diintai dari jauh. Apabila Zafran mengeluarkan telefon bimbit dari dalam saku seluar, Duha Maisara tergaman. Dia segera mencari-cari telefon bimbitnya dari dalam beg sandang. Namun belum sempat dicapai, telefon bimbitnya berlagu nyaring. Zafran tercengang. Irama yang cukup dikenalinya itu jelas terdengar tidak jauh dari situ.

“Duha!” Sebut Zafran perlahan. Mata anak muda itu mengintai di setiap penjuru sudut. Duha Maisara segera mematikan telefon bimbitnya. Dia cemas. Melihat Zafran seakan-akan mencarinya, dia segera beredar jauh. Jauh dari Zafran, dan jauh dari kawasan hospital.

“Jangan cari Zafran buat sementara. Mereka cuma kenal Duha seorang!” Kata-kata Bustaman bermain di kepalanya. Dia pasrah. Aku tak boleh susahkan Zafran lagi. Cukuplah semua perkara yang berlaku ini, bisik hati kecilnya.

“Mana kau pergi sampai sekarang baru balik?” Tegur suatu suara. Agak keras. Duha Maisara menoleh. Wajah Nashriq muncul. Dia sendiri tidak sedar kakinya sudah melangkah di hadapan rumah itu.

“Bila awak datang?” Tanya Duha Maisara tenang.

“Dah sepanjang malam aku di sini. Dan berkali-kali aku cuba hubungi kau, tapi kau offkan telefon, kenapa?” Soal Nashriq serius. Duha Maisara terdiam. Dia sengaja menutup telefon untuk mengelakkan Zafran dari terus menghubunginya.

“Saya keluar sekejap, ada hal.” Balas Duha Maisara selamba, lalu mula melangkah hendak beredar masuk. Serentak tubuh Nashriq menghalang di hadapannya.

“Kau tahu tak aku cukup bimbang tadi. Aku risau kau ditangkap lelaki-lelaki tu. Aku juga risau jika berlaku sesuatu pada kau. Dan aku risau bagaikan nak gila!” Marah Nashriq separuh geram. Duha Maisara tersentak. Wajah lelaki itu dipandang serba tak kena.

Mata Nashriq mencerun ke arahnya. Entah kenapa dada Duha Maisara berdebar-debar, menatap renungan lelaki itu. Dia sendiri tidak tahu kenapa hatinya bergetar setiap kali berhadapan dengan lelaki itu.

“Kenapa awak risau? Apa perlunya awak risau? Saya hanya perempuan biasa yang tiba-tiba muncul dalam hidup awak, dan selalu menyusahkan awak. Saya bukan sesiapa pun pada awak. Jadi kenapa awak perlu risau?” Bisik Duha Maisara, jelas di gegendang telinga Nashriq. Dia terpegun. Mata gadis itu menentang pandangannya dengan berani. Tapi Nashriq mula perasan mata Duha Maisara sembab. Kenapa dengannya? Menangiskah dia?

Duha Maisara tertawa kecil. Dia merasa lucu. Lelaki itu tak mampu memberikannya alasan. Agaknya dia mula sedar, aku hanyalah perempuan kelab malam yang hadir tak diundang.

“Sudahlah, hari dah lewat. Saya nak berehat,” ujar Duha Maisara. Kakinya mula diatur ke arah pintu. Nashriq masih tercegat di situ.

“Boleh tak kalau kau jangan pergi lagi ke Blue Ocean?” Nashriq tiba-tiba bersuara. Langkah Duha Maisara terhenti. Nashriq memandang gadis itu. Perlahan-lahan dia merapati Duha Maisara yang bagaikan tergaman. Wajah gadis itu dipandang tidak berkelip.

“Berhenti kerja di situ. Cari kerja lain.” Suruh Nashriq.

Duha Maisara terdiam. Dia turut menatap ke arah lelaki itu. Wajah itu kelihatan serius memandang ke arahnya.

“Tempat itu tak sesuai untuk seorang gadis seperti kau, Duha.” Bisik Nashriq lembut. Duha Maisara tersenyum.

“Gadis seperti saya? Seperti apa?”

“Gadis yang baik hati. Yang sanggup mengorbankan kebahagiannya demi orang lain. Gadis yang suka tersenyum di hadapan orang lain, dan menangis di belakangnya. Gadis seperti itu yang aku maksudkan.” Ucap Nashriq membuatkan Duha Maisara terkedu. Untuk seketika lidahnya seolah kelu untuk berbahasa.

“Esok, datang ke tempat ini. Cari perempuan ni, dan dia akan bantu kau dapatkan kerja baru. Hidup yang baru. Bukankah itu yang kau mahu selama ini?” Sambung Nashriq. Tangan Duha Maisara diraih perlahan. Duha Maisara hanya membiarkan apabila lelaki itu meletakkan sekeping kad di genggamannya.

Lama mata Nashriq terpaku di wajah itu. Seketika kemudian dia mula melangkah ke arah keretanya. Duha Maisara tidak berkata apa-apa. Hanya matanya yang mengiringi kelibat Nashriq memasuki kereta. Tak lama kemudian enjin kereta dihidupkan sebelum dipandu keluar dari pintu pagar.

...bersambung

Bab akan datang:

Pekerjaan apakah yang akan ditawarkan kepada Duha?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience