Rate

Chapter 124

Romance Completed 26118

Bab 124

Tapi dia benar-benar tidak sangka, anak muda itu membawa Duha Maisara bersama. Ini benar-benar melampau! Bentak Engku Latifah.

“Ada apa-apa lagi Puan Engku?” Tanya Katrina. Dia hairan kerana wajah perempuan itu cepat berubah apabila dia memberitahu berita itu.

“Tak ada apa-apa, you boleh keluar sekarang Kat.” Wanita itu menggelengkan kepala. Dia memusingkan tubuhnya mengadap ke luar jendela biliknya. Merenung jauh entah ke mana. Ingatannya tertumpu pada bicara abangnya beberapa hari yang lalu.

“Duha Maisara tu budak kelab malam, Tif.”

“Apa maksud abang Is?”

“Dia bekas penyanyi kelab malam di Blue Ocean. Kalau Tif tak percaya, Tif boleh tanya sendiri dengan orang-orang di Blue Ocean, semua kenal dengan nama dia.”

Dia benar-benar terkejut denagn berita yang disampaikan oleh abangnya itu. Penyanyi kelab malam? Tapi bagaimana dia kenal dengan Nashriq?

“Tif ingat lagi masa Naz menemani klien-klien kita dari US tu?”

Dia mengangguk.

“Abang percaya, Nashriq kenal Duha Maisara di situ. Perempuan itu tentu ada muslihatnya mendekati Nashriq. Status dan wang selalunya menjadi keutamaan bagi perempuan-perempuan kelab seperti ini.”

Engku Latifah mendengus. Kata-kata Engku Iskandar memang ada benarnya. Dia benar-benar bimbang jika Nashriq termasuk dalam jerat seperti itu. Aku tak boleh biarkan perempuan itu mendekati anakku! Tak boleh! Aku harus melakukan sesuatu.

Dia segera menuju ke arah telefon. Punat kecil itu ditekan.

“Kat, tolong I hubungi Dato’ Mustadza sekarang juga.” Arahnya.

“Baik Puan Engku.”

Tak lama kemudian, suara Dato’ Mustadza sudah di talian.

“Saya Engku Latifah. Boleh saya jumpa Dato’ petang ni? Saya ada hal penting nak berbincang dengan Dato’. Bawa Suraya bersama.” Ujar Engku Latifah, sebelum meletakkan gagang telefon di tempatnya. Dia tersenyum puas. Harap-harap rancangannya akan berjaya.

******

Sebaik selesai check in di hotel itu, Duha Maisara mengambil peluang merehatkan tubuhnya. Dia berbaring santai di bilik hotel. Lama matanya merenung ke arah siling bilik hotel lima bintang itu. Entah apa patut dia buat sementara menunggu malam. Kata Nashriq malam itu ada majlis makan malam dengan wakil-wakil syarikat pembinaan. Keesokkan harinya barulah satu mesyuarat penilaian dengan pihak CIDB akan diadakan. Lusa pula akan diadakan satu lawatan bermaklumat yang dirangka khas oleh pihak CIDB. Lepas itu mereka akan terus balik ke Kuala Lumpur.

Duha Maisara sebenarnya bimbang dengan acara malam itu. Dia sebenarnya risau kerana tidak membawa baju yang sesuai untuk makan malam. Sangkanya dia hanya perlu ikut serta dalam mesyuarat keesokkan harinya. Namun untuk dikhabarkan kegelisahannya pada Nashriq, mulutnya bagai terkunci.

Duha Maisara segera bingkas bangun. Dia lupa yang dia masih belum bersolat. Sempat juga dia mandi untuk menghilangkan letih. Belum sempat dia mahu memberi salam, dentingan loceng pintu biliknya nyaring berbunyi. Duha Maisara tidak peduli. Dia segera menghabiskan doanya. Selesai mengaminkan doa, deringan demi deringan singgah lagi. Dia memandang ke arah pintu bilik. Siapa pula ni? Tak tahu sabar langsung, rungut hati kecilnya.

Dengan tubuhnya lengkap berpakaian baju sembahyang, Duha Maisara membuka pintu bilik. Terpacul Nashriq dengan wajah merah padam menahan marah. Namun melihat raut wajah Duha Maisara yang tidak bermekap dan berbaju sembahyang, entah kenapa marah Nashriq mula menyurut. Sebaiknya dia terpaku memandang ke arah Duha Maisara yang selamba memandangnya.

“Ya, kenapa?” Tanya Duha Maisara.

“Emm…dah habis solat?” Tanya lelaki itu.

Duha Maisara mengangguk.

“Aku nak ajak kau makan. Lekas bersiap, aku tunggu di lobi hotel.” Ujar lelaki itu seraya berlalu. Langsung dia tidak menunggu Duha Maisara menyatakan persetujuan. Tercengang gadis itu melihat tubuh Nashriq sekejap sahaja sudah menghilang. Dia mengeluh panjang. Kalau diikutkan hatinya dia malas mahu keluar. Tapi mengenangkan perutnya yang mula berkeroncong, ada baiknya juga dia mengikut lelaki itu mengisi perut..

Dengan menyapu bedak dan sedikit lipstick berwarna pink lembut, Duha Maisara sudah siap sedia. Di kerusi lobi hotel, wajah Nashriq kelihatan ralit membaca akhbar The Star. Dia melangkah perlahan-lahan ke arah lelaki itu. Seakan menyedari kehadiran gadis itu, Nashriq menoleh. Lama matanya mencerun ke wajah Duha Maisara yang kelihatan manis.

“Siap?” Tanyanya meskipun dia sudah maklum.

Gadis itu mengangguk. Tiba-tiba sahaja Nashriq meraih tangan Duha Maisara di genggamannya lalu dihela keluar dari ruang lobi. Duha Maisara tergamam dengan tindakan Nashriq namun dia hanya membiarkan.

Seorang lelaki yang berada di luar hotel tersenyum apabila melihat Nashriq muncul. “Here you are sir.” Sapanya seraya menghulurkan segugus anak kunci ke arah lelaki itu. Nashriq menyambutnya tanpa banyak soal. Dia segera membuka pintu kereta di sebelah penumpang sambil memandang Duha Maisara yang nampak bingung.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Nashriq masih memarahi Duha?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience