Rate

Chapter 187

Romance Completed 26118

Bab 187

Sedikit demi sedikit dia menghampiri Engku Latifah yang terus tercegat dengan wajah kaget.

“Puan….?” Sepatah kata itu meniti dari bibir ibunya. Duha Maisara tersentak. Apakah ibunya mengenali wanita itu? Apakah dia masih mengingati wanita yang pernah menghalau mereka dua belas tahun lalu?

“Mak,” panggil Duha Maisara sambil menyentuh bahu ibunya perlahan-lahan. Bicara Duha Maisara membuatkan Engku Latifah kian terkejut. Dia memandang Duha Maisara dan wanita di sisi gadis itu silih berganti.

“Siapa kau sebenarnya?” Soalnya gugup.

Duha Maisara memandang wanita itu dengan mata berair. “Kenapa? Puan terkejut tengok saya dan mak saya muncul semula dalam hidup puan selepas dua belas tahun? Selepas apa yang puan lakukan pada kami, saya hairan puan masih boleh tidur lena selama ini.” Ucap Duha Maisara. Engku Latifah terdiam. Fikirannya resah tidak menentu. Tubuhnya jadi longlai. Dia berpaling ingin beredar, namun jari-jemari Maisara terlebih dahulu singgah di lengannya.

“Puan…puan, tolong jangan halau saya dengan Hana. Jangan halau kami. Kami tak ada tempat lagi nak pergi,” Rayu Maisara sambil menarik tangan Engku Latifah. Wanita itu terkejut. Dia cuba menolak tubuh wanita itu sekuat hati, namun tangan wanita itu terus melekat kuat di lengannya.

“Hana masih kecil. Kalau puan halau kami, nanti abang Munif tak dapat cari kami. Tolong jangan halau kami, puan.” Ujar Maisara teresak-esak. Engku Latifah terus tercengang. Kakinya seolah dipaku ke lantai.

“Puan tengoklah apa yang puan dah buat pada ibu saya. Sekarang dia bukan lagi macam dulu. Dia sudah tidak tahu membezakan apa yang benar dan apa yang salah di sekelilingnya. Ibu saya sudah tidak waras, semuanya kerana puan. Puan yang menyeksa hidup kami dan perasaan kami selama ini.” tuduh Duha Maisara dengan airmata bergenangan. Hatinya benar-benar sebak.

Engku Latifah terkedu. Benarkah wanita yang memegang kuat tangannya itu sudah hilang akal? Sudah gila?

******

Zafran baru habis gilirannya melawat pesakit, apabila dia menerima panggilan telefon petang itu. Melihat nama yang tertera pada skrin telefon, dia tersenyum senang. Duha Maisara. Memang dia merancang mahu mengajak gadis itu keluar. Sudah agak lama dia dan Duha Maisara tidak keluar bersama. Tapi apabila mendengar suara Duha Maisara seperti tersekat-sekat, dia tersentak.

“Abang, tolong Duha. Tolong balik sekarang juga. Duha…..Duha perlukan abang.” Bisik gadis itu dengan suara perlahan. Zafran terpaku. Dia merenung telefon bimbitnya seketika. Nada suara Duha Maisara membuatkan dia tidak sedap hati. Tanpa membuang masa, Zafran terus berlari pantas menuju ke kawasan letak kereta. Tak lama kemudian, keretanya sudah dipandu laju menuju ke destinasi yang ingin ditujuinya.

Hampir dua puluh minit, Zafran sampai di kawasan apartment itu. Dia segera menaiki lift ke tingkat lima. Sebaik pintu lift terbuka, dia terus meluru pantas. Tapi sampai di hadapan rumah itu, langkahnya tidak jadi diteruskan.

Dia terpaku memandang ke arah pintu yang sedikit renggang. Hatinya serta merta jadi bimbang. Jangan-jangan ada sesuatu yang berlaku, jika tidak masakan pintu dibiarkan begitu sahaja. Apakah rumah itu dimasuki pencuri? Pelbagai pertanyaan menjengah ke dalam kotak fikiran Zafran. Dia menggengam penumbuknya, bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Tapi apabila daun pintu dikuak selebarnya, mata Zafran terbuka luas melihat ruang rumah yang bersepah dengan barang-barang pecah.

Dari muka pintu dia melihat seorang wanita tak dikenali menangis teresak-esak sambil meraup wajahnya dengan kedua-dua tangannya di suatu sudut. Namun melihat kesan darah di tangan wanita itu, dia terkejut besar.

“Abang…”suara Duha Maisara jelas menyapa telinganya. Dia menoleh. Kali ini dadanya seperti hendak pecah melihat Duha Maisara bersandar pada dinding dengan kepala dan dahinya berlumuran darah. Dinding di atas kepala gadis itu terdapat kesan-kesan darah. Mata gadis itu hampir terpejam. Zafran segera meluru ke arah Duha Maisara dengan perasaan cemas.

“Duha… Duha apa dah jadi ni? Kenapa ni?” Soal Zafran bertalu-talu. Resah. Tubuh gadis itu dipangku menyandar ke dadanya. Nafas Duha Maisara turun naik.

“A..abang…tolong..tolong telefon… doktor Habibah. Suruh dia datang ke mari,” bisik Duha Maisara tersekat-sekat.

“Kita kena hentikan pendarahan di kepala Duha dulu. Luka ni nampak dalam. Duha kena ke hospital.” Ujar Zafran cuba mencapai telefon Duha Maisara yang terletak tidak jauh dari gadis itu.

Namun belum sempat dia mahu mendail ambulan, jari jemari Duha Maisara singgah di tangannya. Mata anak gadis itu layu memandangnya. Zafran tergaman.

“Abang, please…telefon Doktor Habibah dulu.” Pinta gadis itu. Mata Duha Maisara beralih ke arah ibunya yang ketakutan di penjuru sudut. Zafran turut memandang ke arah wanita itu. Meskipun dia sebenarnya tidak faham apa sebenarnya sudah berlaku, namun dia akur pada suruhan Duha Maisara.

...bersambung

Bab akan datang:

Apa yang telah berlaku? Mengapa Duha mengalami kecederaan? Dimana ibunya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience