Rate

Chapter 12

Romance Completed 26118

BAB 12

Dia buat-buat tidak peduli lalu terus mengutip barang-barangnya. Setelah itu Duha Maisara bingkas bangun. Sekali lagi dia memberanikan dirinya memandang lelaki bertubuh tinggi lampai itu. Mata lelaki itu masih ke arahnya. Duha Maisara mengerutkan dahinya. Dia kenal akukah?

“Maaf encik, saya nak lalu.” Ujar Duha Maisara apabila menyedari tubuh lelaki itu menghadang jalannya. Namun lelaki itu buat-buat tidak peduli. Duha Maisara tercengang. Laa biar betul mamat ni. Kenapa dengan dia agaknya!

Belum sempat dia mahu melangkah pergi, tiba-tiba Duha Maisara terdengar suara bersiul dari arah belakang. Dia segera menoleh. Dua lelaki bergari tangannya dipimpin anggota polis berlalu di hadapannya sambil tersengih-sengih ke arahnya. Duha Maisara terkedu. Dia memandang pakaian yang membalut tubuhnya. Baru dia perasan, pakaian yang dipakainya sedikit terdedah menampakkan peha. Lagipun dia bergegas datang ke situ dari Blue Ocean. Langsung dia terlupa menukar baju sebelum datang. Aduh! Malunya dirasakan pada anggota polis yang turut menjelingnya.

Perlahan-lahan dia menoleh ke arah lelaki tadi. Baru dia faham kenapa lelaki itu memandangnya satu macam. Pasti fikiran lelaki itu dipenuhi andaian yang bukan-bukan terhadap dirinya.

Seorang lelaki lain tiba-tiba muncul dari arah belakang bersama seorang gadis. Menyedari kehadiran lelaki dan perempuan itu, Nashriq segera menoleh. Duha Maisara segera memalingkan wajahnya ke arah lain. Entah kenapa dia benar-benar segan dengan keadaan dirinya.

“Dah beres, rasanya tiada dakwaan akan dibuat terhadap kau.” Ujar Erman. Suraya yang berada di sisi lelaki itu nampak serba-salah mahu memandang wajah Nashriq.

“Nasib baik ada Cik Suraya ni. Kau kena berterima kasih pada dia, Naz. Kalau bukan Cik Suraya tampil sebagai saksi, belum tentu kau terlepas dari dakwaan itu. Lagipun yang bengkak bengkil mereka, bukannya kau. Kalau mereka buat cerita yang bukan-bukan, teruk juga kau kena bersoal jawab dengan polis. Nasib baik semua dah selesai sekarang.” Sambung Erman.

Nashriq terdiam. Silapnya juga kerana melampau membelasah Syahrul dan teman-temannya. Dia memandang Suraya yang turut menatap ke arahnya.

“Terima kasih sebab you sanggup bantu I,” ucap Nashriq perlahan. Suraya tersenyum. Entah mengapa dia gembira kerana Nashriq sudah mula menunjukkan sikap lembut terhadapnya.

“I yang salah, kalau bukan you yang bantu I, entah apa akan jadi pada I agaknya.” Balas Suraya merendah diri.

Nashriq tersenyum. “Hari dah lewat, you patut pulang sekarang.” Saran Nashriq. Dia memandang ke arah Erman. “Abang, tolong hantarkan Cik Suraya pulang.” Pinta Nashriq. Suraya terdiam mendengar kata-kata lelaki itu. Meskipun dia masih ingin bersama Nashriq, namun dia akui, malam semakin larut.

“Kalau begitu I ucapkan terima kasih sekali lagi. Selamat malam.” Ucap Suraya sebelum beredar mengekori langkah Erman. Sempat dia berpaling memandang Nashriq yang tercegat memerhatikannya.

Sebaik kelibat Suraya dan Erman hilang dari pandangan matanya, Nashriq kembali memandang gadis di sebelahnya. Dia tersenyum sinis melihat wajah Duha Maisara yang nampak serba-salah mahu memandangnya. Melihat tubuh gadis itu berbalut dengan pakaian sendat berlabuci, hati Nashriq tertanya-tanya sendiri. Apa pekerjaan gadis ini agaknya. Lagi-lagi dia muncul tiba-tiba pada waktu tengah malam berpakaian menjolok mata.

Mata Nashriq tidak putus-putus merenung wajah gadis itu. Orangnya cantik juga. Sayang kalau gadis secantik ini, terjerumus dalam gejala yang tidak sihat. Dia merengus sendirian. Tapi ini Kuala Lumpur. Di bandar ini, apa sahaja mungkin berlaku. Lagipun dia sering terbaca di berita-berita utama tentang gadis muda yang mencari kesenangan dengan cara mudah. Barangkali gadis ini salah seorang darinya.

Nashriq ingin melangkah pergi. Namun melihat gadis itu seolah berpeluk tubuh menahan kedinginan malam hari, sambil tak putus-putus menarik kain skirtnya yang singkat, dia tidak sampai hati pula. Pantas kot yang sedang dipegangnya dihulurkan ke arah gadis itu.

Duha Maisara tergaman. Tindakan lelaki itu mengejutkannya. Namun wajah itu tidak lagi merenung dingin ke arahnya. Dia memandang kot yang dihulurkan ke arahnya. Hatinya serba-salah.

“Ambil kot ni. Tutup tubuh kau tu. Di sini ramai penjahat, juga lelaki mata keranjang. Takkan kau nak mereka semua ghairah melihat kau berkeadaan begini.” Selamba lelaki itu menghamburkan kata-kata. Duha Maisara terkesima dengan kata-kata lelaki itu. Namun dia akui kata-kata itu ada kebenarannya. Mahu tak mahu kot di tangan lelaki itu berganti tangan.

Dia ingin mengucapkan terima kasih, namun lelaki itu lebih pantas melangkah pergi. Duha Maisara hanya mampu memerhatikan derap sepatu lelaki itu semakin menjauh. Kot di tangannya direnung lama. Entah mengapa hatinya terasa senang. Dia tahu lelaki itu ikhlas membantu. Siapa dia sebenarnya?

******

Engku Latifah memandang ke arah dinding di bilik mesyuarat itu dengan perasaan resah.

...bersambung

Bab akan datang:

Mengapa Engku Latifah merasakan bimbang?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience