Rate

Chapter 105

Romance Completed 26118

Bab 105

“Waktu habis makan tengahari tak sampai setengah jam lagi, saya kena balik habiskan kerja,” ujar Duha Maisara sedikit serba salah. Jam di dalam kereta Nashriq hampir pukul 1.30 tengahari. Sudahlah dia tidak makan lagi. Perutnya sejak tadi berkeroncong minta diisi.

Nashriq berpaling memandang Duha Maisara. Wajah lelaki itu bersinar garang memandangnya. Duha Maisara terkedu. Aku salah cakapkah? Betul apa, aku terpaksa pulang ke pejabat semula untuk habiskan kerja. Bukannya dia tak tahu, rungut Duha Maisara.

“Kenapa, kau bimbang aku bawa kau lari jauh, begitu?”

“Saya cuma nak tahu ke mana kita nak pergi? Kalau sekadar nak makan, berlambak kedai-kedai makan di sepanjang perjalanan kita ni.” Ujar Duha Maisara berani. Dia sudah tidak peduli pada wajah Nashriq yang mencuka.

Apabila kereta itu membelok ke suatu arah, Duha Maisara terkedu seketika. Wajah Nashriq dipandang, namun mata anak muda itu selamba memandangnya.

“Kenapa kita di sini?” Soal Duha Maisara. Dia tidak mengerti. Dari jauh, vila besar setingkat yang terpapar di hadapan matanya dipandang agak lama. Entah kenapa hatinya jadi resah tiba-tiba.

Nashriq melangkah keluar dari kereta. Mata anak muda itu tidak lepas dari menatap vila itu. Duha Maisara yang menunggu di dalam kian resah. Dadanya berdebar kencang. Kalau diikutkan hatinya, dia ingin meminta Nashriq menghantarnya pulang. Tapi melihat lelaki itu seperti melayan perasaan, mahu tak mahu Duha Maisara memaksa dirinya keluar dari kereta.

Langkah Nashriq segera dituruti sehingga sampai di hadapan pintu rumah itu. Namun mata Duha Maisara kini beralih ke arah vila itu. Hatinya terasa sebak tiba-tiba. Hampir dua belas tahun lamanya dia tidak pernah lagi menjejakkan kakinya ke tempat itu. Kenapa tiba-tiba Nashriq membawanya ke situ?

Duha Maisara hanya mampu memandang tatkala Nashriq menyapu habuk yang melekat pada tulisan yang terpampang di sebelah pintu masuk. Vila Kecil. Dia membaca tulisan itu. Duha Maisara merasakan matanya mula berpinar. Ada air jernih yang bertakung di kelopak matanya.

“Mak, kita nak ke mana ni?”

Wanita itu menatapnya dengan mata basah.

“Kita kena pergi jauh dari sini Hana. Vila Kecil bukan milik kita lagi.” Ujar wanita itu. Dia terdiam. Dia belum lupa kata-kata pedas yang keluar dari mulut Engku Latifah. Malah dia masih belum lupa bagaimana ibunya menangis teresak-esak kesedihan.

“Hana, kemas baju Hana. Bawa yang mana perlu saja. Kita pergi malam ni juga,” suruh ibunya. Mahu tak mahu dia segera ke biliknya. Pakaiannya dikeluarkan dari almari. Namun belum sempat dia memasukkan pakaiannya ke dalam beg kecil, suatu bunyi kuat kedengaran di luar pintu bilik. Dia tergaman lalu meluru keluar dari bilik. Namun melihat ibunya terbujur kaku di kaki tangga dengan kepalanya berdarah, tubuhnya tiba-tiba terasa lemah.“Mak!! Jeritnya berkumandang di segenap penjuru rumah itu. Matanya kian berpinar.

Duha Maisara mengesat air mata yang mula mengalir. Terlalu banyak ingatan buruk hadir di ingatannya, mengatasi segala yang indah yang pernah dilaluinya dulu. Dia memandang ke arah penjuru tangga di mana ibunya pernah tergelincir. Kerana itu ibunya dikejarkan ke hospital malam itu juga. Kecederaan teruk di kepalanya membuatkan dia koma dan tidak sedarkan diri. Mungkinkah disebabkan kecederaan itu, ibunya sampai sekarang hilang ingatan?

Duha Maisara cepat-cepat mengesat sisa air mata di pipinya apabila menyedari kelibat Nashriq menghampirinya. Mata lelaki itu menatap ke arahnya.

“Apa pendapat kau tentang rumah ini?” Soal Nashriq tanpa menyedari bebola mata Duha Maisara yang merah.

Gadis itu memandangnya dengan wajah bingung. Dia tidak faham apa sebenarnya maksud Nashriq. Wajah lelaki itu tenang merenungnya, sedang hatinya diamuk gelisah. Untuk apa Nashriq bertanyakan soalan itu dengannya. Mungkinkah Nashriq ingat tentang rumah itu? Masih ingat dengan kenangan lama mereka bermain di situ?

“Rumah ini dah dijual lama dulu, tapi aku merancang untuk mendapatkannya kembali. Ia milik seseorang yang amat dekat di hati aku.” Ujar lelaki itu. Duha Maisara terkedu.

“Sayang, rumah ini terbiar begitu sahaja. Semak samun di sekeliling rumah ini tak sepatutnya ada di rumah seindah ini.” Bisik Nashriq entah pada siapa. Wajah lelaki itu seolah termenung. Duha Maisara terdiam. Dia tidak berniat mahu menyampuk kata-kata lelaki itu.

Nashriq memerhatikan ke segenap ruang tamu itu. Dia hairan kenapa pemilik baru itu tidak menukar kunci rumah itu. Mujurlah dia masih menyimpan kunci pendua, malah perabot-perabot di rumah itu sama seperti dulu. Hanya yang tidak ada di situ adalah potret-potret Raihana dan keluarganya. Jika dulu potret-potret itu setia menghiasi anjung sudut dan dinding ruang tamu. Sekarangnya semuanya tinggal kosong dan sepi.

...bersambung

Bab akan datang:

Mengapa tiba-tiba Nashriq ingin membeli rumah itu semula?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience