Rate

Chapter 205

Romance Completed 26118

Bab 205

Tapi mengenangkan keadaan Suraya, dia jadi lebih bimbang. Bagaimana kalau dalam pertempuran itu, Suraya pula yang menerima bahananya? Nashriq menggelengkan kepalanya. Dia tidak boleh sekadar berpeluk tubuh dan menunggu sahaja. Dia harus ikut serta. Nashriq segera keluar dari rumah itu. Dia mahu mengekori arah tujuan Estella ke tempat penculik-penculik itu.

******

Albert memandang gadis yang nampak takut-takut itu. Dia tertawa besar. Sesekali dia melirik ke arah Reyna yang diam sahaja. Wanita itu sejak dulu berperangai begitu. Pendiam dan serius. Kadangkala sukar dia mahu menyelak apakah sebenarnya yang difikirkan oleh Reyna. Namun dia yakin wanita itu setia dan tidak akan membelotnya.

“Apa you nak buat dengan I?” Suraya bersuara gementar. Tumpuan Albert kembali pada Suraya yang terikat tangannya. Perlahan-lahan dia mara ke arah gadis itu lalu tunduk di hadapan gadis yang kelihatan resah itu. Dia tersenyum.

“Jangan takut, kami cuma nakkan tandatangan ayah kau saja. Selepas dia datang dan tandatangan surat penyerahan semua saham-saham Mega Timur, kami akan lepaskan kau. Percayalah.” Ujar Albert.

“Jangan harap ayah I akan tandatangan surat-surat tu. Mungkin waktu ini dia dah laporkan semua hal kepada polis. Kamu semua takkan terlepas!” Ujar Suraya berani.

Ketawa Albert mati. Dia memandang Suraya tajam. Dari poket seluarnya, sepucuk pistol sederhana besar dikeluarkan dan diacu-acu di hadapan muka gadis itu. Suraya tergaman.

“Kalau ayah kau tetap berdegil, muncung pistol ini akan meletupkan kepala kau. Lepas itu aku akan hantar sisa-sisa otak kau yang berkecai pada dia,” Ugut Albert sambil ketawa. Wajah Suraya berubah pucat. Dia seperti hendak menangis mendengar kata-kata lelaki itu. Reyna hanya diam mendengar ugutan Albert pada Suraya. Namun dia tidak boleh berbuat apa-apa.

Tiba-tiba seorang lelaki meluru pantas ke arah Albert lalu membisikkan sesuatu ke telinga lelaki itu. Senyuman Albert mula pudar. Dia memandang Reyna yang turut memandang ke arahnya.

“Kau ada beritahu Estella kita di mana?” Soal Albert sambil memandang tepat ke wajah itu. Reyna tersentak. Kata-kata Albert menimbulkan resahnya.

“Kenapa?”

“Orang-orang aku nampak Estella di luar. Celaka, berapa kali aku nak bilang dengan dia jangan campur tangan urusan kita. Dia memang degil!” Bentak Albert marah. Reyna terpaku. Betulkah Estella ada di luar? Namun belum sempat fikirannya melangkah jauh, derap sepatu melangkah kedengaran dari suatu arah. Serentak Albert dan Reyna berpaling. Estella muncul bertemankan Jason.

Mata Estella mengerling ke arah Suraya yang masih terikat tangannya. Seketika kemudian pandangannya beralih ke arah Albert dan Reyna. Pandangannya singgah lama pada wajah Reyna yang nampak resah dengan kehadirannya di situ.

“Kau nak apa ni Estella?” Soal Albert geram.

“Lepaskan dia Albert, budak perempuan ni tak ada salah apa-apa pada kita. Jangan apa-apakan dia.” Pinta Estella sambil memandang ke setiap pelusuk gudang lama itu. Dalam diam-diam dia membilang bilangan orang-orang Albert yang mengawasi gudang itu. Ada lebih kurang 12 orang semuanya termasuk yang mengawal di luar.. Jika orang-orangnya masih belum sampai, tentu sukar dia mahu menyelamatkan Suraya dan melepaskan dirinya.

“Lepaskan dia? Kau dah gila agaknya Estella. Perempuan ni periuk emas kita untuk kita dapatkan Mega Timur. Barulah kekuasaan dan empayar kita akan terus kukuh bertapak. Ini yang datuk kau mahukan selama ini.” Ujar Albert.

“No, ini apa yang kau mahukan Albert. Bukan aku. Aku tak perlukan semua ini. Yang aku perlukan cuma Nashriq.” Tegas Estella. Kata-kata Estella membuatkan Suraya tersentak. Pandangannya menerpa ke arah Estella. Entah kenapa kata-kata wanita itu menimbulkan keraguannya. Apa kaitan Nashriq dengan wanita itu sebenarnya.

“Nashriq? Lagi-lagi budak itu yang kau pentingkan sehingga kau abaikan urusan persatuan kita. Kau dengan ayah kau sama sahaja. Dulu sebab cinta, dia juga memilih jalan yang sama. Jalan yang boleh membahayakan persatuan kita!”

“Sebab itu kau bunuh dia? Kau yang bunuh ayah aku dan membuatkan aku percaya yang selama ini daddy mati kerana bunuh diri.”

Albert ketawa terbahak-bahak mendengar kata-kata itu. Estella mengetapkan bibirnya. Dia ingin menerpa ke arah Albert, namun sepantas kilat lengannya ditarik. Dia menoleh. Jason memandangnya sambil menggelengkan kepala.

“Setelah berbelas tahun baru kau tahu kenyataan tentang ayah kau? Bagaimana kau boleh percaya yang lelaki setabah Steven Wong akan mengambil keputusan mudah membunuh diri?” Albert memandang Estella yang merah padam mukanya.

“Kalau kau nak tahu, ayah kau mati kerana nak melindungi Nashriq, Estella.”

Estella tersentak. Kata-kata Albert ditelan dengan debaran di dadanya. Dia tidak mengerti maksud lelaki itu.

“Kau masih tak faham siapa ayah kau sebenarnya bukan. Malam itu, datuk kau datang bertemu dengan Steven.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah perbincangan yang berlaku di antara datuk dan ayah Estella?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience