Rate

Chapter 161

Romance Completed 26118

Bab 161

Doktor Habibah mengangguk. Tapi apa pula masalahnya?

“Saya sebenarnya nak minta tolong supaya ibu saya boleh tinggal dulu di institusi ini buat sementara waktu. Tak lama, sekejap sahaja sehingga…” Dia mengeluh panjang. Wajah Doktor Habibah semakin berkerut. Entah kenapa dari kata-kata gadis itu, dia tahu Duha Maisara dibebani sesuatu yang merungsingkannya.

“Sehingga apa?’

“Sehingga saya dapat kerja baru.” Terluah juga kata-kata dari bibir manis itu.

“Kerja baru? Maksud Duha?”

“Saya dah berhenti kerja.” Ucap Duha Maisara perlahan. Doktor Habibah terdiam.

“Saya nak mencari kerja baru, lepas tu cari tempat tinggal supaya saya dan ibu boleh terus bersama. Kami nak mulakan hidup baru doktor.” Ujar Duha Maisara.

Doktor Habibah tersenyum.” Saya faham dan saya tak fikir ianya satu masalah. Lagipun sebelum Duha hadir, kami dah lama menjaga ibu Duha tu. Tak apa, Duha selesaikan masalah Duha dulu. Lepas semuanya selesai, baru kita bincang balik hal ini ya.” Ujar Doktor Habibah lembut. Duha Maisara mengangguk lega. Dia tahu wanita itu pasti faham dengan masalah yang menimpanya.

Duha Maisara baru selesai menandatangani buku pelawat tatkala terpandang seorang lelaki separuh umur melangkah masuk ke ruangan hadapan. Dia terpana. Wajah lelaki itu seperti dia kenal. Apabila lelaki itu menoleh, dahi lelaki itu tiba-tiba berkerut memandang Duha Maisara yang masih memerhatikannya.

“Duha?” Sebut lelaki itu tiba-tiba. Perlahan-lahan dia melangkah merapati Duha Maisara.

“Kalau tak salah pak cik ni Pak Cik Asri kan?” Duha Maisara seakan ragu-ragu mahu menyebut, bimbang tersalah orang.

Lelaki itu mengangguk seraya tertawa. “Apa Duha buat di sini?” Tanya lelaki itu.

“Duha lawat mak.” Balas gadis itu.

“Lawat mak?” Asri tercengang.

Duha Maisara tersenyum tenang. “Keadaan mak belum pulih lagi. Duha selalu berulang-alik jenguk mak di sini. Pak Cik Asri pula buat apa di sini?” Tanya Duha Maisara pula.

Namun belum sempat lelaki itu mahu membalas, Doktor Habibah muncul tiba-tiba. “Encik Asri, apa khabar? Dah lama sampai?” Tegur wanita itu.

Asri mengalihkan wajahnya ke arah Doktor Habibah. “Baru saja. Maaf saya lambat, banyak kerja dekat pejabat tadi.” Balas lelaki itu.

“Tak apa, saya faham.” Ujar Doktor Habibah.

Mendengar perbualan itu, Duha Maisara dihimpit rasa hairan. Siapa lelaki itu sebenarnya? Doktor Habibah bagaikan sudah lama mengenali lelaki itu.

“Duha, ini Encik Asri. Dialah penyumbang utama institusi ni.” Doktor Habibah memperkenalkan. Duha Maisara terpaku. Dia tidak sangka lelaki tua yang ditemuinya di pasaraya Carrefour beberapa hari yang lalu adalah penyumbang Al-Raudah. Asri hanya tersenyum memandang gadis itu.

******

“Mana Encik Asri kenal dengan Duha?” Tanya Doktor Habibah ketika makan bersama lelaki itu.

“Jumpa tak sengaja beberapa hari yang lalu.” Ujar lelaki itu.

“Oh macam tu. Duha tu baik budaknya, sayang ibunya pula begitu,” keluh Doktor Habibah. Asri terdiam. Dia sebenarnya ingin bertanya lebih lanjut, tapi tidak tahu di mana hendak dimulakan.

“Kalau doktor tak keberatan, boleh saya tahu apa puncanya ibu Duha jadi macam tu?” Tersebut jua apa yang berada di kepalanya sejak beberapa hari lalu.

“Panjang ceritanya, saya pun tak sangka perkenalan saya dengan Duha akan menemukan dia dan ibunya secara tak sengaja.”

“Maksud doktor?”

“Dah dua belas tahun mereka terpisah. Duha ke mari sebagai sukarelawan semasa mengikut abangnya Doktor Zafran ke mari. Ketika itulah dia bertemu dengan ibunya semula. Mak Cik Jamilah dah lapan tahun menjadi penghuni di institusi ni. Dulu keadaannya benar-benar teruk, asyik menjerit kadangkala menangis. Dia seolah takutkan sesuatu. Dah habis ikhtiar kami merawatnya tapi tak ada apa-apa kesan. Hanya selepas kedatangan Duha ke sini, keadaan makcik Jamilah semakin bertambah baik.” Cerita Doktor Habibah.

“Siapa yang bawa dia ke mari lapan tahun yang lalu?” Tanya Asri benar-benar ingin tahu.

“Ada seorang wanita Cina yang bawa dia ke mari. Kami sendiri pun tak tahu siapa wanita tu. Bila kami jumpa Mak Cik Jamilah, keadaan dia dah tak waras. Dia tak ingat apa-apa tentang siapa dia, apa yang berlaku dan siapa yang bawa dia ke mari. Tapi selang beberapa hari, kami terima satu cek derma entah dari mana suruh kami jaga dia. Amaun dalam cek tu banyak sekali.” Ujar Doktor Habibah.

Asri termenung panjang mendengar cerita yang terlontar dari bibir wanita itu. Entah mengapa dia jadi resah tiba-tiba. Pelbagai andaian menerpa di kotak fikirannya. Apakah selama ini kehilangan Raihana dan ibunya adalah angkara seseorang?

“Doktor masih simpan resit cek tu?” Tanya Asri tiba-tiba.

Doktor Habibah terpegun. “Emm ada saya simpan dalam buku rekod. Tapi Encik Asri nak buat apa dengan resit tu?” Tanya Doktor Habibah, agak hairan.

...bersambung

Bab akan datang:

Apa yang ingin dilakukan En Asri dengan resit tersebut?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience