Rate

Chapter 194

Romance Completed 26118

Bab 194

Cara dan gerak geri mata kedua-duanya kerap diintai olehnya dalam diam-diam.

“Sudahlah Anis, dah dekat tengahari ni. Saya nak habiskan dokumen ni dulu, lepas tu kita pergi makan mahu?” Pelawa Duha Maisara.

“Boleh jugak,” gadis itu mengangguk setuju.

Sebaik Anis beredar, Duha Maisara kembali menaip dokumen yang dimahukan oleh lelaki itu sejak minggu lalu. Dia memang sudah siap dengan draf surat, hanya belum sempat ditaip. Lagipun dia perlu menunggu Nashriq menyemak draf surat yang disediakannya dahulu sebelum ditaip yang baru.

Lima belas minit kemudian, Duha Maisara sudah selesai mencetak surat itu. Dia segera memasukkan surat itu ke dalam fail lalu dibawa ke bilik Nashriq. Dari jauh dia sudah mengintai kelibat lelaki itu.

“Masuk ajelah, dia belum datang,” celah Anis tersenyum-senyum.

Duha Maisara segera menolak daun pintu. Dia melangkah perlahan menuju ke arah meja lelaki itu. Dokumen yang sudah siap ditaip diletakkan di hadapan meja lelaki itu. Namun matanya menangkap suatu rantai yang terjulur keluar dari sebuah kotak kecil di atas meja lelaki itu. Hati Duha Maisara terdetik sesuatu. Entah kenapa, bentuk rantai itu seperti dikenalinya.

Perlahan-lahan, dia menarik keluar rantai halus berbatukan ‘sapphire’ berwarna oren pink di hadapannya. Darahnya menyirap. Tiba-tiba dia teringatkan rantai yang tercicir dari lehernya entah di mana. Apakah ini rantai kepunyaan aku atau milik Nashriq? Dia jadi bingung.

Belum sempat dia memandang rantai itu lebih jelas, tiba-tiba Duha Maisara terdengar derapan sepatu melangkah menghampirinya dari belakang. Serentak, kalung itu direntap kasar dari tangannya. Duha Maisara terpempan. Dia hanya mampu memandang rantai itu bertukar tangan.

Wajah Nashriq mencerun tajam memandangnya. Duha Maisara terkedu melihat wajah Nashriq yang cukup serius memerhatikannya. Entah kenapa dia rasa gementar tiba-tiba.

“Siapa suruh kau sentuh barang ni?” Soal Nashriq garang.

“Maaf, saya tak sengaja. Saya cuma nak hantarkan dokumen ni.” Balas Duha Maisara perlahan.

“Lain kali kalau nak masuk bilik aku, jangan sentuh barang-barang yang tak ada kena mengena dengan kau. Faham?”Herdik Nashriq, tiba-tiba naik angin. Tajam matanya meratah wajah Duha Maisara yang kelihatan panik.

Duha Maisara menentang pandangan mata Nashriq dengan berani. Entah kenapa dia rasa sakit hati kerana dimarahi lelaki itu secara tiba-tiba. Bukannya besar sangat pun kesalahannya. Dia hanya memegang rantai itu, bukan dengan niat untuk mencurinya.

“Kenapa kau pandang aku macam tu?” Soal Nashriq apabila melihat raut wajah Duha Maisara yang menjeling tajam ke arahnya.

“Maaf, saya tak tahu barang tu begitu berharga pada awak. Lain kali kalau betul-betul sayangkan barang tu, kenapa awak tak simpankan saja kalung tu di rumah. Tidaklah pencuri macam saya ni tertarik nak melihatnya,” ujar Duha Maisara separuh menyindir.

Mendengar kata-kata Duha Maisara, Nashriq membeliakkan matanya. Sepantas kilat dia memegang tangan Duha Maisara yang baru hendak beredar. Gadis itu terkejut besar.

“Jangan ingat aku tak berani nak pecat kau dengan sikap biadap kau ni.”

“Saya biadap? Kalau begitu, baik awak pecat saya saja.”

Mata Nashriq terbuka luas. Dia semakin meradang. Sepantas kilat dia menolak tubuh Duha Maisara ke arah sofa sehingga gadis itu terduduk tiba-tiba. Wajah Duha Maisara berubah pucat. Dia cuba bangun tapi tangan Nashriq lebih kuat menekan bahunya sehingga dia tidak dapat bergerak. Mata lelaki itu menjunam tajam ke wajahnya.

“Jangan nak cabar aku!” Bisik Nashriq hampir di telinga Duha Maisara. Gadis itu gugup. Tiba-tiba dia rasa menyesal kerana membangkitkan marah Nashriq. Hatinya jadi kecut. Belum pernah dia melihat Nashriq seperti sekarang. Kenapa dengan dia?

Mata Nashriq terus meratah wajah Duha Maisara. Pandangannya terhenti pada plaster yang terdapat pada dahi gadis itu. Dia seperti baru tersedar tentang sesuatu.

Pintu di belakangnya tiba-tiba terkuak. Erman tergaman apabila melihat wajah Nashriq yang tunduk ke arah Duha Maisara yang ketakutan. Menyedari kehadiran Erman, Nashriq cuba bertenang. Dia melangkah menuju ke mejanya, sambil memandang Erman yang kelihatan serba salah.

“Ada apa?” Tanya Nashriq seraya menarik nafas panjang.

“Emm…abang cuma nak beritahu kau yang abang tak boleh lunch sekali dengan kau dan Suraya. Ada hal sikit nak diuruskan. Tak apa ke kalau kau orang berdua sahaja yang pergi?” Tanya Erman sambil menjeling Duha Maisara yang masih terpegun.

“It’s okay, saya pun ada hal nak dibincangkan dengan Suraya.” Jawab Nashriq.

“Kalau macam tu, abang pergi dulu. Oh ya Suraya tunggu kau kat parking lot. Dia ajak naik kereta dia.” Ujar Erman sebelum beredar keluar.

Sebaik lelaki itu berlalu, mata Nashriq berpaling memandang Duha Maisara yang diam membisu. Wajah Duha Maisara seperti gelisah. Tiba-tiba dia rasa bersalah. Dia tahu sikapnya menakutkan gadis itu.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah hal yang ingin dibincangkan dengan Suraya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience