Rate

Chapter 50

Romance Completed 26118

Bab 50

“Comot betul kau ni. Kalau macam nilah rupa kau bila masuk ke dapur, siapa yang akan ambil kau jadi isteri.” Ucap Nashriq seraya mengosok kesan kotor di dahi gadis itu dengan hujung jarinya.

Duha Maisara terdiam. Entah kenapa dadanya berdebar-debar kencang. Namun wajah lelaki itu kelihatan selamba. Bagaikan tersedar, Duha Maisara segera menolak jari-jemari Nashriq dari dahinya. Lelaki itu tergaman.

“Kalau awak lapar, duduklah makan. Nanti saya ambilkan pinggan,” ujar Duha Maisara seraya bergegas ke dapur. Nashriq hanya mampu memerhatikan kelibat gadis itu menghilang memasuki dapur. Dia tahu Duha Maisara terasa malu dengannya.

Mahu tak mahu Nashriq kembali ke ruang tamu. Leka matanya memerhatikan susunan perabot yang nampak kemas dan simple. Apabila matanya menjengah ke sudut almari yang terletak di suatu sudut, beberapa bingkai gambar yang disusun berderet, membuatkan matanya tidak dapat lari dari potret-potret itu. Langkah Nashriq tanpa sedar sudah menghampiri potret tersebut.

Terkejut dia melihat gambar Duha Maisara sedang tersenyum riang di samping doktor muda yang dilihatnya di hospital tempoh hari. Dia melihat gambar-gambar lain juga begitu. Namun sekeping gambar yang menunjukkan doktor itu sedang memeluk pinggang Duha Maisara, benar-benar membakar hatinya. Entah kenapa dia rasa tidak senang melihat gambar itu.

“Awak nak makan sekarang?” Tegur Duha Maisara yang muncul dari arah belakang. Nashriq meletakkan bingkai gambar di tempatnya. Dia segera menuju ke arah Duha Maisara yang sudah menunggu di meja makan.

Tajam matanya merenung Duha Maisara yang sedang menceduk nasi goreng ke pinggannya. Selera makannya yang tadi bangkit bagaikan hilang ditelan angin. Dia menggigit jari menahan emosi yang mula membakar.

“Rumah ni rumah siapa?” Tegur Nashriq tiba-tiba. Ingin tahu.

“Rumah abang saya.” Jawab Duha Maisara selamba. Dia turut duduk di hadapan Nashriq mengadap nasi goreng dan teh panas.

“Abang?” Wajah Nashriq berkerut.

Gadis itu cuma mengangguk, tapi tidak pula berniat mahu menyambung perbualan.

“Jadi doktor tu abang kau?”

Duha Maisara tersentak. Pantas matanya dihala ke arah Nashriq. Bagaimana lelaki itu boleh kenal dengan Zafran?

Namun Duha Maisara jadi kaget melihat Nashriq seolah tersenyum memandangnya. Kenapa dengan dia ni? Dah buang tabiat agaknya senyum sorang-sorang macam ni.

Berselera Nashriq makan nasi goreng yang dimasak Duha Maisara. Dia sendiri tidak tahu kenapa hatinya jadi girang sebaik tahu siapa lelaki dalam gambar itu pada Duha Maisara. Yang pasti, separuh gelodak rasa yang membakar hatinya tadi hilang entah ke mana.

******

Erman tercengang melihat Nashriq muncul di pejabat dengan wajah berplaster. Malah semua kakitangan pejabat tertanya-tanya sendiri apa sudah jadi dengan wajah ketua mereka yang lebam-lebam. Bergaduh dengan orangkah? Firasat itu yang pertama menyentak fikiran Erman. Pantas diekori Nashriq masuk ke dalam bilik.

“Naz, kenapa dengan kau ni?” Soal Erman selepas pintu bilik ditutup.

Anak muda itu tak menjawab. Sebaliknya senyuman kosong dilemparkan ke arah Erman. Lelaki itu tambah hairan. Apa yang tak kena dengan budak ni?

“Sikit saja ni bang. Tak mencacatkan rupa saya kan?” Gurau Nashriq seraya tertawa. Erman menggaru kepala yang tidak gatal.

“Mana kau pergi semalam Naz? Puas abang tunggu tapi kau tak balik. Dahlah tu, handphone pun tak diangkat.” Seru Erman.

Mendengar kata-kata Erman, Nashriq teringatkan sesuatu. Pantas dia mencapai kot yang tersandang di kepala kerusi. Erman tercengang memerhatikan gelagat Nashriq meraba-raba poket kotnya. Serentak dengan itu sebuah telefon bimbit kecil berwarna jingga muda dikeluarkan dari dalam poket. Erman mengerutkan dahinya. Telefon siapa tu? Seingatnya telefon Nashriq bukan seperti itu.

Nashriq menepuk dahinya sambil mengeluh. Aduh! Bagaimana dia boleh terlupa memulangkan telefon milik Duha Maisara? Semalam ketika dia hendak keluar dari bilik VIP itu, dia terlanggar telefon kecil itu di hadapan pintu. Dia segera keluar mencari Duha Maisara, tapi pekerja-pekerja di Blue Ocean mengatakan yang gadis itu sudah pulang.

Namun apabila dia bergegas mengejar Duha Maisara dengan kereta, tiba-tiba dia terserempak dengan peristiwa Duha Maisara dikelilingi beberapa lelaki. Entah kenapa waktu itu, apabila melihat wajah itu seperti ketakutan, dia segera meluru. Langsung dia tidak memikirkan keselamatan dirinya. Apa yang dirisaukan hanyalah keselamatan gadis itu. Ketakutan gadis itu yang dahulu diambil kira.

Dia sendiri tidak tahu kenapa sejak akhir-akhir ini, wajah itu kerap muncul dalam ingatannya. Nashriq termenung panjang. Apakah kerana Duha Maisara mengingatkan aku pada Raihana, maka aku bertindak di luar jangkauan? Kenapa setiap kali aku berhadapan dengannya, hatiku seperti merasakan sesuatu. Perasaan yang sudah lama aku kuburkan semata-mata kerana Raihana. Seseorang yang apakah masih ada peluang untuk aku temui dalam hayat ini?

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Duha juga mempunyai perasaan terhadap Nashriq?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience