Rate

Chapter 150

Romance Completed 26118

Bab 150

Tinggal Estella terkontang-kanting sendirian menerima tamparan demi tamparan. Dia mengeluh kesah. Kata-kata Nashriq menikam sehingga ke ulu hatinya. Entah kenapa tiba-tiba dia merasa sedih. Mungkin kerana dia mula mengambil berat tentang kenyataan yang sepatutnya dia hadapi sejak dulu.

Tapi memikirkan kata-kata Nashriq sebentar tadi, Estella termenung panjang. Apa maksud anak muda itu tentang Vila Kecil? Apakah ada sesuatu yang berlaku di luar pengetahuannya? Puas dia memikirkannya, akhirnya dia mengalah. Pertama, dia harus tahu apa itu Vila Kecil dan kenapa vila itu dikaitkan dengannya. Selepas itu, dia akan cari jalan untuk dapatkan semula apa sahaja yang dimahukan oleh Nashriq. Zoey, aku benar-benar inginkan Nashriq kembali ke sisi keluarga kita semula. Aku tidak mahu lagi terus beralah dalam dendam. Kerana dendam ini begitu menyeksa hatiku selama ini Zoey, bisik Estella pilu.

“Terima kasih sebab susah-susah belikan makanan ni, Duha.” Ujar Pak Mat nampak gembira sekali dengan pemberian gadis itu. Duha Maisara hanya tersenyum senang. Nasi goreng kampung yang berbungkus dengan polistrin putih itu dibelinya semasa turun ke kafeteria pejabat itu tadi. Mulanya dia hendak makan tengahari di situ, tapi tidak jadi pula.

“Duha dah makan?” Tanya Pak Mat, pengawal keselamatan bangunan itu yang dijumpainya dulu semasa mula-mula dia menjejakkan kakinya ke situ.

Dia mengangguk, meskipun sebenarnya dia belum makan lagi. Entah kenapa ada sesuatu yang mengganggu emosinya. Dia tidak tahu apakah hanya dia seorang yang perasan sejak pagi tadi, pekerja-pekerja di bangunan itu memandangnya satu macam. Seolah-seolah dia telah melakukan satu kesalahan besar. Tapi yang anehnya dia sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang telah berlaku sehingga dia menerima panahan tajam dari beberapa pekerja di situ. Tak kurang juga ada yang menjuih mulut setiapkali bertembung dengannya.

“Pak Mat tengok Duha ni macam ada masalah aje.” Tegur Pak Mat apabila dilihatnya wajah anak gadis itu tidak ceria seperti biasa. Selalunya Duha Maisara nampak riang, selalu tersenyum. Tapi raut wajah gadis di hadapannya kini seperti bergelut dengan sesuatu.

“Tak ada apa-apaPak Mat. Duha okey aje.” Gadis itu tergelak kecil.

“Betul tak ada apa-apa?” Lelaki itu seperti tidak yakin. Duha Maisara mengangguk. Dia tidak mahu membebankan orang tua itu dengan masalahnya.

“Duha, tolong pergi ke bilik mesyuarat. Ambilkan buku rekod laporan mesyuarat sebab saya nak buat pengemaskinian,” suruh Anis sewaktu menelefonnya. Dia tanpa banyak soal hanya mengikut. Namun ketika melewati beberapa meja di situ, dia terdengar suatu suara. Nafas Duha Maisara bagaikan terhenti tiba-tiba.

“Aku rasa perempuan tu memang tak tahu malu. Kau nampak tak tadi bukan main selamba dia datang ke pejabat, macam tak ada apa-apa.” Ujar seorang gadis berambut ikat dua.

“Kasihan Suraya. Tak fasal-fasal pertunangan dia tak jadi sebab perempuan tu. Kalau akulah jadi Puan Engku, dah lama aku pecat perempuan tu. Entah apa Encik Nashriq pandang pada perempuan kampung macam tu.” Sambung gadis itu lagi.

Duha Maisara tersentak. Apakah yang dimaksudkan oleh gadis itu adalah dirinya? Tapi apa maksud dia tentang pertunangan? Pertunangan siapa? Dia jadi keliru.

“Sebab dia pandai menggoda. Tiap-tiap hari pakai baju kurung tunjuk ayu depan Encik Nashriq. Mana mamat tu tak tergoda.” Sambut teman gadis itu yang bercermin mata.

Duha Maisara memejamkan matanya. Hatinya terasa luluh dengan kata-kata yang didengarinya. Matanya mula berkaca. Dia ingin berlalu pergi, tapi terpandang Katrina yang entah sejak bila berada di belakangnya. Mata Katrina tajam memandang ke arahnya. Tapi seketika kemudian, anak mata gadis itu beralih arah.

“Buat apa ni?” Tegur Katrina menyebabkan gadis-gadis yang rancak berbual itu terperanjat besar, apatah lagi melihat kelibat Duha Maisara di sisi Katrina.

“Err Cik Katrina, kami…kami cuma berbual-bual.”

“Berbual? Apa awak semua ingat syarikat ni bayar gaji pada awak hanya untuk berbual? Buat gosip yang bukan-bukan?” Mata Katrina mencerlung tajam ke wajah-wajah resah di hadapannya.

“Lain kali kalau saya dengar lagi umpat keji awak semua mengata ketua kita yang bukan-bukan, saya sendiri yang akan laporkan perkara ni pada Puan Engku. Sudah! Pergi sambung kerja!” Bentak Katrina panas hati. Gadis-gadis itu segera berpusu-pusu menuju ke arah meja masing-masing. Duha Maisara hanya diam. Dia tahu kebanyakan pekerja di situ takut dengan Katrina.

Perlahan-lahan langkah Katrina menghala ke arah Duha Maisara yang hanya membisu. Wajah muram gadis itu membuatkan dia sedikit sebanyak simpati. Dia tahu Duha Maisara banyak menghadapi tekanan sejak akhir-akhir ini.

“Lain kali kalau mereka mengata awak lagi Duha, lawan sajalah. Buat apa menahan sampai macam ni.” Ujar Katrina.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Duha akan membawa diri selepas ini?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience