Rate

Chapter 84

Romance Completed 26118

Bab 84

Melihat Duha Maisara yang seolah terpaku, lelaki itu memandang teman-temannya. Pak Mat yang menyedari kejadian itu terus berlari ke arah Duha Maisara dengan wajah cemas.

“Masya Allah Duha, macam mana boleh jadi begini?” Pak Mat segera membantu mengangkat kotak-kotak yang menghempap gadis itu. Melihat keadaan itu, lelaki-lelaki pekerja am itu turut membantu. Kertas-kertas yang bertaburan di ruang legar itu segera dikutip.

“Duha tak perasan tadi Pak Mat.” Ujar Duha Maisara. Dia cuba bangun, namun sesaat kemudian tubuhnya kembali terduduk. Dia menyeringai kesakitan.

“Kenapa?” Soal Pak Mat semakin cemas.

“Buku lali Duha sakit Pak Mat. Duha tak boleh bangun.” Adu gadis itu sambil menahan sakit. Pak Mat tergaman.

“Kenapa ni?” Tiba-tiba muncul suatu suara di belakang Duha Maisara. Dia terpana. Suara itu amat dikenalinya. Dia tunduk. Entah kenapa rasa gementarnya kembali lagi.

“Budak ni jatuh encik, kakinya terseliuh agaknya.” Beritahu Pak Mat pada lelaki itu. Lelaki di belakangnya terdiam. Duha Maisara semakin berdebar-debar. Apabila langkah kaki itu berlalu di hadapannya, dia semakin tidak berani mengangkat muka.

******

“Jangan bimbang, kakinya cuma terseliuh. Nasib baik tulang buku lima ni tak patah, kalau tidak tentu makan masa berbulan nak baik semula. Tak apa, saya bagi ubat makan dan ubat tahan sakit. Insya Allah dalam dua tiga hari nanti, bengkaknya akan surut.” Ujar doktor lelaki yang berjambang sejemput itu.

“Terima kasih doktor.” Ujar lelaki itu seraya memandang ke arahnya. Dia hanya diam. Sewaktu menanti gilirannya mengambil ubat, mata Duha Maisara diam-diam meneliti raut wajah lelaki di sampingnya. Entah apa yang berubah pada lelaki itu, sehinggakan dia tidak mampu mengecam lelaki yang suatu ketika dulu pernah menjadi teman sepermainannya.

Matanya tertancap pada lekuk kecil di pipi lelaki itu. Selama ini dia tidak perasan akan lekuk kecil itu. Namun ingatannya masih kuat pada tali lalat kecil yang dimiliki oleh lelaki itu pada hujung mata bahagian kiri. Patutlah ketika dia melihat tali lalat itu dulu, hatinya sudah berdegup kencang. Rupanya lelaki yang selalu membantunya, adalah ‘abang’ yang selama ini selalu dirinduinya saban waktu.

Tiba-tiba Nashriq berpaling ke arahnya. Duha Maisara sedikit gugup. Mata lelaki itu tidak berganjak dari wajahnya. Melihat renungan lelaki itu, dia bagaikan terus terpukau.

“Duha Maisara Abdullah.” Panggil suatu suara dari arah kaunter ubat. Serentak kedua-duanya berpaling. Dengan pantas, Nashriq segera melangkah ke arah kaunter. Dia pula hanya mampu memandang.

Sepanjang menghantarnya pulang, Nashriq diam sahaja. Wajah lelaki itu serius memandu. Duha Maisara di sebelahnya langsung tidak diendahkan. Melihat sikap Nashriq, Duha Maisara serba-salah jadinya. Dia tidak tahu kenapa lelaki itu bersikap begitu terhadapnya. Marahkan akukah?

“Saya nak…..” Belum sempat dia cuba bersuara, Nashriq tiba-tiba menguatkan volume radio di dalam keretanya. Duha Maisara terpegun sejenak. Dia merasa seperti Nashriq benar-benar sedang marah. Mahu tidak mahu, Duha Maisara memandang ke luar jendela kereta. Dia sendiri tidak tahu apa yang dipandangnya, namun itu lebih baik dari dia menatap wajah lelaki itu.

Setengah jam memandu, mereka sampai di vila tempat Duha Maisara menumpang. Gadis itu ingin segera turun, tapi tiba-tiba sahaja pintu di sebelahnya berkunci. Dia terpaku. Wajahnya ditoleh ke arah Nashriq di sisinya. Lelaki itu memandang lurus ke hadapan. Sepatah suara tidak muncul dari bibirnya.

Duha Maisara mulai lemas. Dia langsung tidak faham dengan sikap lelaki itu.

“Saya nak turun,” pinta Duha Maisara. Namun Nashriq hanya membatu diri. Duha Maisara semakin tidak mengerti. Apa maksud sebenar lelaki itu? Mahu mengurungnya di dalam keretakah?

“Bagi saya turun. Saya nak turun Encik Nashriq.” Getus Duha Maisara dengan suara meninggi. Nashriq menoleh. Agak hairan mendengar namanya dicanang buat kali pertama oleh gadis itu. Wajah Duha Maisara merah padam. Nashriq terus-terusan merenung wajah gadis itu. Apabila Duha Maisara membalas tatapannya, mata Nashriq terus terpaku di situ. Pada sepasang mata Duha Maisara yang indah seperti bulan.

Menyedari renungan lelaki itu tidak beralih arah, Duha Maisara mulai malu. Segan kerana berdua-duaan dalam kereta seperti itu. Sudahlah hari pun semakin mendekati remang-remang senja.

“Kenapa kau lari masa nampak aku tadi?” Soal Nashriq tiba-tiba.

Duha Maisara tersentak. Dia nampakkah?

“Aku tanya kenapa kau lari bila nampak aku? Susah sangat ke soalan itu?” Suara Nashriq sedikit meninggi.

Duha Maisara terus terkedu. Entah alasan apa yang sepatutnya diberikan pada lelaki itu. Takkan dia mahu memberitahu sebab dia lari, adalah kerana lelaki itu adalah Nashriq Adli yang sering dalam ingatannya sejak dulu lagi. Bagaimana harus dia memberitahu lelaki itu siapa dirinya yang sebenar?

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang akan dijelaskan Duha kepada Nashriq?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience