Rate

119

Romance Completed 26118

Bab 119

Kerana itu saya harap Cik Duha faham bahawa masa depan Nashriq berada di tangan Cik Duha sepenuhnya. Dia mungkin akan kehilangan segala-galanya kalau pihak ALP tahu bahawa gadis di samping Nashriq adalah bekas penyanyi kelab malam.” Ujar Erman perlahan tapi tegas.

Duha Maisara terdiam. Dia tunduk. Kata-kata Erman entah kenapa menikam lubuk hatinya. Tapi dia sedar kata-kata itu benar belaka. Kehadirannya hanya akan menyusahkan Nashriq. Sedangkan dia tidak mahu menjadi beban lelaki itu.

“Suraya telah ditetapkan oleh Engku Latifah untuk dijodohkan dengan Nashriq. Walaupun Nashriq tidak bersetuju sekarang, tapi mungkin suatu hari nanti dia terpaksa membuat pilihan dalam hidupnya, perkara mana yang lebih penting. Cinta atau titik peluh ayahnya? Sampai masa itu, mungkin Cik Duha akan lebih merasa kecewa, percayalah.” Sambung Erman lagi.

Duha Maisara perlahan-lahan mengangkat wajahnya. Renungan Erman dibalas dengan raut wajah tenang.

“Saya tak pernah bermimpi untuk berada di samping Nashriq, Encik Erman. Tapi saya terhutang budi padanya. Dan saya telah berjanji akan berada di sampingnya sehingga dia sendiri menghalau saya keluar dari Mega Timur. Itu janji saya dengan Nashriq.”

“Kalau suatu hari nanti, Nashriq sudah tidak perlukan saya sebagai pembantu, saya akan berhenti. Saya akan melangkah keluar dari hidupnya. Itu janji saya pada Encik Erman.” Ucap Duha Maisara, sedikit sebak.

Erman terdiam. Kata-kata Duha Maisara membuatkan dia terkejut sebenarnya. Melihat mata gadis itu berkaca, entah kenapa dia jadi serba salah. Dari kata-kata Duha Maisara, seakan ada garis kejujuran bertamu di situ. Maafkan abang Naz, sebab terpaksa melukakan hati gadis ini. Gadis yang kau cintai! Tapi abang terpaksa melaksanakan tanggungjawab abang pada kau. Kerana Zainal Ikram, kau seharusnya melupakan dia. Melupakan gadis itu terus dari lubuk hati, bisik Erman dalam hati.

* * * *

Engku Latifah menghempaskan fail di hadapannya dengan perasaan geram. Dia benar-benar tidak menyangka anginnya boleh naik sebaik menatap dokumen yang baru dihantar oleh bahagian personnel sebentar tadi.

Tidak ada kelulusan serta tidak ada pengalaman kerja. Dia membaca maklumat yang terpapar tentang Duha Maisara, pembantu baru anaknya yang baru tiga minggu bekerja di situ. Entah apa yang Nashriq nampak sehingga mengupah gadis sebegitu bekerja di Mega Timur! Engku Latifah benar-benar meradang kali ini.

Dia menekan punat interkom di mejanya.

“Kat, sambungkan saya pada Nashriq.”

“Baik Puan Engku.” Terdengar suara Katrina di hujung talian. Tak lama kemudian, suara Katrina muncul semula.

“Maaf Puan Engku. Kata Anis, Encik Nashriq ke Putrajaya. Ada urusan.” Beritahu Katrina. Engku Latifah terdiam. Dia mendengus geram.

“Kenapa marah-marah ni?” Kepala Engku Iskandar terjengul masuk dari muka pintu. Engku Latifah berpaling tapi tidak berkata apa-apa. Dia memicit-micit kepalanya yang sudah naik pening.

Engku Iskandar melangkah masuk tanpa dipelawa lalu duduk di hadapan wanita itu. Kerut di wajah adiknya itu sedikit sebanyak membuatkan dia tertanya-tanya.

“Kenapa dengan kamu Tif?”

Engku Latifah menarik nafas panjang. “Tengah pening kepala fikirkan fasal Naz.” Jawabnya sepatah.

“Fasal Naz, fasal apa?” Lelaki itu terus bertanya, ingin tahu.

“Apa lagi kalau bukan fasal dia mengambil pembantu baru yang tak ada kelulusan tu. Tempoh hari saya syorkan Katrina, dia tak mahu. Kononnya Erman sudah cukup untuk membantu. Tapi tiba-tiba dia mengambil budak yang tak ada pengalaman kerja jadi pembantu, siapa tak marah?” Engku Latifah menyuarakan rasa tidak puas hatinya.

Engku Iskandar terdiam. Tentu fasal Duha Maisara, desisnya.

“Abang dah tengok orangnya, cantik. Agaknya sebab tu Nashriq ambil dia bekerja,” ujar Engku Iskandar selamba. Dia perasan wajah Engku Latifah mula berubah.

“Maksud abang?”

Engku Iskandar tersenyum. Dia sudah nampak jalannya bagaimana mahu menumpaskan Nashriq dalam syarikat.

“Nashriq tak beritahu kamu kat mana dia jumpa Duha Maisara?”

Engku Latifah terdiam. Dia menunggu lelaki itu menghabiskan kata-kata. Entah kenapa, pertanyaan lelaki itu seolah mengundang seribu persoalan yang mula muncul dalam kepalanya.

******

Engku Iskandar tertawa besar. Senang hati kerana jeratnya sudah menampakkan jalan. Engku Latifah bulat-bulat percaya dengan ceritanya. Malah wanita itu terlopong bila tahu Duha Maisara pernah bekerja di kelab malam. Malah tidak cukup itu, ditunjukkan bukti gadis itu sedang membuat persembahan di Blue Ocean. Semuanya kerana jasa Reyna yang cekap mengumpul maklumat untuknya.

Dari jauh seorang lelaki Indian berbadan besar menapak ke arahnya. Engku Iskandar menunggu sehingga lelaki itu semakin dekat. Dia sempat menghabiskan minumannya yang tinggal sedikit.

“Iskandar,” sapa lelaki India itu seraya duduk di hadapannya.

Engku Iskandar memandang lelaki itu agak lama. Sejurus dia menolak fail warna biru muda yang tersedia di hadapannya sejak tadi.

...bersambung

Bab akan datang:

Apa rancangan Engku Iskandar pula untuk menjatuhkan Nashriq?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience