BAB 103

Romance Series 93123

“BETUL ke Ziqri suami orang?” tanya Puan Hazimah.
Semua tergamam mendengar pertanyaan itu dan memandang Lufya dengan Ziqri serentak. Ketika itu, semua tetamu sudahpun pulang ke rumah masing-masing dan mereka sedang berkumpul di ruang tamu termasuk Ziqri dan kakak-kakak ipar Lufya. Hanya budak-budak yang sibuk bermain di ruangan sebelah.
Wajah Lufya berubah pucat. Manakala Ziqri terkedu. Mereka berpandangan seketika. Tidak tahu apa jawapan yang harus diberikan pada Puan Hazimah.
Puan Hazimah memandang tajam pada Lufya dan juga Ziqri.
“Ibu… apa ibu cakap ni?” soal Khalid hairan. “Siapa suami orang?” tanyanya lagi. Hairan.
“Tiba-tiba je? Dari mana ibu dengar cerita mengarut ni?” soal Lila mencelah.
“Ibu tak tipu. Ibu juga tak mengarut. Betulkan, Ziqri? Kamu suami Marsha?”
Ziqri tertunduk seketika. Sempat dia mengerling Lufya yang terus memucat sebaik mendengar soalan itu.
“Ibu… takkanlah, Lufya nak rampas suami Marsha. Kita semua tahu yang Lufya dengan Marsha tu kawan baik,” bantah Aeril. Rasa tidak percaya, Lufya melakukan perkara itu.
Aina dan Sarina berpandangan dan kembali menumpukan perhatian pada Lufya. Drama keluarga!
“Jawablah, Lufya. Ibu nak jawapan jujur dari kamu,” desak Puan Hazimah.
Lufya mengetap bibirnya kuat. Apalagi dugaan kali ini. Baru pagi tadi mereka mengebumikan Haji Maliki. Sekarang, lain lagi kisah yang timbul. Kesedihanpun belum hilang. Dia menunduk seketika. Siapa yang membocorkan rahsia itu? Marsha? takkanlah Marsha sanggup memandu sejauh ini untuk menceritakan perkara itu. Lagipun, mereka masing-masing sudah berjanji untuk menyimpan rapi rahsia itu.
“Mana ibu dengar cerita ni?”
“Tak perlu tahu dari mana ibu tahu pasal benda ni. Ibu hanya mahukan kebenaran. Jujur dengan ibu! Ziqri suami Marsha kan?”
Lufya memandang Ziqri yang tidak senang duduk. Sama sepertinya. Dia menggigit bibirnya gelisah. Pandangan ahli keluarganya itu cukup meresahkan. Semuanya menanti jawapan dari dia. Dapatkah mereka terima sekiranya dia berkata benar. Akankah dia dipersalahkan atau kisah lama akan berulang kembali? Lufya menunduk sepi.
“Lufya!” jerkah Puan Hazimah.
Lufya tersentak. Dia memandang wajah Puan Hazimah yang sudah memerah menahan marah.
“Cakaplah kak. Betul ke? Kamipun nak tahu juga jawapan Kak Lufya,” sampuk Lila lembut. Lagipun, kalau tak betul… buat apa nak takut. Jawab je lah,” sambung Lila lagi.
Lufya tersenyum kelat. Dia menelan air liurnya. Kelat.
“Betul tu. Bagitahu ibu benda yang betul. Kami percaya, Luf tak buat perkara yang ibu cakap tu kan?” Khalid mencelah.
Lufya terasa seakan langit menghempap kepalanya. Kata-kata penuh harapan dari Khalid itu menghimpit dirinya.
“Susah sangat ke, nak jujur dengan ibu? Hah? Ibu nak jawapan,” desajk Puan Hazimah.
Hatinya sakit mengenangkan berita yang didengar olehnya bersama Haji Maliki. Kerana berita itu jugalah, Haji Maliki jatuh pengsan, sekaligus meninggalkan dirinya. Dia sebak. Air matanya mengalir lesu.
Lufya tergamam melihat air mata yang terbit dari mata ibunya.

“Ibu…” Lufya sebak melihat air mata itu.
“Jujurlah dengan ibu, Lufya. Ibu merayu pada Lufya. Tolonglah…” rayu Puan Hazimah.
Lufya menarik nafas berat sambil memandang wajah mereka satu persatu sehinggalah wajah Ziqri. Dia tidak mampu lagi untuk menidakkan kebenaran. Untuk apa lagi dia menyembunyikannya.
“Ye. Ziqri suami Marsha,”
Ziqri tergamam dengan pengakuan berani itu.
Puan Hazimah meraung menangis. Lila menekup mulutnya dengan tangan, manakala kedua abang dan kakak iparnya tergamam. Masing-masing menunjukkan riak wajah terkejut dan terkilan.
“Astagfirullahhaladzim!” Puan Hazimah menekup mulutnya.
Rasa malu menghimpit dirinya. Dia berharap kalau berita yang dia dengar itu tidak benar, tapi pengakuan Lufya memusnahkan harapannya. Dia mengelengkan kepalanya.
“Kak Lufya tipu kan? Tak mungkin!” bantah Lila, tidak percaya.
Lufya menunduk seketika. Dia menyeka air matanya kemudian memandang Lila dan Puan Hazimah silih berganti.
“Marsha isteri pertama Ziqri. Lufya Cuma isteri kedua,”
Ziqri mengeluh perlahan. Dia mahu menyampuk, tapi Lufya memandangnya dan menggelengkan kepalanya. Terpaksalah dia dan biras-birasnya duduk di situ sambil memerhatikan mereka anak beranak.
“Tapi kenapa Lufya?” soal Khalid. Terkilan, kecewa dan marah bercampur di dalam hatinya.
“Banyak lagi kut lelaki kat luar sana. Kenapa suami orang?” Giliran Aeril bertanya dengan nada kecewa.
Lufya menunduk.
“Lila tak sangka! Sanggup Kak Lufya rampas suami orang demi bahagia? Sebab apa? Dendam?” Lila menggelengkan kepalanya tanda kecewa.
“Kenapa Lufya? Kenapa buat ibu macam ni? Apa salah ibu? Ayah?”
Lufya menangis.
“Ibu dengan ayah tak salah,”
“Habis tu? Kenapa Lufya?”
Lufya memandang wajah Puan Hazimah sayu. Dia tahu semuanya mahukan jawapan darinya. Hatta Ziqri.
“Demi sebuah kemaafan,”
“Kemaafan?” Puan Hazimah keliru.
Ziqri turut menumpukan perhatian pada Lufya.
“Ye ibu. Sebuah kemaafan dari seorang lelaki bergelar ayah. Yang selama ni, Luf harapkan. Yang selama ni Luf impikan. Luf sanggup buat apa saja ibu. Asalkan ayah terima Luf kembali ke sisi keluarga kita,”
“Luf sanggup lukakan hati orang lain?” soal Khalid kecewa.
“Luf tak lukakan hati dia,” bantah Lufya sebak.
Ya. Dia bukan melukakan. Semua yang terjadi atas permintaan Marsha sendiri. Bukan dia yang mahu.
“Berbaloikah kemaafan dengan cara macam tu? Bagitahu ibu sekarang. Berbaloikah bila perlua ada nyawa yang terkorban?” soal Puan Hazimah. Penuh dengan perasaan kecewa.
Lufya tersentak.
“Apa maksud ibu?” soal Lufya sebak.
Puan Hazimah menggelengkan kepalanya.
“Sebab inilah, ayah pengsan dan sekarang ayah dah takde. Puas hati?”
Lufya kaku. Semua memandangnya dengan perasaan kecewa dan terkilan.
“Kak Lufya pembunuh!” tuduh Lila. Dia bangun dan meninggalkan mereka di situ.
Lufya tergamam mendengar tuduhan itu. Dia menggelengkan kepalanya laju.
“Tak… tak…” nafi Lufya dalam tangisannya.
“Lufya pembunuh. Lufya yang jadi sebab ayah pergi tinggalkan kita semua,” kata Khalid, seraya bangun dari sofa dan berlalu dengan perasaan terkilan.
Lufya menekup kedua wajahnya. Dia tidak menyangka perkara itu boleh menjadi punca mereka kehilangan ayah yang mereka sayangi. Bahunya terhinjut-hinjut menahan tangis. Dia kecewa pada dirinya sendiri. Apa yang dia dah buat?
“Lufya minta maaf ibu…” rintih Lufya.
Dia bangun dari kerusi yang dia duduki dan pergi ke hadapan Puan Hazimah, namun belum sempat dia melabuhkan punggungnya, Puan Hazimah bangun sambil menyeka kasar air matanya.
“Pergi dari sini! Jangan tunjuk muka lagi kat ibu!”
Lufya tergamam. Sekali lagi?
“Ibu…”
“Pergi Lufya! Hati ibu sakit bila tengok muka kamu. Ibu jadi benci pada kamu!”
“Lufya tak sengaja bu. Maafkan Lufya,” rintih Lufya. Dia cuba memeluk tubuh Puan Hazimah, tapi Puan Hazimah terlebih dahulu menepisnya.
“Pergi dari sini, atau aku panggil polis!”
Lufya kaku di situ. Perlahan dia berpaling pada Aeril, tapi Aeril hanya bangun dan meninggalkan dia termasuklah kakak-kakak iparnya. Tiada satupun yang mahu membantu dia. Ziqri juga sudah menghilang. Sekali lagi dia akur pada takdir yang diciptakan untuknya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience