PAGI itu, Lufya terpaksa bergegas ke Bangi bersama Damya untuk mengambil set percubaan untuk produk slimming & whitening keluaran terbaru syarikatnya. Setelah itu, Lufya dan Damya bergegas pula ke stesen tv untuk taklimat mengenai program tajaannya itu.
“Letihnya,” keluh Lufya sebaik masuk ke dalam kereta.
Damya mengangguk, mengakui perkara yang sama.
“Kau tu okay lagi. Bukan drive. Nasib baik kereta auto. Kalau tak, dengan kau, aku tinggal kat sini,” balas Damya dengan rungutannya.
Lufya tersengih.
Kereta yang mereka naiki itu meluncur meninggalkan perkarangan stesen televisyen itu.
“Nampaknya beberapa bulan akan datang, kita akan sibuk,” komen Lufya.
“Hmmm… susahlah nak cuti,” rungut Damya pula.
Berkerut dahi Lufya mendengar rungutan itu,
“Bercuti?” tanya Lufya sambil memandang Damya sekilas.
Damya menganggukkan kepalanya perlahan sambil menjawab, “Yelah bos. Dah lama rasanya aku tak cuti,”
Mendengar jawapan itu membuatkan Lufya mula rasa bersalah. Dia mula merasakan yang dia pentingkan dirinya sendiri kerana tidak memberi peluang pada Damya untuk bercuti bagi menenangkan mindanya.
“Aku minta maaf, Damya. Aku sibuk sangat kebelakangan ni, sampai aku lupa pasal cuti kau,” pinta Lufya dengan nada rasa bersalah.
Damya tersengih sendiri mendengar permintaan maaf itu. “Takdelah. Aku cuma berfikir untuk tenangkan minda sehari dua. Serabut fikiran aku, asyik fikir pasal kerja,”
“Kalau kau nak cuti, cutilah. Sementara tak sibuk sangat,” kata Lufya memberi cadangan.
Bersinar wajah Damya mendengar kata-kata Lufya itu. Dia memandang Lufya sambil bertanya meminta kepastian. “Betul ni?”
“Betullah. Kau ingat aku bergurau ke? Tapi… kalau kau tak nak, aku okay je,” balas Lufya.
Damya menjuihkan bibirnya lalu berkata, “Naklah! Siapa kata aku tak nak? Boleh juga aku pergi Cameron Highland ke, Genting ke. Kat sini asyik hadap muka kau je. Jenuh!”
Lufya tayang muka menyampah. “Bukan main kau ye…”
“Mestilah… bosan tahu,” balas Damya tanpa perasaan.
“Kau jangan nak mention benda-benda yang boleh ubah fikiran aku. Nanti karang, ada yang tak cuti setahun,” kata Lufya separuh mengugut.
Damya tersengih mendengar ugutan itu.
“Baik ladyboss,” usik Damya sengaja mahu mempermainkan Lufya.
Lufya merengus perlahan. Tangannya mencapai sebotol air mineral yang berada di tepi pintu lalu membukanya untuk minum.
“Cakap pasal bercuti ni, kau tak berbulan madu ke?”
Lufya yang baru meneguk air itu hampir saja tersedak mendengar soalan itu. Satu jelingan tajam dia hadiahkan untuk Damya.
“Maaf…. Tulah kau, baca bismillahpun tak,” ejek Damya sambil tayang sengih.
“Tiada soalan lain ke nak tanya?” soal Lufya sedikit protes.
Damya geleng kepala. “Tiada,”
Lufya menceber bibir.
“Tak minat semua tu…”
“Bukan sebab kau takut Mar marah?”
Lufya menyengetkan bibirnya mendengar soalan Damya itu.
“Buat apa nak takut kat dia. Dia manusia biasa je kan,” balas Lufya mahu menafikan anggapan Damya terhadapnya.
“Manusia biasa erkh? Bukan halimunan?”
“Damya, tak baik kau cakap macam tu,”
Damya menjuihkan bibirnya mendengar teguran Lufya.
“Takkan Ziqri tak ajak kau?” tanya Damya tanda tidak puas hati.
Lufya mengeluh perlahan.
“Aku tak harapkan apa-apa dari dia,” balas Lufya lagi.
“Kau tak harap? Aku tengok si Ziqri tu dah macam sayang sangat kat kau, ke dia Cuma nak gunakan kau…” tebak Damya.
Berkerut dahi Lufya mendengar tebakan Damya itu.
“Gunakan? Untuk apa?” Lufya memandang Damya yang fokus dengan pemanduannya. Dia tertanya akan maksud disebalik kata-kata Damya itu.
Damya berdecit perlahan. Mustahil kalau Lufya tidak memahami maksud di sebalik kata=katanya.
“Takde apelah.” Damya membatalkan niatnya untuk menyatakan maksud disebalik ayatnya sebentar tadi. Dia tidak mahu Lufya berfikir yang bukan-bukan.
‘Mungkin satu masa nanti,’ Damya mengangguk sendiri.
“HAKIM…”
Hakim menayang sengihan sebaik Lufya menegurnya ketika mereka masuk di bilik mesyuarat.
“Hi, beautiful lady…. You’re late,” balas Hakim sambil mempersilakan Lufya untuk duduk sambil diperhatikan oleh pekerja yang lain.
“Terima kasih. Maaflah, saya ada urusan dengan Damya tadi,”
Damya yang sudah melabuhkan punggung di kerusi yang berada di sebelah Lufya hanya mengangguk tanda mengiakan.
“It’s okay…”
“Apa topik untuk hari ni?” tanya Lufya sambil memandang ke papan putih. Tertera perkataan ‘Customer Avatar’ di situ. Tajuk yang agak menarik bagi Lufya.
“Macam yang awak nampak kat depan,” kata Hakim sambil menjongket keningnya.
Lufya mengangguk sejenak kemudian memandang tepat ke wajah Hakim.
“Apa yang saya perlu tahu tentang topik ni?” tanya Lufya ingin tahu.
“Guy’s, boleh tolong jelaskan pada bos kita yang lawa ni…” Hakim memandang mereka satu persatu sambil mengangkat keningnya.
“Customer Avatar tu, macam satu profile terperinci mengenai sasaran kita ataupun pelanggan kita. Contohnya…”
Belum sempat Zarina menghabiskan ayatnya, Hakim memintas kata-katanya itu membuatkan Zarina berdecit.
“Dah, cukup!” Hakim tersengih memandang Lufya yang sudah berkerut.
“Nak tahu contoh tak?” tanya Hakim separuh mengusik.
Lufya menyengetkan bibirnya sambil memandang Damya dan bertanya, “Apa contohnya?”
“Awaklah contohnya,” jawab Hakim selamba sambil menjongket kedua keningnya ke atas.
Berkerut dahi Lufya.
“Kenapa pula saya?” Hairan.
“Awaklah customer avatar saya,” kata Hakim separuh mengusik.
“Wow!” suara bernada kagum kedengaran bersahut-sahutan di dalam bilik mesyuarat itu membuatkan wajah Lufya merona merah.
“Memain pula…” kata Lufya separuh merungut.
“Mana ada main-main. Betullah apa saya cakap. Your company is my customer avatar…”
Lufya mencebik bibir.
“Teruskan sesi pembelajaran. Masa berjalan!” Damya bersuara tegas membuatkan senyuman Hakim berubah pada cebikan menyampah.
“Jelouslah tu!”
Semua meneruskan sesi pembelajaran mereka mengenai pemasaran dalam talian di bawah bimbingan Hakim. Setiap hari, akan ada ilmu baru yang mereka dapat melalui sesi yang berlangsung dua jam setiap hari itu. Semua pekerja Lufya amat menyenangi sesi belajar yang disediakan oleh majikan mereka.
Mana nak jumpa majikan sebaik Lufya!
Share this novel