Get the app for full experience
LUFYA memandang tajam pada Ziqri yang masih tersengih-sengih. Mana tak marahnya. Tiba-tiba Ziqri datang menjemputnya ketika dia sedang bermesyuarat dengan pekerja-pekerjanya. Katanya ada perkara penting. Ni tak. Sampai sekarang asyik merenung dengan sengihannya yang mengalahkan kerang busuk.
“Abang! Apa yang penting sangat tu? Orang tengah meeting kot,” kata Lufya separuh merungut.
Ziqri memuncungkan mulutnya ke arah Lufya.
Lufya mencebik bibir. Ada sajalah!
“Assalamualaikum. Maaf lambat,” sapa satu suara yang amat Lufya kenali.
Sepantas kilat Lufya menoleh dan bangun kerana terkejut.
“Abang Riez, Syikin,” getus Lufya. Tergamam.
“Lufya, aku minta maaf,”
Sekelip mata tubuh Lufya dipeluk oleh Syikin. Nak peluk erat, perut Lufya sudah terlalu memboyot, jadinya mereka berpelukan ala kadar sahaja.
“Waalaikumsalam. Duduklah. Ni, queen aku ni je bising. Maklumlah, kena culik dari pejabat,” balas Ziqri.
Lufya menghadiahkan jelingan manja untuk Ziqri, sambil meleraikan pelukan.
“Aku minta maaf kat kau,” kata Syikin lagi, sambil memandang wajah Lufya.
Lufya tersenyum janggal. “Takpelah. Benda dah berlalu. Tak payah nak ingat lagi. Apa-apapun, tahniah untuk kau dengan Abang Riez. Duduklah,”
Lufya mengambil tempat di sebelah Ziqri. Sempat dia merasakan jejari Ziqri mencapai tangannya. Dia membiarkan.
“Nampak sarat sangat, Luf?” tanya Riezman lembut sambil pandangannya menikam wajah Lufya.
Lufya menunduk menerima pertanyaan itu.
“Alhamdulillah. Dah tujuh bulan lebih. Majlis kamu tak dapatlah nak datang,” kata Ziqri bagi pihak Lufya.
“Takpelah. Kami faham sangat tu,” balas Riezman.
“Tahniah, Man. Tak sangka… jumpa juga kau jodoh,” ucap Ziqri.
Berkerut dahi Lufya, mendengar cara Ziqri memanggil Riezman. Kenapa macam dah kenal lama?
“Alhamdulillah. Aturan Allah,” balas Riezman.
Lufya tersenyum mendengar kata-kata Riezman. Dia bahagia, seandainya Riezman dan juga Syikin bahagia.
“ABANG memang kenal Abang Riezman ke?” tanya Lufya sebaik mereka mengambil tempat masing-masing di katil.
“Hmmm…” balas Ziqri yang sibuk menaip sesuatu di dalam Ipadnya.
Lufya berdecit perlahan. Ipad di tangan Ziqri itu dirampas lembut.
“Sayang…” meleret nada suara Ziqri. Dia memandang Lufya dengan riak wajah yang tidak puas hati.
“Jawablah betul-betul,” kata Lufya sambil menjuihkan bibirnya.
Ziqri mengeluh. Bukan dia tidak mahu menjawab pertanyaan itu, tapi dia takut Lufya akan salah sangka.
“Abang memang kenal dengan Riezman. Dia penyiasat peribadi yang abang upah untuk siasat Marsha dulu,” jawab Ziqri lemah.
Berkerut dahi Lufya. Pandangannya ditumpukan pada Ziqri.
“Siasat Marsha?”
“Yes! Siasat semua kecurangan dan pengkhianatan yang Marsha buat pada abang,” balas Ziqri.
Kata-kata itu menarik minat Lufya untuk mengambil tahu tentang perkara itu.
“Pasal Marsha je?” tanya Lufya ingin tahu.
“Tak juga. Pasal sayangpun ada,”
Ternganga Lufya mendengar jawapan itu.
“Pasal sayang?”
Ziqri tergelak kecil melihat Lufya yang ternganga. Dia menghadap Lufya dan memegang kedua pipi Lufya.
“Ye sayang. Sayang ingat, senang ke abang nak kahwin dengan perempuan yang abang baru kenal? Sebab tu abang siasat siapa sayang sebenar. Apa kisah di sebalik hubungan sayang dengan Marsha,”
“Amboi…” Lufya menjuihkan bibirnya.
“Tapi… abang jumpa permata. Yang bersinar di tengah lautan. Tak sangka kan…”
“Yelah tu…” balas Lufya sambil menghulurkan Ipad yang dipegangnya pada Ziqri.
Ziqri menyambut huluran itu, lalu meletakkan Ipad itu di tepi.
“Betullah. Dah tidur. Esok nak pergi klinikkan? Abang temankan,” kata Ziqri.
Lufya akur. Dia membaringkan tubuhnya sambil dibantu oleh Ziqri.
“Selamat malam sayang…” ucap Ziqri sambil tunduk mengucup bibir dan dahi Lufya lembut.
“Selamat malam juga. Assalamualaikum,”
“Waalaikumsalam,”
Ziqri tersenyum sendiri melihat Lufya yang terlena. Dia menyangka yang Lufya akan marah dengan ceritanya. Ternyata tidak. Lufya seakan tidak terkesan langsung dengan cerita itu.
“I love you, sayang…” bisiknya lembut sebelum meninggalkan Lufya di situ.