BAB 18

Romance Series 93123

SELEPAS balik dari Singapura, Lufya memilih untuk menyibukkan dirinya untuk melupakan peristiwa demi peristiwa yang mengunjunginya bermula dari kisah Marsha meminta dia mengahwini suaminya sehinggalah permintaan Riezman untuk menyuntingnya sebagai tunangan buat kali kedua. Baginya perkara itu tidak akan menjadi kudis baginya untuk menjalani kehidupan sehariannya yang sibuk dengan kerjaya dan perniagaan.
Baru sahaja dia bertenang dan beransur melupakan semuanya, dia menerima panggilan dari adiknya Lila. Berita yang disampaikan oleh Lila ketika dia berada di pejabat pagi itu meranapkan ketenangan di hatinya. Dia tidak menyangka panggilan telefon dari adiknya itu ada maksud yang tersembunyi.
“Abang Riez dengan mak ngah datang rumah hantar cincin tanda!”
Kata-kata itu, bagaikan halilintar membelah bumi. Lemah longlai lututnya mendengar berita yang tidak disangka itu. Lufya meraup kasar wajahnya. Adakah lelaki itu sudah hilang kewarasannya? Apa lagi yang dia mahukan? Bukankah dia sudah menjelaskannya ketika di Singapura?
“Apa ibu dengan ayah cakap?” tanya Lufya ingin tahu.
“Ibu dengan ayah nak jawapan dari kau. Kalau boleh nak kau balik untuk buat keputusan,”
Sekali lagi Lufya tersepit. Ini melibatkan perjalanan yang memakan masa yang berjam-jam dan juga melibatkan perasaannya.
“Akak tak nak. Bagitahu dengan ibu, jangan terima.” Putus Lufya.
“Tapi kak….”
“Akak tak nak ada kaitan dengan mereka lagi, Lila. Cukuplah akak dengar apa yang mak ngah cakap kat akak selama ni.” Tegas Lufya lagi.
“Mereka semua nak akak balik,” kata Lila lagi.
Lufya mengeluh. “Jauh tu,”
“Lila tahu. Tapi siapa tahu, kali ni nama akak akan bersih balik,” pujuk Lila penuh harapan.
Lufya diam. Kalau itu peluang untuk dia membersihkan namanya, tiada salahnya, tapi untuk terima pinangan Puan Hamrah itu, tidak mungkin baginya.
“Tengoklah macam mana,” kata Lufya lagi.
“Kak, baliklah. Sempat lagi akak sampai kalau akak drive sekarang,” pujuk Lila lagi.
Lufya berfikir sejenak. Dia keliru.
“InsyaAllah,” kata Lufya dengan nada lemah. Lufya menekan menu end call itu tanpa memberi salam. Fikirannya kusut memikirkan perkara itu.
Baru sahaja dia menyandarkan tubuhnya ke kerusi itu, pintu biliknya ditolak lembut membuatkan Lufya mengeluh kasar. Pandangannya terkunci di pintu bilik itu, untuk melihat siapa yang bakal memasuki biliknya. Sekujur tubuh yang mengenakan tank top dan mini skirt separa peha mengejutkan Lufya.
“Marsha?” Lufya mengerutkan dahinya. Wajahnya berubah serta merta bila teringat kembali perbualan mereka tempoh hari.
Marsha tersengih sambil melangkah memasuki biliknya. Matanya meliar melihat segenap ruang bilik pejabat milik Lufya itu. Di wajahnya terpancar riak kagum dengan pencapaian Lufya. “Aku lalu sini, tu yang singgah tu. Tak sangka pejabat kau ni besar juga ye,”
Pandangan Lufya menyoroti tubuh Marsha yang akhirnya berdiri tegak di hadapannya dengan hanya dipisahkan oleh meja kerja Lufya. Dia tidak membalas kata-kata Lufya. Hanya mindanya sahaja yang berputar ligat mencari sebab, kenapa Marsha tiba di pejabatnya kali ini.
“Kau sibuk ke?” tanya Marsha sambil melabuhkan punggungnya di atas kerusi yang tersedia di hadapan Lufya.
Lufya geleng kepala.
“Kau memangkan? Adab takde ke?” perli Lufya cuba mengawal perasaannya yang sudah bergolak ketika itu.
Marsha tayang sengihan. Kedudukannya diperbetulkan. “Macam kau tak kenal aku,”
Lufya mencebik bibir. “Kenal sangat,”
Meletus ketawa Marsha mendengar kata-kata Lufya itu. Wajah Lufya dipandang seketika.
Pandangan Marsha itu meresahkan Lufya. Dia yakin sangat apa yang Marsha mahukan dari dia.
“Apa khabar Luf?” tanya Marsha lembut.
“Alhamdulillah baik. Aku tak rasa kau singgah ni sebab nak tanya khabar aku. Am I right?” Lufya mengangkat keningnya sebelah.
Marsha tergelak. Dia tahu Lufya sedang meneka tujuan kedatangannya sebenar.
“Kau mesti tengah berteka tekikan. Hmmm… kau rasa kenapa.” Marsha mula berteka teki.
Lufya mendengus tawa. “Just straight to the point Mar. Aku nak cepat ni,”
Marsha diam. Wajah Lufya ditatapnya dengan pandangan lembut. “Aku nak kan jawapan kau Luf,”
Lufya berdecit perlahan. Betul tekaannya.
Marsha tidak mungkin akan mengunjunginya tanpa sebab yang memaksa dia sampai ke situ.
“Mar, aku tak habis fikir lagilah benda ni. Banyak benda lain lagi aku kena fikir. Lagipun, after five years kita tak jumpa , kau minta tolong aku benda macam tu? Kenapa aku rasa pelik ye,”
Marsha mengeluh perlahan. Dia menunduk seketika dan kembali mendongak memandang wajah Lufya.
“Look, bukan aku sengaja nak kenakan kau Luf. Tapi… aku memang perlukan bantuan kau kali ini,” kata Marsha menafikan perkara yang bermain di minda Lufya.
“Tapi ini melibatkan diri aku Mar. Aku takut dengan anggapan orang sekeliling kita ni. Zaman sekarang ni, bukan kita boleh percaya sangat,” kata Lufya lagi.
“Apa kata kau kahwin dengan Ziq tu buat kenduri kecil-kecilan je. Aku tak akan datangpun. Sebab aku tahu mulut orang kampung kita tu macam mana. Tolonglah aku Luf,” rayu Marsha lagi.
Lufya merengus perlahan. Dia mati akal dengan permintaan Marsha yang satu itu. Kalaulah perkara itu tidak melibatkan masa depannya, dia pasti tidak akan teragak-agak untuk menghulurkan bantuan. Tapi ini, kahwin?
“Kau tak boleh minta tolong dengan orang lain ke Mar. Banyak lagi yang aku nak capai ni,” keluh Lufya.
“Aku janji dengan kau, semuanya akan baik-baik saja. Lagipun, apa salahnya kau kahwin dengan Ziqri. Kau belum ada calon suami lagikan.” Marsha masih lagi memujuk.
“Nantilah aku fikir. Lagipun aku ada urusan ni. Nanti aku jumpa kau, bila aku ada masa. Kau janganlah desak aku macam ni. Boleh pecah kepala aku nak fikir semua masalah aku ni,” kata Lufya separuh merungut.
Marsha tersengih. “Jangan lama-lama tahu. Kang aku serbu kau kat pejabat kau ni lagi,” kata Marsha.
“Hmmm, yelah Mar,” kata Lufya lagi.
“Kalau macam tu, aku gerak dululah. Nanti kita jumpa balik ye,” kata Marsha sambil meminta diri untuk pergi.
“Yelah,” balas Lufya sambil mengherot bibirnya ke tepi.
Tahu sangat sikap Marsha. Kalau ada yang dia mahukan, dia akan meminta sehingga dia dapat apa yang dia mahu.
Pemergian Marsha itu dihantar dengan pandangan kosong. Mindanya beku.
Lufya bersandar malas di kerusi empuknya itu sambil pandangannya melekat pada skrin komputer yang sudah gelap. Dia mengeluh sendiri. “Lepas satu, satu lagi. Apa pula lepas ni?”
Lufya berusaha menenangkan kembali dirinya dan melupakan semua masalah yang mula menjengah dirinya. Hampa! Sampai bila hidupnya seperti itu?
Bunyi dentingan dari telefon pintarnya itu, membuatkan Lufya mengeluh lagi.
“Apa lagi?” rengusnya perlahan. Telefon itu dicapai kasar.
“Akak kena balik juga hari ni. Mak ngah nak jawapan dari mulut akak sendiri!”
Tidak berkelip mata Lufya membaca mesej yang dihantar oleh Lila melalui aplikasi Whatsap itu.
“Argh!” Satu lagi bala yang datang.
Siapa sanggup memandu selama lapan jam hanya untuk mendengar kata-kata cacian dan makian dari mereka.
Lufya memejamkan matanya seketika. Cuba untuk mencari dahan untuk dia berpaut. Terasa hanyut dibuai masalahnya yang satu persatu menghimpit dirinya.
“Kau tak boleh mengalah Luf!”
Lufya membuka luas matanya. Beg tangannya itu dicapai kasar dan komputer itu dimatikan. Mahu atau tidak, dia perlu redah semuanya. Kalau itu yang membuatkan mereka faham dan terima keputusannya, dia sanggup. Biliknya itu di tinggalkan menuju ke tingkat bawah. Kesibukan perkerjanya itu membuatkan timbul rasa kasihan.
Pandangannya terkunci pada Damya yang sibuk menilik sesuatu di atas kertas. Beralih pula pada Zarina, dan yang lain.
“Damya,” panggil Lufya ketika tiba di anak tangga paling bawah.
Damya menoleh sambil mengangkat keningnya bertanya.
“Teman aku balik Terengganu sekarang. Ada benda penting aku kena selesaikan.” Tegas Lufya.
Damya mengangguk sambil menyerahkan kertas yang dipegangnya itu kepada Wani. Langkahnya di bawa ke tingkat atas, untuk mendapatkan barang-barangnya.
Lufya memandang mereka satu persatu dengan senyuman dibibirnya. Beg tangannya itu dibuka, dan tangannya diselukkan ke dalam beg. Dua keping not berjumlah dua ratus dikeluarkan oleh Lufya.
“Zarina,” pangil Lufya lembut.
Zarina yang sedang membungkus sekotak order, menoleh ke arahnya.
Lufya mengatur langkah menghampirinya.
“Ambil ni untuk lunch korang,” kata Lufya sambil menghulurkan duit itu.
Tanpa banyak tanya, Zarina menyambut huluran itu sambil mengenyitkan matanya pada pekerja lain. “Bos belanja,”
“Yeayy!”Serentak semuanya bersorak keriangan.
Lufya hanya tergelak kecil melihat gelagat para pekerja kesayangannya.
“Jimat duit hari ni,” kata Wani teruja.
“Terima kasih bos,” kata mereka serentak.
Biarpun ini bukanlah kali pertama Lufya menghulurkan duit untuk makan mereka, tapi mereka tetap teruja. Untuk seketika, mereka bersyukur dikurniakan majikan yang prihatin seperti Lufya. Biarpun syarikat itu tidak segah syarikat kosmetik yang lain, tapi Lufya masih mampu menghulurkan duit kepada mereka semua.
“Sama-sama,” jawab Lufya sambil mengatur langkah menuju ke pintu keluar bila melihat Damya turun dengan barang-barangnya.
“Dah siap?” tanya Lufya.
“Dah.” Kata Damya sambil menghampirinya lalu menarik pintu itu untuk memberi ruang pada Lufya keluar.
Lufya keluar diikuti oleh Damya.

“KENAPA tergesa-gesa nak balik ni?” tanya Damya ketika mereka sudah berada dalam perjalanan menghala ke arah Terengganu.
“Abang Riez dengan mak ngah hantar cincin tanda,” beritahu Lufya.
Damya melopong. “Biar betul?”
Lufya angguk lagi. “Betullah,”
Damya mengelengkan kepalanya tanda tidak percaya.
“Selepas apa yang dia buat dengan kau, dia masih berani lagi?” soal Damya dengan nada tidak puas hatinya.
Lufya diam. Lufya lebih suka menenangkan dirinya dengan memandang keluar tingkap, daripada mendengar coleteh Damya ketika itu.
Melihat reaksi Lufya yang seakan tidak berminat dengan topik itu, Damya kehairanan.
“Kau terima?” tanya Damya.
“Tak dan tak akan mungkin!” balas Lufya tegas.
“Jadi, kenapa kau balik?” tanya Damya hairan.
“Mak ngah nak dengar jawapan dari aku,” balas Lufya lagi dengan nada malas.
“Kalau dia caci maki kau?” duga Damya.
“Biarlah. Bukannya luakpun,” jawab Lufya.
Damya diam mendengar jawapan itu. Betul kata Lufya itu.
“Tapi perjalanan ni lapan jam. Takkanlah selama lapan jam diorang tunggu kau?” Damya mengerling Lufya.
“Suka hati dioranglah nak tunggu sampai pagi. Aku dah tak kisah,” kata Lufya.
Damya diam.
Lufya tetap membisu. Wajahnya kelihatan suram. Mungkin kerana memikirkan masalah yang bakal ditempuhnya setiba di rumah keluarganya nanti.
Damya sendiri sudah tidak sabar untuk melihat drama yang tidak berbayar antara Lufya dan Puan Hamrah nanti. Mendengar saja cerita tentang keluarga Lufya membuatkan rasa ingin tahu di hati Damya membuak-buak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience