BAB 23

Romance Series 92840

MAJLIS pertunangan mereka, diadakan secara ringkas tanpa dihadiri oleh, Lufya. Ziqri terima keputusan Lufya itu, dengan hati yang terbuka. Cincin pertunangan juga dipilih oleh Puan Kirana. Hanya Tuan Hafiz, Puan Kirana, Zizi, Zakri dan Ziqri yang ke Terengganu untuk menghantar cincin pertunangan itu. Ziana tidak dapat turut serta kerana sibuk dengan photoshoot, manakala Zakir hanya akan balik pada esok pagi.
Setelah berkenalan sesama sendiri, Tuan Hafiz menyatakan hasratnya untuk meminang Lufya untuk Ziqri.
Hj Maliki menyambut kata-kata Tuan Hafiz itu dengan senyuman yang terukir di bibirnya. Begitu juga dengan Puan Hazimah. Mereka tidak menyangka yang Lufya akhirnya akan berkahwin dengan lelaki pilihannya sendiri. Mereka juga bersetuju untuk mempercepatkan majlis sepertimana yang dimahukan oleh Ziqri dan Lufya. Mereka tahu mengenai perkara itu semalam, kerana Lufya yang menghubungi mereka untuk memberitahu tentang kedatangan keluarga Ziqri itu.
Hanya sebulan tempoh yang diberikan oleh kedua pasangan suami isteri itu untuk Lufya dan Ziqri membuat persiapan. Lagipun, Lufya sendiri sudah menyatakan yang dia tidak mahu mengadakan majlis yang besar-besaran. Biarlah yang wajib sahaja. Dia juga tidak kisah tentang hantaran yang hendak diberikan oleh Ziqri. Ziqri sedikit keliru dengan sikap Lufya yang seakan tidak kisah tentang perkara itu.
Sewaktu hendak beredar dari rumah keluarga Lufya, dia ditegur oleh Lila.
“Boleh kita bercakap sekejap?” tanya Lila lembut.
Ziqri memandang Lila sebelum mengangguk perlahan.
“Ziq jumpa adik Lufya kejap,” kata Ziqri. Langkahnya diatur untuk mengekori langkah Lila menuju ke belakang rumah tanpa menunggu persetujuan keluarganya.
Puan Kirana dan Tuan Hafiz berpandangan, diikuti dengan Zizi dan Zakri.
Langkah Lila akhirnya berhenti di tepi pangkin yang terletak di bawah rimbunan pokok itu. Dia berdiri membelakangi Ziqri sambil mengeluh. Lila tidak tahu sama ada dia lega dengan apa yang berlaku ketika itu.
Ziqri berdiri di sebelah Lila sambil memandang ke hadapan.kehijauan yang terpampang di depan mereka ketika itu sangat menenangkan hati. Angin lembut menyapa wajah Ziqri membuatkan dirinya rasa damai. Satu perasaan yang jarang sekali dia rasai.
“Apa yang berlaku sebenarnya?” tanya Lila membuatkan Ziqri jeda.
“Maksud awak?” tanya Ziqri hairan. Lila yang setia memandang ke hadapan, akhirnya memandang wajah Ziqri.
Lila ada iras dengan Lufya. Tinggi juga hampir sama, Cuma bezanya Lila bertudung labuh, manakala Lufya kelihatan anggun dengan personalitinya sendiri. Pakaian seksi mungkin sudah jadi kebiasaan baginya, memandangkan dia adalah seorang model dan juga pengusaha produk kecantikan.
“Kak Lufya tak akan buat keputusan ini tanpa pengaruh sesiapapun. Saya yakin sangat, kalau disebalik semua ini ada sesuatu yang tersirat,” kata Lila tegas.
Ziqri tersentak mendengar tekaan Lila yang benar belaka itu. Hatinya bertanya sendiri. “Ahli nujum mana pulak ni?”
“Ini keputusan kami bersama.”
“Kak Lufya bukan seorang perempuan yang mudah jatuh cinta. Sampai sekarangpun, dia masih ingatkan abang Riezman. Mustahil!”
Ziqri diam. Bila nama Riezman meniti di bibir Lila, hatinya seakan tertekan.
“Kak Lufya dah banyak menderita. Lima tahun lalu dia putuskan pertunangan sebab abang Riez curang dengan kak Mar. Tak sampai sehari dia putuskan pertunangan, satu kampung tuduh dia tidur dengan jantan. Satu kampung fitnah dia. Sampai ayah buang dia. Halau dia dari rumah. Tak bagi dia balik rumah,” cerita Lila sedikit sebak. Dia memandang Ziqri dan mereka berbalas pandangan.
Ziqri terkedu mendengar cerita itu. Senyuman manis Lufya terbayang dia ruangan matanya. Tiada petunjuk yang menunjukkan, Lufya terkesan dengan semua itu.
Buktinya?
Lufya masih mampu berdiri dan memajukan dirinya tanpa segaris duka yang kelihatan di wajahnya. Tapi matanya, menceritakan segalanya. Pelipisnya di urut perlahan. Mendengar kata-kata Lila membuatkan dirinya mula merasa bersalah. Kalau bukan kerana Marsha, dia tidak akan sampai ke tahap itu.
“Semua dia pendam sendiri. Tanggung sendiri. Tak pernah sekalipun dia bebankan kami dengan masalah dia. Dia bina kehidupan dia sendiri dengan gah, tapi hati dia masih terluka. Dia bukan seperti perempuan lain yang pentingkan kebahagian sendiri. Antara bahagia dia dan bahagia orang lain, dia akan pilih untuk bahagiakan orang lain. Biarpun dirinya,perlu terluka berkali-kali,” sambung Lila sambil merenung jauh ke hadapan.
Ziqri diam lagi. Mendengar kisah mengenai Lufya itu membuatkan hatinya terusik. Perasaan simpati menjalar di dalam hatinya.
“Saya akan cuba yang sebaiknya untuk jadi suami yang baik untuk Lufya.” Ziqri menjawab sesudah terdiam beberapa saat.
“Bukan setakat suami. Awak kena jadi pendengar yang setia, sahabat yang sentiasa bersedia bila dia memerlukan sokongan dan yang paling penting, jagalah dia sebagaimana awak menjaga diri awak sendiri,” kata Lila. Dia memandang wajah Ziqri sedalamnya.
“Selami hati dia. Sayangi dia. Buat dia rasa yang dirinya sentiasa diperlukan didalam hidup awak,” sambung Lila lagi.
“InsyaAllah. Saya cuba,” kata Ziqri lagi cuba untuk meyakinkan Lila.
“Jangan biarkan dia merasa terasing sekali lagi,” kata Lila lagi seakan mengharap.
Ziqri diam sejenak, kemudian mengangguk kepala.
“InsyaAllah. Saya tak mampu untuk berjanji, tapi saya akan berusaha,” balas Ziqri yakin. Hatinya mula tekad dengan perkara yang satu itu. “Yeah!”
Perbualan mereka berakhir dengan salam.
Ziqri meninggalkan Lila di situ dengan pelbagai persoalan yang bermain di mindanya. Mendengar apa yang disampaikan oleh Lila itu, dia diburu rasa kagum. Kecekalan dan keteguhan prinsip Lufya untuk tidak terpengaruh dengan ujian yang melanda cukup membuatkan dia kagum.

“ZIZI suka Kak Lufya berbanding Kak Mar.”
Pandangan mereka berempat terarah pada Zizi yang sudah mengambil tempat di samping Puan Kirana. Mereka juga menghenyak punggun masing-masing, tanda keletihan.
Mereka menyewa homestay untuk semalam kerana jarak antara Terengganu dan Kuala Lumpur yang jauh dan ianya tidak mengizinkan untuk mereka balik ketika itu. ini kerana hari sudahpun gelap, dan mengantuk keletihan. Tiada siapa antara mereka yang suka memandu dalam keadaan mengantuk.
Terangkat kening Zizi menerima pandangan itu.
“Why?” Soal Ziqri. Dia memandang tepat ke wajah Zizi.
“Dia tak hipokrit!” tegas Zizi. Itulah yang dia nampak melalui wajah dan sikap Lufya tempoh hari.
Tuan Hafiz, Puan Kirana dan Zakri menganguk tanda setuju dengan kenyataan Zizi itu. Jauh berbeza dengan Marsha yang lebih bersifat plastik.
Ziqri diam. Apa yang diceritakan oleh Lila petang tadi, sehingga kini masih lagi menghantui fikirannya. Kepalanya di garu perlahan memikirkan perkara itu. “Betul ke apa yang aku buat ni? Bukankah ini menyeksa Lufya?”
Perlakuan Ziqri itu mendapat perhatian adik dan juga orang tuanya.
“Fikir apa Ziq?” tanya Puan Kirana.
Ziqri tersentak mendengar pertanyaan uminya itu.
“Takdelah,” dalih Ziqri mengundang cebikan Zakri.
“Bakal adik ipar Ziq cakap apa tadi?” tanya Zakri ingin tahu. Wajah Ziqri dipandang tanda ingin tahu.
Ziqri diam sejenak. Pandangan mereka kini terarah padanya membuatkan Ziqri serba salah, sama ada mahu berkongsi cerita ataupun tidak.
“Kenapa senyap? Dia cakap apa?” Tuan Hafiz pula bertanya hairan melihat kebisuan anaknya yang kedua itu.
Ziqri berdecit perlahan. Wajah ahli keluarganya dipandang satu persatu.
“Biarlah Ziq je yang tahu. Bila kamu dah tinggal dengan Lufya nanti, kamu akan tahu sendiri,” kata Ziqri tanda tidak mahu berkongsi cerita.
Berkerut dahi Tuan Hafiz mendengarnya. “Maksudnya?”
Puan Kirana turut memandang Ziqri. Biarpun dia dapat meneka personaliti Lufya, tapi dia mahu penerangan yang meyakinkan. “Bagitahu je lah,”
Ziqri diam sesaat sambil memandang wajah mereka satu persatu.
“Lufya tu perempuan yang lain dari yang lain. Lila minta Ziq, untuk jaga Lufya. Macam Ziq jaga diri Ziq sendiri,” ujar Ziqri dengan nada lemah.
“Besar harapan adik dia ye,” komen Tuan Hafiz.
“Lufya tu ada masalah apa? Kenapa Hj. Maliki beria nak cepatkan majlis pernikahan kamu?” tanya Puan Kirana bila terfikirkan sikap Hj. Maliki yang seakan tidak sabar mahu menikahkan anak perempuannya itu. Boleh pula Hj. Maliki memberi tempoh dua minggu. Gila! Nampak sangat gelojoh!
“Hj. Maliki tak percayakan Lufya. Dia lebih percayakan fitnah daripada penjelasan Lufya,” komen Ziqri perlahan.
“Tak percaya kenapa?” soal Tuan Hafiz hairan.
“Lufya pernah putus tunang. Tunang dia main kayu tiga dengan Marsha. Tapi orang kampung tak tahu pasal Marsha dengan tunang Lufya. Orang kampung lebih percaya yang konon-konon Lufya terlanjur dengan lelaki lain. Tu sebab dia beria nak putuskan ikatan pertunangan dia. Semua tu jadi dalam masa sehari. Hj. Maliki halau dia dari rumahpun, hari yang sama. Sebab tu dia pergi Kuala Lumpur. Duduk KL, sebab Hj. Maliki tak nak terima dia lagi,”
Puan Kirana terkedu mendengar cerita itu, manakala Zizi sudah menekup mulutnya terkejut. Tuan Hafiz memandang Ziqri tanpa kelipan. Cerita yang disampaikan oleh Ziqri itu, terlalu perit untuk mereka dengar dan mereka tidak menyangka yang Lufya itu sudah terlalu diuji.
“Berat ujian dia,” gumam Zizi perlahan.
“Haji tapi buat anak macam tu. Macam takde iman,” komen Tuan Hafiz. Baginya itulah kata-kata yang layak untuk menggambarkan seorang lelaki bernama Hj Maliki.
“Sampai hati keluarga Lufya. Kenapa tak siasat. Nampak sangat sikap kolot orang kampung,” keluh Puan Kirana. Mengingatkan tentang Lufya, hatinya seakan jatuh sayang.
“Marsha, yang rampas tunang dia ke?” tanya Zakri yang lama berdiam. Pandangannya dihalakan ke wajah Ziqri.
“Kalau menurut ceritanya, ya… begitu sih,” kata Ziqri sambil ceber bibir.
Zakri menyengetkan bibirnya mendengar loghat Indonesi yang dikeluarkan oleh Ziqri.
“Betullah firasat aku selama ni. Marsha tu bukan perempuan yang baik. Tunang kawan baik sendiripun… dia nak sailing. Sekarang ni, boleh pula dia minta Lufya kahwin dengan kau? Allah! Apa punya perangailah tu?” kutuk Zakri selamba membuatkan Ziqri mencebik.
“Kau kutuk Mar, macam aku takde depan kau,” kata Ziqri dengan pandangan menyampah.
“So, kau nak aku puji dia? Memang tak mungkin aku nak puji dia, Ziq,” balas Zakri sambil menayangkan wajah menyampah bila mengingatkan tentang Marsha.
Pasangan suami isteri dan juga Zizi hanya memerhatikan gelagat mereka berdua itu.
“Nak tidurlah! Penat,” rengek Zizi sambil melentokkan kepalanya ke bahu Puan Kirana.
“Pergilah rehat. Esok pagi nak gerak balik KL pula. Kamu berduapun rehatlah. Tak payah nak bertekak sangat. Masing-masingpun ada kelemahan,” suruh Puan Kirana.
“Baik Puan!” jawab mereka bertiga serentak.
“Jangan pula bangun lambat esok pagi. Kang tinggal kat sini baru tahu,” perli Tuan Hafiz.
Ketiga-tiga mereka tersengih sambil berpandangan.
Sebaik ketiga-tiga anak mereka itu masuk ke dalam bilik masing-masing, Puan Kirana memandang suaminya dengan senyuman. Selamba Tuan Hafiz mengenyitkan matanya membuatkan Puan Kirana mencebik bibir. Mulalah tu!
“Anak-anak awak ni semua dah besar. Si Ziqri pula, dah nak berkahwin dua. Saya, macam ni je lah. Entah bila nak dapat bini mudapun tak tahu,”
Terbeliak mata Puan Kirana mendengar kata-kata suaminya yang berbaur gurauan itu.
“Amboi! Makin tua, makin gatal ye bang,” perli Puan Kirana.
Tuan Hafiz ketawa kemudian menyambung kembali gurauannya. “Gatal-gatalpun suami awak juga. Apa salahnya, awak ikut macam Mar tu. Merasa juga payung emas,”
“Saya tak minat payung emas tu. Apa kata… abang je ambil. Tapi bukan payung emas,” kata Puan Kirana sambil angkat kening ke arah suaminya.
Tuan Hafiz menayangkan riak wajah mengusik. “Tak kisah….”
Puan Kirana tersenyum nakal mendengar kata-kata itu. keningnya dijungkit berkali-kali ke arah suaminya. “Parang emas, tak nak?”
Wajah Tuan Hafiz berubah serta merta. Kecut perutnya mendengar perkataan ‘parang emas’ yang terbit dari bibir isterinya itu,
“Sampainya hatimu… wahai isteriku…” Tuan Hafiz menyanyi-nyanyi sembarangan, sambil bangun dari duduknya. Bibirnya menguntum senyuman sambil matanya melirik pada wajah Puan Kirana.
Puan Kirana hanya mencebik bibir kemudian ikut bangun menuju ke bilik utama.
Homestay itu kelihatan mewah dengan lima bilik tersedia, tiga tandas dan ruang tamu yang agak luas. Sesuai dijadikan sebagai tempat berkumpul untuk sesebuah keluarga. Sesiapa yang menyewa, akan merasa kagum dengan kemewahan yang ditonjolkan dalam rumah itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience