BAB 1

Romance Series 92840

“LUFYA!” pekik Damya, sambil mengetuk bertalu-talu pintu bilik Lufya untuk mengejutkan kawannya itu, merangkap majikannya.
Terbuka luas mata Lufya mendengar pekikan yang disertai dengan ketukan bertalu-talu. Dia menggosok matanya yang terpisat-pisat itu sambil merengus perlahan. Damya kalau tidak mengejutkannya dengan cara begitu memang tidak sah. Berkali-kali dia mengingatkan Damya tentang perkara itu, tapi ibaratnya masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri.
“Dah bangun,” kata Lufya sekaligus menghentikan ketukan Damya.
“Minah ni memang nak kena. Rasanya dah berkali aku cakap benda yang sama,” omel Lufya sedikit geram. Gebar yang menutupi tubuhnya itu ditolak kasar sambil bangun menegakkan tubuhnya. Kakinya dijatuhkan ke lantai dan mengeliat malas.
“Malasnya,” keluh Lufya sendiri. Pandangannya dialihkan ke meja yang berada di samping katil queen kesayangannya itu. Telefonnya itu dicapai malas.
“Baru jam lapan,” kata Lufya malas, namun tidak sampai beberapa saat matanya membulat terkejut.
“Apa? Jam lapan pagi??” kata Lufya mula panik.
“Damya!!” jerit Lufya sambil bergegas untuk berdiri.
Damya yang setia menunggunya di tingkat bawah hanya mengelengkan kepalanya perlahan. “Lufya…Lufya…Ini ke yang tak nak aku terpekik-pekik selalu? Kalau aku tak kejut tadi, rasanya sampai sekarang tak bangun lagi. Apa nak jadipun, aku tak tahu,” bebel Damya sendiri.
“Aduh! Macam mana boleh lupa ni. Matilah aku,” kata Lufya sambil terlari-lari mencapai tuala mandinya dan terus masuk ke bilik air.
Huru hara hidupnya mengenangkan pelancaran koleksi Butik Versetyle Fashion itu.Sempat dia membebel sendiri sambil mandi. Tidak sampai lima minit, Lufya sudah siap mandi. ‘Ini kalau lambat, habislah kena bebel oleh Marina.’
“Huh, untung semalam aku dah siapkan pakaian. Kalau tak masaklah kena gosok lagi,” kata Lufya sambil mencapai pakaiannya yang sudah tersedia di dalam almari.
Selesai sahaja berpakaian, Lufya memasukkan semua barang-barang peribadinya ke dalam beg Voir kesayangannya itu. Antara banyak-banyak begnya, hanya itu yang mampu memikat hatinya untuk menggunakannya setiap hari.
“Nasib baik aku kejut. Kalau tak, sampai esok kau membutakan?” kata Damya separuh memerli sebaik sahaja Lufya muncul di pertengahan tangga itu.
Lufya tersengih mendengarnya.
“Alah, hari ni je kut,” kata Lufya berdalih.
Terbeliak mata Damya mendengarnya.
“Hari ni je? Kau lupa ke yang aku kejut kau hari-haripun, kau tetap juga lambat. Ni kalau Marina tahu, memang kena bebel lagilah kau,” bebel Damya tanpa memandang Lufya. Tangannya mencapai Ipad, beg tangannya dan juga kunci kereta Nissan Serena milik Lufya dan bangun dari duduknya.
“Siap dah? Ke nak masak sarapan lagi?” kata Damya sambil menghadiahkan pandangan perliannya.
“Tak pun, basuh kain ke, siram bunga kat depan tu,” sambung Damya lagi sambil menuju ke pintu keluar rumah Semi D yang berada di Bandar Tun Razak, Cheras itu.
Lufya tayang sengihan. Tahulah dia yang Damya sedang menahan geram dengan sikapnya yang satu itu.
“Yelah Cik Damya. Sudah-sudahlah nak membebel. Aku tahulah salah aku,” pujuk Lufya mengundang cebikan di bibir Damya.
Damya membuka rak kasut yang berada di tepi pintu keluar itu. Wajah Lufya dipandangnya sebelum menilik semua kasut yang berada di dalam rak itu.
“Wedges or heel?”tanya Damya sambil meneliti pakaian Lufya.
Lufya mengenakan dress labuh tanpa lengan berwarna royal blue dan baby jacket berwarna putih yang diikat kemas pada bahagian perut. Rambut Lufya yang tebal, panjang sehingga ke pinggang dan lurus mengalahkan pembaris itu pula diikat tinggi seperti ekor kuda menyerlahkan keanggunan yang dimilikinya.
“Give me heel, Damya,” kata Lufya sambil menunjukkan kasut tumit tinggi yang berwarna putih biru itu.
Tanpa banyak soal, Damya mencapai kasut yang ditunjukkan oleh Lufya itu sambil kakinya turut menyarungkan kasut wedges miliknya yang hanya berketinggian 3 inchi. Sesuai dengan dirinya yang bekerja sebagai pengurus merangkap pembantu peribadi Lufya.
“Kita nak ke PWTC dah ke atau nak jenguk gerai dulu?” tanya Damya sebaik Lufya keluar mendahuluinya.
Lufya berfikir sejenak. Langkahnya di atur menuju ke kereta dan membuka pintunya untuk masuk ke dalam. Satu keluhan terbit di bibirnya. Pandangannya di buang keluar tingkap kereta sebaik dia masuk dan menutup pintu kereta itu. Dia sedikit terganggu.
Mengingatkan tentang gerai Beauty and Health by Luf yang berada di Ampang Point membuatkan dia sedikit resah. Itulah pertama kali teamnya menyertai Program Karnival Usahawan Muda yang dianjurkan oleh Persatuan Keusahawanan Muda Kuala Lumpur. Sepatutnya, dia sudah menyertainya tiga tahun lepas, tapi sayang sekali. Kerana kekangan masa dan kekurangan pekerja, dia terpaksa menolak tawaran yang dihantar oleh penaja program itu. Lagipun, produknya itu masih terlalu baru. Tahun ini baru tahun ketiga produknya itu memasuki pasaran Malaysia. Walaubagaimanapun, dia tetap bersyukur kerana, sepanjang produknya itu berada dipasaran, belum ada lagi feedback yang mengatakan produknya itu tidak berkesan. Yang ada hanyalah feedback yang baik-baik belaka.
Terbayang kembali bagaimana sukarnya kehidupan Lufya ketika dia baru datang ke Kuala Lumpur. Dengan berbekalkan baki simpanan biasiswanya sebanyak Sembilan ratus, dia keluar dari rumah keluarganya itu dan menuju ke Kuala Lumpur. Dia menyewa sebuah bilik kecil yang sempit dengan sewanya sebanyak tiga ratus. Di bilik sewa itulah dia dipertemukan dengan Damya. Damya jugalah yang banyak membantu dia dengan mengajak dia bekerja di sebuah butik pakaian yang terkemuka di ibu kota itu.
Tahun kedua berada di Kuala Lumpur, Damya memperkenalkan dia pada Marina, pemilik Butik Versetyle Fashion. Dengan ketinggiannya 163 sentimeter dan juga bentuk tubuhnya yang mengalahkan ‘biola’ membuatkan Marina terus menawarkan pekerjaan sebagai modelnya dengan gaji asas sebanyak tiga ribu ringgit sebulan. Ketika itu, dia langsung tidak kisah tentang gaji kerana apa yang dia pentingkan ialan impiannya yang ingin menjadi model sejak dia berusia belasan tahun lagi.
Selama lima bulan Lufya bertungkus lumus mengumpulkan semua duit gaji dan juga komisennya sampai sanggup mencatu makanannya sendiri demi sebuah harapan. Kalau ketika itu, dia menyatakan impiannya mahu mengeluarkan produk sendiri, pasti dia akan ditertawakan oleh siapa saja yang mendengarnya tapi kini semuanya berubah. Satu persatu impiannya mampu dia gapai perlahan-lahan dengan sokongan Damya.
“Lufya,” panggil Damya kehairanan. Wajah Lufya yang agak serius itu dikerlingnya. “Mengelamunkah?” tanya Damya separuh berbisik.
Lufya tersentak mendengar namanya disebut oleh Damya. Wajah Damya dipandang seketika. Baru dia sedar yang kereta itu sudah bergerak keluar dari kawasan rumah itu.
“Kau cakap apa tadi?” tanya Lufya sambil memandang Damya yang khusyuk memandu.
Damya berdecit perlahan. Betullah tekaan dia yang Lufya mengelamun.
“Kau tak jawab lagi soalan aku tadi. Kau nak singgah kat Ampang atau nak pergi terus ke PWTC?” kata Damya lagi mengulangi soalannya sebentar tadi.
“PWTC. Marina tak suka lambatkan. Tengahari nanti Marina ada buat rehearsal,” kata Lufya menjawab.
“Kau fikir apa Luf? Tiba-tiba termenung? Fikir pasal keluarga lagi ke?” tanya Damya, tanda prihatin.
“Tak kot,” kata Lufya berdalih.
Mereka membisu sejenak. Yang ada cuma bunyi radio memenuhi ruangan kereta mewah itu.
“Aku dah lama kenal kau Luf,” kata Damya lembut. Dia tidak mahu Lufya kembali diulit kisah lalunya. Bukan dia tidak tahu kisah sedih rakannya itu.
Lufya membuang pandangan ke luar tingkap. Bibirnya diketap perlahan. Bila mengingatkan semua apa yang sudah terjadi, hatinya diulit rasa terkilan kecewa dan marah. Tapi dia memilih untuk mengabaikan semua perasaan yang bertandang di dalam hatinya.
“Tak ada apalah, Damya. Aku okay je,” ujar Lufya masih mahu berdalih. Cukuplah dia menyusahkan Damya selama ini. Dia tidak mahu membebankan Damya dengan apa yang bermain di perasaannya ketika itu.
“Suka hati kaulah. Aku cuma nak kau tahu yang aku sentiasa ada untuk menyokong kau biar apapun yang jadi,” kata Damya seakan memberi kekuatan pada Lufya.
Lufya tersenyum mendengar kata-kata semangat yang diberikan oleh kawannya itu. Dia tidak nafikan yang Damya terlalu baik.
“Terima kasih Damya. Aku tahu yang kau takkan tinggalkan aku. Lagipun kau kan sayang aku…” kata Lufya dengan nada meleret. Sengaja mahu mengusik Damya.
Damya tersenyum. Dia tidak menyesal mengatakan pendiriannya yang dia sanggup menyokong Lufya dari belakang biarpun apa sahaja yang terjadi.
“Baru kau tau ke?” tanya Damya separuh mengusik Lufya.
Lufya tersengih lagi.
“Dah lama tau,” kata Lufya membalasnya.
Damya mencebik bibirnya menyampah mendengar balasan Lufya itu.
“Kau tak terfikir ke nak lebarkan sayap kau?” tanya Damya sambil mengerling Lufya.
“Melebarkan sayap? Maksud kau?” tanya Lufya diikuti kerutan di dahinya.
Damya diam seakan memikirkan sesuatu.
“Erm, maksud aku berlakon drama ke, filem ke? Kadang-kadang aku terbayang muka kau jadi heroin drama,” kata Damya berterus terang dengan apa yang difikirkannya ketika itu.
Lufya tergelak sambil menjongket keningnya. Damya yang berada disebelahnya itu dikerling seketika.
“Maksud kau berlakon?” tanya Lufya dengan gelaknya yang masih bersisa.
“Yelah. Takkan kau nak jadi model je sepanjang hayat kau. Ramai kot model yang dah jadi pelakon. Takkan kau tak teringin,” kata Damya lagi. Sesekali dia mengerling Lufya yang berada di sebelahnya itu.
“Apa lagi yang aku nak Damya? Yang sekarang ni pun dah cukup memenatkan aku tau. Kalau aku tambah lagi satu bidang, rasanya hidup aku jadi tunggang langgang,” kata Lufya sambil melepaskan ketawanya sekali lagi.
Damya diam memikirkan kata-kata Lufya.
“Hmm..betul jugakan. Jadi modelpun kau tunggang langgang, inikan pula berlakon. Dah lah tak berdisiplin,” kata Damya sambil menghadiahkan kutukan diakhir ayatnya.
Lufya menjuihkan bibirnya mendengar ayat terakhir Damya itu.
“Kutuk aku ke?”
“Siapa makan cili, dia yang rasa pedas,” jawab Damya sambil melirik Lufya.
“Amboi…bukan main ye…” kata Lufya sambil memuncungkan mulutnya.
Damya tergelak kuat.
“Nak buat macam mana Luf. Memang kau macam tu,” kata Damya lagi.
“Hurm…” Lufya berfikir sejenak.
“Tapi sekarang masih awalkan? Kita kena ada kat PWTC sebelum pukul dua. Singgah Ampang point lah sekejap. Kesian pula kat pekerja kita,” kata Lufya akhirnya memberi kata putus.
Damya akur lalu melencongkan kereta yang dipandunya itu ke arah yang bertentangan.

SETELAH lima belas minit melalui kesesakan lalu lintas, Nissan Serena yang dipandu oleh Damya akhirnya memasuki kawasan tempat letak kereta di Amppang Point itu. Suasana di situ mula sesak dengan pengunjung dan juga peniaga. Memandangkan tempat letak kereta itu di gunakan untuk booth peniaga, Damya meletakkan kereta itu jauh dari booth mereka.
Mereka keluar dari kereta itu serentak sambil memerhatikan suasana sekeliliing.
“Ramai juga ye. Ingatkan tak ade sambutan,” kata Lufya sambil menutup pintu kereta itu.
“Takkanlah kau tak faham lagi Luf. Sekarang ni zaman moden. Semua berlumba nak maju. Tak nak kerja dengaan orang sebab gaji murah. Ini aje lah inisiatif yang diorang semua fikirkan.”
Lufya mengangguk sambil mengatur langkahnya beriringan dengan Damya.
“Nak buat macam mana Damya. Inilah cabaran era ‘globalisasi’. Nak atau tak, kita tetap kena hadap. Yang kesiannya, graduan tu. Belajar tinggi tapi kerja gaji murah. Nak tampung hidup sendiripun susah,” kata Lufya sambil memerhatikan setiap booth yang mereka lalui.
Macam-macam ada. Ada yang menjual kuih muih, ada yang menjual produk kecantikan dan tidak lupa juga pakaian.
“Untunglah yang dapat belajar tinggi tu. Macam aku ni SPM je. Nak belajar tinggi tak mampu,” balas Damya sambil memandang ke depan mereka.
Sesekali mereka tersenyum bila bertembung dengan pengunjung yang murah dengan senyuman.
“Kau tak nak sambung ke Damya? Aku boleh tolong,” kata Lufya sambil memandang Damya.
Dahi Damya berkerut.
“Kau janganlah nak mengada-ngada Luf. Aku dah 26 tahun kot. Kang masuk ‘U’, orang ketawakan. Ye lah, umurpun dah lanjut,” Lufya tergelak sambil tangannya menyinggah pada sehelai blouse yang tergantung di hadapan sebuah booth.
“Blouse, miss?” sapa seorang gadis yang mungkin umurnya masih belasan tahun pada penelitian Lufya.
Lufya dan Damya berhenti melangkah dan berpandangan.
“Nak singgah?” tanya Lufya pada Damya sambil menjongket nakal.
“Singgah je lah kalau nak. Kan ke murah tu. Sehelai baru dua puluh lima. Kalau kau pergi Midvalley, belum tentu jumpa murah tu,” jawab Damya mengundang senyuman di bibir gadis itu.
Lufya berpatah balik ke hadapan booth itu.
“Lawa-lawa ye dik? Adik punya ke?” tanya Lufya lembut.
“Taklah. Mak punya, tapi mak sibuk kat butik,” jawab gadis itu tersenyum janggal.
Lufya mengangguk faham. Damya pula sudah menilik satu persatu baju yang digantung di situ.
“Tak payah tilik. Mana berkenan, dan muat kat kau ambillah. Aku belanja,”
“Hah? Biar betul Luf? Kalau macam tu aku nak ni…ni…ni…” jawab Damya laju mencapai baju-baju yang menarik perhatiannya lalu disuakan kepada gadis muda itu dengan selamba.
Gadis itu memandangnya sambil menyambut huluran Damya.
Lufya hanya mengherot bibir senget. “Pantang orang nak belanja. Mulalah perangai si ‘kaki kikis’ ni,”
Sikapnya mengalahkan anak kecil yang diberikan gula-gula. Damya menayangkan sengihan melihat bibir Lufya yang senget itu.
“Bukan main kau ye…” kata Lufya membuatkan Damya tergelak pula.
“Alah…bukan selalu cik model nak belanja aku. Tu yang beria. Kau pun murah… rezeki. Kan,” kata Damya sambil menjongket keningnya nakal.
Gadis itu tersenyum mendengar kata-kata bernada usikan yang ditujukan kepada Lufya itu.
“Hah, ye lah. Aku harap sale booth kita tu boleh cecah sepuluh ribu hari ni. Maklumlah, aku dah belanja kau,” perli Lufya sambil mengangguk kepada gadis itu.
Gadis itu membungkus pakaian yang diserahkan kepadanya sebentar tadi.
Damya tersengih lagi.
“Aku doakan,” balas Damya lagi.
“Berapa semua dia?” tanya Lufya sebaik bakul itu bertukar tangan.
“Semuanya tujuh puluh lima ringgit miss,” jawab gadis itu dengan senyuman yang tidak lekang dari bibirnya.
“Tak payah nak miss sangatlah dik. Panggil kak Lufya cukup. Adik umur berapa? Nama apa?” tanya Lufya menegah panggilan ‘miss’ yang meniti di bibir gadis itu. hati Lufya terpanggil untuk bertanya tentang nama dan umur si gadis comel itu.
Lufya menghulurkan not seratus kepada gadis itu.
Gadis itu menyambutnya sambil tersenyum dan mencapai dompetnya untuk mengambil duit.
“Nama saya, Ina. Umur 17 tahun,” jawab Ina sedikit malu-malu sambil mengira baki duit yang akan di
Lufya mengangguk perlahan.
“Bagus Ina ni. Muda-muda lagi dah tolong mak,” puji Lufya membuatkan gadis itu tersengih.
Damya yang dari tadi menanti Lufya mula menggaru kepalanya yang tidak gatal. “Dia ni, jadi ke tak nak pergi booth sendiri. Macam nak duduk berbual kat sini je,”
“Apa dia?” tanya Lufya berpaling memandang Damya bila mendengar butir bicara Damya yang tidak jelas itu.
“Errr… Kau tu lah. Bukan kau nak ke booth ke? Sampai booth berjela lagi sembang kau dengan pekerja kau, lepas tu tengahari nak berkejar pula pergi PWTC,” kata Damya panjang lebar mengundang ketawa Lufya.
“Relaxlah babe. Nak geraklah ni,” jawab Lufya.
Damya menyengetkan bibirnya kemudian mengatur langkah keluar meninggalkan Lufya di situ.
“Akak balik dulu ye. Terima kasih,” ucap Lufya sambil memandang Damya yang sudah keluar dari booth itu.
“Sama-sama kak Lufya. Terima kasih juga sebab sudi singgah,” balas Ina dengan ramah.
Lufya tersenyum. “Sama-sama,”
“Dah habis cerita?” perli Damya sebaik Lufya muncul dari dalam booth itu.
Lufya tayang sengihannya kemudian melangkah mendahului langkah Damya. “ Dah. Tak payahlah nak bebel sangat,”
“Memanglah aku bebel. Kau ni, bukan boleh percaya. Baik sangat dengan orang,” kata Damya sambil mengejar langkah Lufya.
Lufya berhenti melangkah sambil matanya melekat pada sesuatu. Kecur air liurnya melihat roti john yang dijual itu. Damya turut berhenti sambil melihat arah yang dipandang oleh Lufya itu.
“Melekat lagi minah seekor ni,” gumam Damya sendiri.
“Macam sedap je roti john ni. Kau nak tak? Aku laparlah,” luah Lufya sambil memandang Damya.
Damya menarik nafas dan menghembus nafas kasar sambil mengangkat kedua keningnya.
“Please…” kata Lufya sambil merapatkan kedua tangannya tanda merayu.
“Tak payahlah nak merayu. Belillah kalau nak beli. Tapi…Sekali ni je. Lepas ni tak boleh dah. Kau tu kena jaga diet kau. Faham!” kata Damya tegas.
“Yeay!” jerit Lufya kecil membuatkan beberapa pengunjung memandang ke arah Lufya dengan hairan.
Damya menjegilkan matanya ke arah Lufya membuatkan Lufya tersengih malu sambil menjelirkan lidahnya kepada Damya. Damya mencebik bibir. Sebenarnya, dia kasihan dengan jadual pemakanan Lufya yang disediakan oleh Marina. Tapi, mereka tidak boleh berbuat apa-apa. Ini kerana, kontrak Lufya masih berbaki setahun.

“SAMPAIPUN minah dua ekor ni. Korang tau tak yang aku tunggu korang dari jam sebelas tadi,” bebel Marina sebaik melihat wajah Lufya dan Damya memasuki ruangan persalinan persediaan yang berada di belakang pentas itu.
Lufya tersengih sambil memandang Damya, manakala Damya sudah menjuihkan bibirnya tanda tidak suka mendengar bebelan Marina itu.
“Sorry Rina. Next time, tak buat lagi,” kata Lufya meminta maaf. Sedar akan kesilapannya.
“Make sure not!” kata Marina tegas.
Damya menjeling Lufya yang tersengih-sengih mengalahkan kerang busuk. Rasa mahu saja dia meluku-luku kepala Lufya ketika itu.
“Ni sebab kau lah ni. Sibuk nak makan itu ini, nak singgah tu, singgah ni. Kan dah kena bebel,” kata Damya sambil menunjal bahu Lufya.
“Manalah aku nak tau yang jalan jammed mengalahkan ‘siput sedut’,” balas Lufya laju membuatkan Damya mencebik.
“Macamlah kau tak biasa duk KL ni,” tempelak Damya lagi.
Marina yang melihat model kesayangan dan pembantu peribadinya itu berbalas kata berdecit perlahan. Dia mencapai berus make up yang berada di atas meja itu lalu membaling ke arah Damya.
“Ouch! Apa ni Rina? Terkejut I,” kata Damya sambil menunduk untuk mendapatkan berus make up yang sudah jatuh itu.
Lufya sudah menekup mulutnya menahan gelak. Damya menghadiahkan jelingan kepada Lufya membuatkan Lufya semakin tidak tahan menahan gelak.
“You jangan nak bawa Luf bergaduh sekarang. Nak gaduh sambung kat rumah. Sekarang ni, I nak you siapkan dia untuk rehearsal,” kata Marina sedikit tegas.
Damya menjuihkan bibirnya lalu mencubit lengan Lufya.
“Ouch! Sakitlah Damya,” Rungut Lufya sambil menggosok bekas cubitan itu.
Damya hanya menayangkan riak wajah mengejek. “Pada muka!”
Damya mula menyiapkan Lufya untuk rehearsal yang di jadualkan pada jam dua petang itu. Damya sempat menyusun pakaian yang akan di gunakan oleh Lufya sepanjang peragaan nanti. Sesekali dia mengelengkan kepala melihat pakaian yang seksi itu.
“Seksi sangat pakaian Marina ni. Kalaulah aku boleh buat sesuatu,” gumam Damya sendiri. Mahu menegah, tapi itu adalah kerja Lufya sebagai model. Mahu atau tidak, Damya kena redha dan ikhlas.
Pertunjukan yang dijadualkan habis pada jam dua belas malam itu, akhirnya berakhir sebelum waktunya. Itu kerana, ada pereka fesyen yang menarik diri di saat akhir kerana kekurangan model.
Lufya menghenyak punggung malas ke kerusi yang disediakan. Penat! Itulah gambaran sebenar yang dirasakan oleh Lufya ketika itu. Berdiri lama dengan heels enam inchi, pakaian yang cukup menjolok mata ketatnya. “Mak aiii… Letihnya,” gtetus hati Lufya sambil merenung wajahnya dihiasi solekan tebal di cermin.
“Pergilah tukar baju kau tu. Kita balik. Boleh rehat,” tegur Damya, muncul dari luar.
Lufya bangun dari duduknya, lalu mencapai pakaian asalnya dan melangkah malas menuju ke bilik persalinan.
Damya hanya memerhatikan langkah malas Lufya itu. Melalui tindak tanduk Lufya itu, Damya tahu yang Lufya letih. Letih dengan semua yang berlaku dalam hidupnya. Dia kagum dengan kecekalan dan kesabaran yang ada pada Lufya itu.

Dan lagi satu banyak typo dan segala kesalahan tatabahasa. ampun kan sis ya. sis tak sempurna. Baru belajar hari tu. hahaha....

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience