Get the app for full experience
ZIQRI menggenggam erat jejari Lufya sambil berdiri menghadap laut. Dia tahu Lufya kecewa. Sepanjang perjalanan sebentar tadi, Lufya hanya membisu tanpa kata. Sesekali, dia menyeka air mata yang mengalir di pipinya. Dia sengaja membawa Lufya ke Pantai Morib. Dia mahu Lufya kembali tenang. Dalam masa yang sama, dia mahu Lufya berhenti memikirkan tentang apa yang sudah terjadi padanya.
“Sayang…” panggilnya lembut.
Sepi.
“Sayang…” panggil Ziqri sekali lagi, sambil mengerling Lufya.
Tetap sama. Hanya mata yang merenung jauh ke tengah laut.
Tiba-tiba Lufya terduduk lemah tanpa amaran, disusuli dengan air mata yang mengalir deras, bagaikan tidak mahu berhenti.
“Ya Allah! Sayang…” Ziqri terus duduk mencangkung sambil memaut tubuh Lufya.
Lufya mendongak, memandang Ziqri. Riak wajahnya menunjukkan betapa kecewanya dia ketika itu. Mendengar kebenaran, membuatkan dirinya lelah dan terluka. Terasa luka itu terus menghentamnya, tanpa memikirkan keadaannya ketika itu.
“Hati Lufya sakit sangat, abang. Sakit! Apa salah Lufya? Kenapa semua ni jadi pada Lufya?” tangis Lufya. Sayu.
“Mengucap sayang,” pujuk Ziqri. “Abang ada…”
Tubuh Lufya dipeluk erat.
Lufya menyembamkan wajahnya pada dada bidang Ziqri.
“Menangislah sepuas hati sayang. Abang ada dengan sayang. Berceritalah dengan abang. Abang sedia mendengar semuanya,” ujar Ziqri lembut.
Air matanya rasa mahu menitis, bila melihat keadaan Lufya seteruk itu.
Lufya terus menangis dan menangis.
“Lufya penat nak hadapi semua ni,” rintih Lufya sayu.
Ziqri mengeratkan pelukan dan mengucup dahi Lufya bertalu-talu. Dia tahu, betapa terlukanya Lufya ketika mengetahui semua kebenaran. Hatinya tidak kuat, bila melihat keadaan Lufya seteruk itu. Menangis meratapi dirinya sendiri.
“Bersandarlah dengan abang. Insya’Allah, abang akan sentiasa cuba lenyapkan kepenatan sayang…”
“Lufya, tak kuat,”
“Abanglah tunjang kekuatan sayang…”
“Lufya nak jumpa ayah. Nak bagitahu semuanya,”
“Banyakkan berdoa. Mengadu dengan Allah S.W.T. Sedekahkan Al fatihah untuk ayah,”
“Ujian ni terlalu berat untuk Lufya hadapi,”
“Allah S.W.T. hadirkan ujian, untuk menguatkan lagi kita. Kita hanya perlu bersyukur dengan apa yang diberiNYA,”
Lufya diam. Esakannya juga semakin berkurang.
Perkara itu membuatkan Ziqri mengintai Lufya. Pandangannya terkunci pada mata Lufya yang sudah terpejam rapat. Terdengar dengkuran halus, membuatkan Ziqri tersenyum sendiri.
“Tidur? Macam ni pun boleh tidur?” Ziqri menggelengkan perlahan.
Dia mengangkat tubuh Lufya, untuk membawa balik ke kereta yang terletak beberapa meter dari mereka.