HUJUNG minggu itu, Ziqri terpaksa mengalah dengan kehendak Marsha. Suria KLCC merupakan salah satu destinasi Marsha, setiap kali membeli belah. Ziqri tidak kisah kalau Marsha tidak menyusahkan dia, tapi Marsha tetap Marsha. Ziqri meninggalkan Marsha menuju ke sebuah kerusi yang disediakan di tepi, lalu menghenyak kasar punggungnya sambil menghempas perlahan paper bag berisi barang ‘pancingan’ isteri kesayangannya itu.
Fikirannya menerawang mengingatkan pertemuan mereka dengan rakan Marsha. Seingat dia, Marsha langsung tidak pernah menyatakan padanya yang dia mencari seseorang. Selain itu, Marsha tidak pernah berterus terang padanya tentang rakannya yang bernama ‘Lufya’ itu.
“Lima tahun menghilang? Macam ada yang tidak kena je,” bisik Ziqri sambil matanya masih terkunci pada Marsha yang sibuk memilih kasutnya.
Wajah Lufya tiba-tiba muncul mengganggu ketenangannya. Kenapa wajah itu seakan mengusik hatinya. Mungkin kerana kata-katanya pada Marsha tempoh hari.
“Mar…kau dah cukup lawa. Allah kurniakan kau kelebihan. Kau Cuma perlu sujud dan bersyukur.”Ayat itu terus bergema di minda Ziqri.
Marsha? Marsha seakan tidak terkesan dengan ayat itu, sedangkan baginya, maksud disebalik ayat itu terlalu dalam. Cara Lufya yang seakan mengelak juga, menarik perhatian dia. Hatinya terpanggil untuk mengetahui kisah disebalik hubungan persahabatan mereka. Dia bukan sejenis lelaki yang mudah berpaling tadah, tapi dia ingin tahu apa yang terjadi antara mereka berdua. Memandangkan Marsha tidak pernah bercerita tentang Lufya, rasa ingin tahu itu semakin menebal di hati.
Telefon pintarnya yang berada di dalam kocek seluar itu berbunyi nyaring tanda minta di jawab. Ziqri laju berdiri lalu menyeluk kocek seluarnya untuk mengambil telefon pintarnya itu. Wajah ibunya, Puan Kirana, terpampang pada skrin telefonnya. Ziqri menyentuh lambang berwarna hijau itu, lalu menekapkan telefon itu ke telinganya.
“Assalamualaikum, umi,” sapa Ziqri lembut.
“Waalaikumsalam Ziq. Boleh umi tahu, Ziq kat mana?” tanya Puan Kirana lembut di seberang talian.
“Kat Suria KLCC, umi. Teman Mar beli barang,” jawab Ziqri.
“Oh, I see,”kata Puan Kirana ringkas.
Berkerut dahi Ziqri mendengarnya. “Kenapa umi? Ada apa-apa ke?”
“Umi nak minta tolong, boleh?” Lembut suara Puan Kirana menyapa pendengarannya.
Ziqri tersenyum sendiri mendengar pertanyaan yang bernada lembut itu.
“Boleh ibu. Kenapa pula tak boleh,” jawab Ziqri dengan bibirnya yang setia menguntum senyuman.
“Abah ajak Ziq dengan Mar makan malam sekali,” kata Puan Kirana, dengan harapan Ziqri tidak menolak. Bukan sekali dua Ziqri menolak untuk makan malam dengan keluarga besar mereka, sejak dia berkahwin dengan Marsha.
“Ziq tanya…”
“Hari ni je Ziq. Abah nak bincang benda penting.” Puan Kirana memintas percakapan Ziqri membuatkan Ziqri terdiam beberapa saat.
“Okay, umi,” kata Ziqri lemah.
Puan Kirana tersenyum dihujung talian mendengar persetujuan yang diberikan oleh Ziqri itu. Bukan senang nak dengar Ziqri berkata ‘okay’ selepas dia berkahwin. Masanya lebih tertumpu pada Marsha.
“Jangan pula Ziq okay, okay, tapi tak datang. Karang, abah yang mengamuk.” Puan Kirana mengingatkan Ziqri.
Ziqri tersengh sendiri. Pandangannya dihalakan ke arah Marsha yang baru keluar dari butik kasut itu. senyuman keriangan, terpancar di wajah Marsha. Maklumlah, apa yang diidamkan, sudah dimilikinya. Bakul yang berada di tangan Marsha itu dipandang seketika.
“InsyaAllah, umi. Nanti kami datang. Ziq letak dulu ye. Mar dah sampai.” Ziqri meminta izin untuk meletakkan telefon bila Marsha sudah sampai di tempatnya berdiri.
“Yelah, jangan lupa bagitahu. Mar. Assalamualaikum.” Puan Kirana mengakhiri perbualan mereka dengan salam.
“Waalaikumsalam umi,” balas Ziqri lalu menjauhkan telefon itu dari telinganya.
“Umi you nak apa?” tanya Marsha dengan nada tidak senang hati. “Mesti ada benda tu!” Marsha mengherot bibir senget.
“Umi dengan abah, nak kita makan malam kat sana.”kata Ziqri sambil menilik tiga bakul kertas yang dijinjit oleh Marsha.
Marsha menjongket bibir atasnya tanda malas dan menyampah. Berderau hati Ziqri melihat riak wajah yang ditunjukkan oleh isterinya itu.
“You setuju ke?” tanya Marsha sambil menghadiahkan pandangan tajam ke wajah suaminya.
“Mestilah. Dah banyak kali I tolak permintaan umi dengan abah, sebab you. Takkan kali ni nak tolak lagi? You ingat abah dengan umi I tu bukan manusia? Tak ade perasaan?” Bagaikan bazooka, kata-kata Ziqri meluncur keluar dari mulutnya dengan nada yang malas dan menyampah. Satu jelingan tajam dihadiahkan pada Marsha.
Sikap Marsha yang semakin hari, semakin melampau itu amat dirasai oleh Ziqri. Marsha seakan mahu dia melupakan keluarganya sendiri dan menjauhkan lagi hubungan mereka yang sememangnya sudah sedia jauh sejak dia dan Marsha berkahwin. Baginya perkara itu tidak boleh dibiarkan. Dia tidak mahu Marsha terus mendesak dan mengongkong hidupnya terutama berkaitan dengan keluarganya.
“Tapi Ziq, kita dah janji nak spend time sama-sama. Takkan you lupa?” soal Marsha dengan nada tidak puas hati. Marsha menghempas kasar punggungnya di kerusi itu. Sakit hati!
Ziqri mendengus kasar sambil menjeling Marsha.
“Spend time macam mana yang you nak? Kita memang dah serumahkan? Sebilik lagi. Bukan setakat sebilik, tapi sebantal. Ke you nak I gendong you twenty four seven?”
Marsha merengus kasar. “Kalau you nak sangat, pergilah. I tak nak!” kata Marsha tegas.
“You memang dah melampaulah Mar. you ingat, I kena jaga you seorang je ke? Parents you je? Habis parents I macam mana?” Nada suara Ziqri berubah kasar. pandangannya juga mencerlung ke wajah Marsha.
“You lupa ke Ziq. You yang janji nak jaga I dengan family I kan?” Soal Marsha, dengan nada tidak puas hati bila, Ziqri, bagaikan mahu mengungkit semuanya.
“I janji nak jaga keluarga you, tapi tak bermakna I kena abaikan keluarga I. lagipun, I ni anak lelaki. Bukannya perempuan. Lainlah macam you.”
“Sekarang ni, you nak cakap yang I tak kisah keluarga you ke?” soal Marsha sebal.
“Dah memang itu yang you sedang tunjukkan dengan I. cuba you bagitahu I, berapa kali you terima pelawaan umi untuk makan malam dengan keluarga I, selama tiga tahun ni? Sekali? Dua kali? Atau…” Ziqri mengeluh kasar tanpa menghabiskan ayatnya itu. wajah Marsha yang masam mencuka itu dipandang sekilas.
“OKAY! OKAY! Puas hati you? I tak tahulah apa yang umi you dengki sangat dengan I. Tiap kali I nak habiskan masa dengan you, tiap kali tu jugalah umi you call minta tolong itulah, inilah. Benci!” Marsha mencapai semua beg kertas berisi barang-barang yang dibeli itu dengan kasar, lalu melangkah meninggalkan Ziqri yang sudah mengetap rahangnya menahan geram.
Sempat Ziqri mengesan pandangan beberapa makhluk Allah yang lalu lalang di hadapan mereka. Ada yang memandang sinis bagaikan sedang berkata ‘padan muka’ padanya. Ada yang tersenyum simpul dan ada yang melopong melihat tindakan Marsha meninggalkannya di situ.
“Apa pandang-pandang!” jerkah Ziqri seraya berpusing meninggalkan kawasan itu.
Marsha benar-benar memalukan dirinya sebagai seorang suami. Pasti mereka beranggapan yang dia itu lelaki dayus, kerana tidak mampu mendidik isterinya sendiri. Perasaan malu bernar-benar beraja di hatinya ketika ini. Dari jauh Ziqri dapat melihat Marsha yang sedang berdiri di samping kereta Lexus kesayangannya. Wajah Marsha yang masam itu, menandakan protesnya terhadap Ziqri.
“You sengaja nak malukan I depan orang kan?” Ziqri mengunci pandangannya tepat ke wajah Marsha.
“Laa… malu ke? Memang patutpun you malu. Siapa suruh tak reti jaga hati isteri,” balas Marsha sinis. Puas hatinya melihat Ziqri dipandang sinis oleh pengunjung yang berada di sekitar mereka sebentar tadi.
Ziqri merengus kasar, sambil membuka pintu keretanya. Berdentum bunyi pintu kereta itu ditutup oleh Ziqri.
Marsha yang baru mahu menutup pintu kereta itu, menjeling sinis.“Ada aku kisah!”
Ziqri menghadiahkan jelingan tajam kepada Marsha sebelum menghidupkan enjin keretanya. Dia menarik nafasnya perlahan dan menghembus kasar sebelum memulakan pemanduan. Perasaan negetif perlu segera dinyahkan dari dirinya untuk digantikan dengan perasaan positif.
“APA khabar umi, abah?” tanya Ziqri sambil menghulurkan tangannya untuk bersalaman kepada kedua orang tuanya sebaik sahaja mereka tiba di rumah dua tingkat milik keluarga Ziqri.
“Alhamdulillah baik. Ziq dengan Mar apa khabar?” jawab Puan Kirana lembut dengan wajahnya yang dihiasi senyuman.
Baru sahaja Ziqri mahu membuka mulutnya untuk menjawab pertanyaan itu, Tuan Hafiz laju memintasnya.
“Alhamdulillah baik. Akhirnya, sudi juga kamu berdua nak makan malam kat sini. Dah setahun rasanya, korang tak makan malam kat sini kan? Pelik pula abah rasa. Rumah kita ni bukannya jauh sangat. Lima belas minitpun, boleh sampai. Ke…kamu dah tak nak jenguk umi dengan abah?” Tuan Hafiz berkata dengan nada menyindir sambil menjeling Marsha yang masam mencuka sambil menghulurkan tangannya.
“Hmm, Mar. Abah tengok muka kamu ni masam je. Tak suka datang sini?” Perli Tuan Hafiz tanpa berselindung. Tangan Marsha itu disambut.
“Err… taklah. Bukan macam tu abah, cuma Ziq sibuk sikit,” dalih Marsha sambil mengerling Ziqri.
“Masuklah Ziq, Mar. Umi nak ke dapur. Nak tolong apa yang patut,” pelawa Puan Kirana sambil melangkah meninggalkan mereka bertiga.
Terangkat kening Tuan Hafiz mendengar isterinya mempelawa anak menanttunya itu untuk masuk. “Rumah sendiripun nak dipelawa ke?”
Ziqri dan Marsha terkulat-kulat mendengar sindiran pedas itu. Masing-masing tersenyum kelat. Dah macam kena tembak dengan ‘bazooka’ pun ada. Tuan Hafiz melangkah menuju ke ruang tamu dengan diekori oleh mereka berdua.
“You lah ni,” kata Ziqri separuh berbisik. Dia menjengilkan matanya ke arah Marsha.
Marsha mencebik. “I pula!”
“Tak payahlah kamu berdua nak bertekak kat sini. Abah tak suka!” tegas Tuan Hafiz sambil menghenyak punggungnya di sofa yang satu itu. Anak matanya memberi isyarat kepada mereka berdua untuk duduk di sofa yang berada di hadapannya.
Ziqri dan Marsha lambat-lambat mengambil tempat masing-masing dengan wajah yang penuh tanda tanya. Sorotan pandangan Tuan Hafiz itu, menunjukkan yang ada perkara mahu dia katakan.
Tuan Hafiz memandang wajah mereka berdua silih berganti. Ziqri jelas menunjukkan perubahan yang besar selepas perkahwinannya dengan Marsha. Dari seorang anak yang mengambil berat tentang keluarganya, menjadi seorang anak yang seakan tidak kisah dengan mereka. Setiap kata-kata yang dia sampaikan dibalas dengan alasan. Selama tiga tahun mereka berkahwin, belum pernah sekalipun Ziqri menyambut hari raya dengan mereka. Dia dapat merasakan yang Ziqri semakin jauh dengan mereka. Dia takut, satu masa nanti dia akan kehilangan anaknya yang satu itu.
“Kamu dah kahwin berapa lama Ziq, Mar?” tanya Tuan Hafiz sambil memandang mereka berdua silih berganti.
Ziqri memandang Marsha yang mula gelisah di sebelahnya itu. “Tiga tahun, abah,”
“Tiga tahun tu… lama ke, atau sekejap?” tanya Tuan Hafiz lagi. Nadanya sengaja dileretkan. Pandangannya ditajamkan lagi ke wajah anak keduanya itu.
Ziqri menunduk bila pandangan mereka bertemu. “Lama, abah,”
“Abah nak cakap apa sebenarnya? Nak cucukan?” Marsha mencelah tidak sabar.
Ziqri terkedu melihat kebiadapan isterinya itu. Wajah Tuan Hafiz yang sudah berubah riak itu juga dikerlingnya sejenak.
“Mar!” Ziqri mengeraskan nada suaranya tanda memberi amaran.
Marsha mendengus kasar. “Apa? I tanya je kan?”
“Baguslah kalau kamu tahu. Dah tiga tahun kamu kahwin, takkan langsung takde isi? Ke merancang? Tak puas enjoy? Hah? Ziq?” Tuan Hafiz cuba untuk mengawal suaranya biarpun hatinnya sudah mula terusik dengan kebiadapan isteri Ziqri itu.
“Lecehlah ada anak,” rungut Marsha dengan nada menjengkelkan.
Tuan Hafiz memandang Ziqri yang membisu, kemudian beralih kepada Marsha. Kepalanya digelengkan tanda tidak suka mendengar rungutan itu. “Anak itu pembawa rezeki,”
“Mana ada rezeki, abah. Susahkan Mar je,” bidas Marsha kasar.
“Marsha!” Ziqri meninggikan suaranya tanda tidak suka dengan sikap Marsha itu.
“Betullah apa I cakap. You ingat senang ke nak ada anak? Tidur tak cukup, makan tak terjaga, badan pula rosak. Malulah I kalau kawan-kawan I nampak I macam tu,” kata Marsha panjang lebar tanpa mempedulikan perasaan Ziqri dan Tuan Hafiz.
“Kalau kamu tak nak anak, buat apa kamu kahwin dengan Ziqri?” Soal Tuan Hafiz kesal.
“Mar sayangkan Ziq, abah. Bukannya nak kahwin sebab nak beranak pinak. Lagipun, Mar ni masih muda,” kata Marsha dengan nada kasar.
Tuan Hafiz terkedu lagi. Pandangan Marsha tajam menikam wajahnya. Perlahan dia alihkan pandangan ke arah Ziqri yang sudah tertunduk malu.
“Marsha, siapa ajar you biadab dengan orang tua I?” tanya Ziqri cuba untuk menenangkan dirinya.
“I bukan biadab Ziq. I cuma nak pertahankan diri I.” kata Marsha membela dirinya.
“Pertahankan diri, tak perlu tinggikan suara. Kami sendiripun tak pernah tinggikan suara pada umi dengan abah,” tegas Ziqri sambil bangun.
“Ziq minta maaf abah,” pinta Ziqri kesal sambil menjeling Marsha yang langsung tidak menunjukkan perasaan rasa bersalah..
“Dah lah. Abahpun tak tahu nak kata apa.” Tuan Hafiz turut bangun. Dia kesal dengan apa yang berlaku itu.
“Kamu jangan nak angkuh sangat Mar. Hidup kita ni macam roda. Ada masa duduk kat atas, ada masa kat bawah. Bila kat bawah, barulah kamu tahu bagaimana rasanya dibuat macam tu.” Tuan Hafiz memandang wajah Marsha kemudian Ziqri.
“Lain kali, kalau tak reti nak mengemudi bahtera, tak payah nak berangan jadi kapten. Sekarang, bahterapun tunggang langgang. Tinggal tunggu masa je nak karam.” sindir Tuan Hafiz lalu membuka langkah untuk meninggalkan mereka berdua di situ.
Ziqri tersenyum kelat mendengar kata-kata sindiran yang pedas itu. Dia faham maksud ayat itu dan dia sedar kesilapannya. Dia gagal membentuk Marsha menjadi isteri yang taat padanya. Ziqri mengeluh kasar. “Puas hati you?”
“Aik, I lagi?” soal Marsha sambil menjongket kening dan bibirnya dicebik sinis. Dia bangun dari duduknya dan berdiri tegak di hadapan Ziqri.
Ziqri menggenggam penumbuknya sendiri kerana sakit hati.
“Memang salah you. Kenapa suka sangat menjawab? You tahu kan, yang abah tak suka macam tu?” Meninggi nada suara Ziqri pada Marsha.
Marsha berdecit kasar. Dia mencapai beg tangannya yang berada di atas sofa dan kembali menghadap Ziqri. “I nak balik!”
“Baliklah! Balik, jalan kaki!” kata Ziqri dengan perasaan geramnya.
Marsha merengus kasar. Selamba tangannya di seluk ke dalam kocek seluar Ziqri untuk mendapatkan kunci kereta suaminya itu. Ziqri mengetap bibir tanpa menghalang Marsha.
“You yang akan balik jalan kaki Ziq. Not me,” kata Marsha sinis sambil mengangkat kunci kereta itu dan disuakan ke wajah Ziqri, kemudian selamba berlalu meninggalkan Ziqri di situ.
Pandangan tajam Ziqri mengekori langkah Marsha yang sudah menuju ke pintu keluar. Penumbuknya dikepal kuat. Kalau sahaja Marsha itu lelaki, pasti penumbuknya sudah melayang ke wajah Marsha. Ziqri menarik nafas kasar dan rahangnya diketap kuat. Sikap Marsha mencabar kesabarannya.
Share this novel