BAB 24

Romance Series 93123

LUFYA baru balik dari kursus kahwin yang didaftarkan oleh Marsha. Lufya tidak menyangka kecekapan Marsha itu. Betapa bersungguhnya Marsha untuk melaksanakan hasratnya yang satu itu. Lufya keliru sendiri. Mustahil untuk Marsha setenang itu, sedangkan dia tahu yang suaminya akan berkahwin dengan perempuan lain.
“Kau yakin yang kau masih nak teruskan rancangan kau ni?” tanya Lufya sambil matanya memandang Marsha ketika Marsha menjemputnya dari kursus kahwin dan terus mengajak Lufya untuk minum sebelum menghantar Lufya balik ke rumahnya.
Marsha senyum sambil angguk kepalanya. “Kenapa aku tak yakin? Aku lebih yakin, sebab perempuan itu adalah kau,”
“Tapi, kenapa aku Mar?” Wajah Marsha dipandang sedalamnya oleh Lufya. Dia inginkan jawapan yang betul-betul ikhlas dari hati Marsha.
“Sebab kau kawan aku,” balas Marsha.
“Tapi… bukan aku je kawan kau Mar,” bidas Lufya.
“Kau yang paling aku percaya. Aku yakin, kau tak akan khianati aku,” kata Marsha yakin.
Lufya merenung wajah Marsha. Apa maksud Marsha yang sebenarnya? Mahu bertanya tapi Lufya membatalkan hasratnya itu. Satu masa nanti, perkara itu akan terjawab juga. yang penting dia ikhlas untuk membantu Marsha.

“BEST ke kursus kahwin?” Damya menghadiahkan pertanyaan dan pandangan kosong ke wajah Lufya yang keletihan itu. Dia tahu yang Lufya baru balik dari Kursus kahwin dengan dihantar dan dijemput oleh bakal madunya. Nampak pelik! Siapa saja yang tahu Marsha itu bakal madu Lufya, pasti akan terkejut. Kesanggupan Marsha menguruskan semuanya membuatkan sesiapapun tidak percaya.
Lufya diam. Dia menyandarkan tubuhnya ke belakang kerusi dan matanya dipejamkan rapat. Meningatkan semua tentang apa yang dikatakan oleh ustaz yang memberi ceramah ketika di dalam kursus kahwin sepanjang hari ini, membuatkan Lufya sedikit menyesal dengan keputusan yang telah dibuat itu. Mungkin dia hanya hadir dalam hidup Marsha dan Ziqri sebagai isteri kedua yang ditugaskan untuk mengandung dan melahirkan anak untuk Ziqri, tapi dia masih isteri. Bersediakah dia? Jujur dia tidak tahu.
“Luf,” panggil Damya dan duduk di samping Lufya.
“Hmmm…” Lufya menyahut dengan nada lemah.
“Kenapa dengan kau ni?” soal Damya hairan.
Lufya membuka matanya kemudian berpaling melihat wajah Damya. Lufya mengeluh. “Tiba-tiba aku rasa takut. Menyesal,”
Dahi Damya berkerut seribu mendengar luahan separuh keluhan itu. Pandangan mata mereka berlaga. “Maksud kau, kau nak batalkan keputusan kau?”
Lufya diam lagi. Sessat kemudian, Lufya berdecit perlahan. “Aku nak sangat…”
“Kau nak aku tolong bagitahu kat. Mar?” Laju Damya berkata.
“Aku dah tak boleh nak berundur, Damya. Keluarga aku dah terima,” keluh Lufya, sambil menunduk merenung beg tangan yang berada di ribanya.
Damya berdecit kecil. Baginya, itu cumalah alasan Lufya semata-mata. “Banyak sangat alasan kau ni!”
“Ini bukan soal alasan. Aku tak nak keluarga aku tanggung malu untuk kedua kali. Lagipun, ini yang diorang harap,” ujar Lufya sambil mengurut pelipis kepalanya.
Damya menyengetkan bibirnya, tanda meluat mendengar alasan itu. “Itulah! Lain kali… buat keputusan tu, fikir dulu. Bukan main cekau je. Kan sekarang dah menyesal!”
Lufya menjuihkan bibirnya. “Kau ni, bukan nak kurangkan tekanan aku, tapi menambahkan, adalah!”
Damya tersengih. “Nak buat macam mana. Kau degil sangat,”
Lufya mencebik bibirnya. Dalam diam, dia akui sikapnya yang suka mengambil keputusan tanpa bertanya sesiapa terlebih dahulu. Namun, apakan daya kerana itulah dia yang sebenarnya.
“Aku nak rehat. Penat!” Lufya bangkit dari duduknya sambil membimbit beg tangan dan juga sebuah fail kertas yang diterimanya dari Kursus kahwin itu.
Damya menghantar pemergiannya dengan pandangan simpati dan juga dalam masa yang sama dia geram pada Marsha. Permintaan Marsha itu amat keterlaluan baginya. Dia dapat rasakan yang Marsha hanya mahu mempergunakan Lufya kerana kebaikan Lufya. Apakan daya, dia tidak mampu menghalang Lufya, kerana Lufya dan Marsha sudah lama kenal.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience