PANGGILAN yang diterima dari pihak pengurusan sebuah program realiti itu mengejutkan Lufya. Permintaan untuk menaja program itu, bukanlah melibatkan jumlah yang sedikit. Lagipun masih ramai lagi founder produk kecantikan yang layak untuk menaja program itu. Kenapa dia?
“Kau fikir apa? Nak tolak ke?” tanya Damya memecah kesunyian antara mereka.
“Banyak lagi yang lebih layak dari aku Damya,” kata Lufya memberi alasan.
Damya berdecit perlahan. Lufya yang sedang memikirkan sesuatu itu dipandang tajam.
“Inilah peluang kau nak kembangkan lagi perniagaan kau. Cuba kau fikir baik-baik. Kalau kau jadi penaja, lagi ramai yang akan kenal kau. Bukan setakat tu je, pelangganpun bertambah,” kata Damya panjang lebar.
“Ini bukan soal mengembangkan perniagaan. Memanglah, aku nak kembangkan. Tapi menaja…,” Lufya berhenti sejenak.
“…Bagi aku, itu bukan cara yang terbaik. Lagipun, aku tak minatlah semua tu. Tak teringin aku nak berkejar sini sana. Kalau nak menaja, kau mesti ada kat situ waktu konsert. Kau nak aku terkejar-kejar macam orang tak waras ke? Rambut serabai sini sana. Hidup yang memang kurang terurus, tambah tak terurus. Dengan kau tak cukup tidur,”sambung Lufya panjang lebar.
Damya garu kepalanya dan berdecit perlahan.
“Betul kau tak nak? Lama lagi tu. Banyak lagi persiapan kau boleh buat,” pujuk Damya memujuk. Bukan senang nak muncul di kaca tv.
“Nantilah aku fikir. Sekarang ni aku nak keluar pergi shopping buah tangan. Lusa aku nak balik Terengganu,” balas Lufya sambil bangun dari kerusinya itu.
Damya diam. Lufya yang sudah mencapai beg tangannya itu dipandang seketika.
“Kau jadi balik?” tanya Damya.
“Jadilah. Dah ibu call. Lagipun, waktu tu je aku boleh ambil hati keluarga aku balik,” jawab Lufya sambil mencapai kunci kereta Nissan Serenanya itu.
Berkerut Damya melihat Lufya mengambil kunci kereta itu.
“Kau nak pandu ke? Tak nak ajak aku?” tanya Damya hairan. Jarang Lufya memandu sendiri, kecuali urusan yang tidak dapat dielakkan.
“Ye. kau tunggu sini. Banyak stok kat bawah baru sampai. Kau tolonglah mana yang patut. Jangan pula aku keluar ni, kau dengan Zarina berperang. Aku debik seorang-seorang,” kata Lufya sedikit tegas. Wajah Damya dikerlingmya.
Damya tersengih mendngar ketegasan Lufya itu.
“Lagi satu, tolong prepare cheque untuk Rumah Anak Yatim Raudhatul Jannah, Rumah Permata Hatiku, dengan Rumah Bakti Nur Syaheera. Amount, letak lima ribu. Balik nanti aku tandatangan,” sambung Lufya lagi.
Damya mengangguk faham. “Ok bos,”
Lufya hanya menyengetkan bibirnya mendengar kata-kata Damya itu.
“Pergi dulu,” kata Lufya meminta diri.
Tanpa menunggu balasan dari Damya, Lufya melangkah keluar dari bilik pejabatnya itu. Terbayang pusat membeli belah yang akan di tujunya itu.
Damya hanya memerhatikan Lufya kemudian mengeleng perlahan. Dia sedia maklum mengenai tiga nama yang disebut oleh Lufya sebentar tadi itu. Lufya mungkin seorang model yang seksi dan terdedah sini sana, tapi Lufya adalah seorang perempuan yang berhati nurani. Setiap malam jumaat, dia akan mengajak semua pekerjanya untuk mengagihkan makanan untuk gelandangan yang berada di sekitar Kuala Lumpur itu. Selain itu, Lufya juga salah satu penyumbang pada rumah kebajikan dan rumah anak-anak yatim yang terdapat di ibu kota itu. Kecekalan dan ketabahan Lufya dalam menjalani hidupnya, sedikit sebanyak mempengaruhi Damya.
PLAZA LOW YAT menjadi destinasi Lufya untuk membeli buah tangan buat Puan Hazimah dan Hj Maliki. Tidak sabar rasanya untuk balik bertemu keluarganya itu. Dia berjalan sendirian sambil memerhatikan barisan butik dan kedai serbaneka di situ. Fikirannya ligat memikirkan tentang barang yang hendak dibelinya.
“Nak beli apa untuk ibu dengan ayah?” Lufya berkata sendiri sambil pandangannya meliar memerhati. Dia cuba mencari sesuatu yang boleh menarik minatnya untuk masuk.
Pandangannya melekat pada sebuah butik yang menjual pakaian muslimah dan juga muslimin. Lufya melorek senyuman tipis sambil mengatur langkah menghampiri butik itu. langkahnya terus dibawa memasuki butik itu. Sempat dia menghadiahkan senyuman kepada pekerja yang berada di pintu masuk. Manis bertudung labuh. Sesuai dengan apa yang ada di dalam kedai itu.
“Akak cari baju muslimah?” Lembut suara gadis itu bertanya.
“Nak cari baju untuk ibu dengan abah saya. Adik boleh tolong carikan tak? Akak tak reti beli barang orang lain,” jawab Lufya dengan sengihan di bibirnya.
Gadis itu tersenyum mengangguk. “Boleh?”
Lufya mencapai sehelai blouse labuh berwarna biru tua. “Warna kegemaran ibu,”
“Akak suka tu?” tanya gadis itu.
Lufya mengangguk laju. “Saya suka warna die,”
“Boleh saya tahu, ibu akak orangnya macam mana. Tinggi ke, rendah atau berisi ke…” Pandangan gadis itu tepat ke wajah Lufya.
Lufya jeda. Sejujurnya dia tidak mengingati tinggi ataupun saiz badan ibunya. Bukan kerana lupa diri, tapi kerana dia sudah lima tahun tidak balik ke Terengganu.
“Saya tak ingat sangat, tapi… adik sediakan je pakaian yang sesuai dengan perempuan dan lelaki berumur enam puluhan. Boleh?” Lufya memandang wajah gadis itu.
“Boleh. Nak berapa pasang?” tanya gadis itu sambil tubuhnya sudah dibawa untuk meninjau pakaian yang bersesuaian dengan apa yang diminta oleh Lufya.
“Masing-masing tiga pasang. Kain pelikat tu, bagi tiga juga ye,” kata Lufya sambil menuju ke kerusi yang disediakan itu.
“Okay kak,” kata gadis itu.
Lufya tersenyum sambil mengagau telefonnya yang berada di dalam beg tangan.
Laman social Instagram itu dibuka. Banyak permintaan untuk mengikutinya, tapi dia memilih untuk tidak menerima. Walau bagaimanapun, dia masih melihat gerangan yang mahu mengikutinya. Dia menatal senarai permintaan untuk mengikutinya itu sehinggalah pandangannya terkunci pada satu nama yang tidak asing lagi.
“MarshaMaryam91,” bisik Lufya. Jari telunjuknya itu menyentuh nama itu. Gambar profilenya adalah gambar dirinya sendiri. Tanpa teragak-agak Lufya menyentuh perkataan terima. Dia menerima dan dia juga meminta untuk mengikuti kembali. Dia bukanlah jenis yang suka sangat melayan laman social. Masanya lebih tertumpu pada aktiviti hariannya. Mungkin ada yang menganggap dia kolot di zaman 2017 itu, tapi dia tidak kisah. Dia selesa dengan caranya.
“Maaf mengganggu akak. Barang yang akak minta dah siap,” beritahu gadis yang berada di kaunter pembayaran.
Lufya tersenyum mengangguk, seraya bangun dari duduknya dan mengatur langkah menuju ke kaunter pembayaran.
“Berapa semua dik?” tanya Lufya sambil mengeluarkan beg duitnya.
“Semuanya tiga ratus dua puluh kak,” kata gadis itu dengan senyuman yang tidak lekang dari bibirnya.
Lufya mengeluarkan not seratus, sebanyak lima keping.
“Nah, baki nanti adik simpan buat belanja,” kata Lufya sambil menghulurkan not berjumlah lima ratus itu.
Senyuman gadis itu mati serta merta, digantikan dengan pandangan kaget. Lambat-lambat dia menyambut huluran itu.
“Jangan risau. Akan tak jahat. Akak Cuma nak bersedekah je. Kalau sikit, akak boleh tambah,” kata Lufya selamba mahu membuka beg duitnya.
“Eh, kak. Banyak ni kak. Saya tak pernah terima duit banyak ni,” luah gadis itu keresahan.
Lufya tersenyum mendengar kata-kata itu. “Gaji adik berapa?”
“Seribu dua ratus,” jawab gadis itu diikuti kerutan di dahinya.
Lufya terdiam. pekerjanya semua bergaji seribu lima ratus ke atas. Itu belum termasuk kerja lebih masa dan juga komisyen.
“Butik ni siapa punya?” tanya Lufya lembut sambil tangannya menarik bakul plastic berisi pakaian yang dibelinya.
“Kak sepupu punya,” jawab gadis itu lambat-lambat.
“Oh! Tak ape lah. Adik ambil je tu. Akak ikhlas,” kata Lufya lagi.
“Jangan risau, akak takkan datang sini sebab nak minta balik tapi mungkin akak akan datang untuk membeli,” kata Lufya sambil menjungkit keningnya.
Gadis itu terdiam. Wajah Lufya dipandang penuh minat. “Terima kasih akak. Semoga dimurahkan rezeki selalu,”
“InsyaAllah. Akak balik dulu. Terima kasih tolong akak pilihkan ni,” kata Lufya lagi sambil mengangkat beg plastic yang sudah berada di tangannya itu.
“Sama-sama kak,” jawab gadis itu.
Lufya meninggalkan butik itu untuk mencari barang lain. Tersenyum simpul dia melihat reaksi gadis itu.
Sebaik keluar dari butik itu, Lufya melencong ke kedai serbaneka. Dia mahu membeli barangan untuk pekerjanya di pejabat. Memandangkan bekalan makanan dan minuman di pejabat itu semakin berkurang, dia memilih untuk membelinya kali ini. Selalunya Damya yang akan keluar untuk membeli semua barangan itu.
Sebuah troli dicapai, dan bakul plastic di tangannya itu dimasukkan ke dalam troli. Langkahnya dibawa ke bahagian makanan segera.
“Mee kari, tom yam, ayam… ei adeke staff aku makan mee ayam? Ish beli je lah. Bukannya rugipun.” Lufya menggumam sendiri.
Selesai di bahagian makanan segera, dia berpindah pula ke bahagian minuman.
“Nescafe o, nesscafe 3in1, susu pekat, teh, coklat.” Lufya mencapai semua barang yang disebutnya itu, lalu di masukkan ke dalam troli.
Selesai mencari semua barang yang dikehendaki itu, Lufya menyorong troli itu perlahan menuju ke kaunter pembayaran. Memandangkan, pengunjung juga kurang, cepatlah juga urusannya untuk membayar barangan itu.
Selesai membuat pembayaran, Lufya mengangkat semua bakul berisi barangan itu menuju ke tempat letak kereta. Lenguh juga tangannya mengangkat barang-barang itu. Patutlah setiap kali dia meminta Damya untuk membeli barang, wajah Damya akan berubah masam.
Share this novel