Get the app for full experience
PUAN Hazimah dan anak menantunya berkumpul di ruang tamu, sebaik sahaja selesai menjamu selera. Masing-masing mahu merehatkan diri, setelah seharian penat bekerja.
“Pasanglah tv tu. Ibu nak tengok rancangan gosip tu,” suruh Puan Hazimah pada Lila yang kebetulan duduk berdekatan dengan alat kawalan tv.
Lila mencebik bibir.
“Asyik gosip je ibu ni,” leter Lila. Dia mencapai alat kawalan itu, tapi tidak menekan apa-apa butang.
Aeril mengerling Lila. Tidak suka.
“Biarlah ibu nak tengok apa yang dia nak. Bukan senang nak tengok ibu bersantai sambil tengok tv. Selalunya, sibuk dengan kerja-kerja rumah. Nak tengok tv, cucu pula kacau,” kata Aeril.
“Ntah dia ni. Dengan ibupun nak dengki,” kutuk Khalid.
Lila membulatkan matanya ke arah kedua abangnya sambil diperhatikan oleh kedua kakak iparnya.
“Amboi! Bila masa pula kita dengki. Cuma tak suka je bila ibu nak tengok bab gosip-gosip ni. Tak baik,” balas Lila.
Puan Hazimah hanya menggelengkan kepalanya.
“Cepatlah pasang!” gesa Puan Hazimah lagi.
“Yelah,”
Sebaik tv itu terpasang, wajah Ziqri dan Lufya terpapar di skrin tv, sambil di temuramah oleh wartawan.
Puan Hazimah mengetap bibirnya kuat. Rindu pada Lufya seakan terlerai bila melihat wajah itu.
Lila dan yang lain berpandangan seketika. Mereka juga merindui Lufya. Namun kerana ego, mereka memilih untuk membisu tanpa menghubungi Lufya.
“Lufya Adelia, tidak pernah merampas saya dari Marsha. Marsha sendiri yang merayu pada Lufya untuk bernikah dengan saya. Dia juga sanggup tipu Lufya yang dia tidak boleh lahirkan anak, sebab mandul. Sebab itulah, dia merayu pada Lufya iaitu kawan baik dia sendiri untuk kahwin dengan saya dan lahirkan anak saya,” jelas Ziqri.
“Betul ke Puan Lufya?” tanya penemuramah itu.
Lufya memandang Ziqri seketika. Melihat anggukan Ziqri, Lufya menarik nafas sebelum memulakan kata-katanya.
“Betul. Saya tak pernah rampas dia dari Marsha,”
“Dengar kata, Puan Lufya dibuang keluarga sebab ni?” tanya wartawan itu.
Semua menanti jawapan Lufya dengan penuh sabar, termasuklah keluargaya yang sedang duduk di hadapan tv.
Lufya menunduk seketika dan kembali memandang ke arah lensa kamera.
“Mereka tak buang. Mereka cuma perlukan masa untuk terima semua ini dengan hati yang terbuka. Lagipun, apa yang berlaku antara saya dan keluarga saya… itu adalah urusan saya. Mengenai keluarga saya, biarlah saya tak jawab apa-apa,”
“Apa Puan Lufya nak buat dengan netizen yang suka menghukum tanpa asal periksa?”
“Mereka berhak memberi pandangan masing-masing. Saya tak salahkan sesiapa, tapi diri saya sendiri. Allah S.W.T lebih tahu semuanya,”
“Puan Lufya sedia maafkan Marsha?”
Lufya diam sambil mengerling Ziqri.
“Di mana sahaja dia berada, dia masih kawan saya. Saya maafkan dia, kerana perasaan marah tidak memberikan manfaat pada saya,” jawab Lufya dengan senyumannya yang manis. “Mar… aku sayang kau dunia akhirat. Terima kasih atas segalanya,” sambungnya lagi dengan penuh ikhlas.
Puan Hazimah tertunduk mendengar setiap kenyataan yang dikeluarkan oleh Lufya, khas untuk wartawan hiburan yang sedang menemubualnya.
“Ibu…” panggil Lila dengan nada lembut.
Puan Hazimah mendongak, memandang Lila yang kelihatan sebak memandangnya. Beralih pula pada Khalid, Aeril, Sarina dan Aina. Tanpa dia sedari, air matanya mengalir. Mengenangkan segala layanan yang diberikan pada Lufya, ketika Haji Maliki meninggal dunia tempoh hari, hatinya diulit rasa bersalah. Dia lupa mengenal sikap anaknya sendiri. Mereka malahan telah menunjukkan yang mereka tidak pernah memberikan kepercayaan pada Lufya. Kenyataan yang dia berikan pada wartawan itu juga, seakan menjerut dirinya sendiri.
“Apa yang ibu dah buat ni?”
Serentak Lila bangun dan menghampiri Puan Hazimah. Tubuh wanita separuh abad itu dirangkulnya erat.
“Ibu lupa siapa Lufya. Ibu tak kenal anak sendiri, sampai ibu tuduh macam-macam. Banyak benda kita dah buat pada dia, Lila…” Puan Hazimah merintih sayu.
“Ibu… bukan ibu je… kita semua silap,” pujuk Lila sebak.
Dia juga terkesan dengan apa yang berlaku.
“Kita sepatutnya bagi sokongan. Tapi kita sisihkan dia,” luah Puan Hazimah dengan nada kecewanya.
“Allahuakbar! Betapa lemahnya iman kita,” sambungnya lagi.
Aeril dan Khalid mengeluh perlahan.
“Kita pergi KL, ibu,” cadang Lila.
“Ye. Kita pergi sekarang,” kata Puan Hazimah, tanda setuju.
Khalid dan Aeril berpandangan dan menganggukkan kepala masing-masing.
“Tunggu apa lagi? Pergilah kemas barang masing-masing. Ibu nak jumpa Lufya. Ibu rindu dia,” gesa Puan Hazimah, tidak sabar.
Lila meleraikan tubuhnya, lalu mengangguk faham.
Semuanya bangun. Masing-masing mula sibuk masuk ke bilik untuk mengemas pakaian. Dalam diam, mereka tertanya. Akankah ada kemaafan untuk mereka semua?