SAMPAI sahaja di pejabat Fly Airlines Group, Ziqri terus menghubungi sepupunya, Daniel yang bekerja sebagai Pensyarah di salah satu Kolej Swasta yang terkemuka di Kuala Lumpur. Satu-satunya tempat dia meluahkan kekusutannya ialah Daniel. Daniel juga sentiasa sudi memberikan nasihat padanya berkaitan kehidupannya bersama Marsha. Ziqri tidak hairan tentang perkara itu, kerana Daniel terlebih dahulu berkahwin sebelum dia berkahwin dengan Marsha. Lebih mengujakan lagi, Daniel sudah menimang seorang cahaya mata meninggalkannya di belakang.
“Assalamualaikum,” sapa Daniel, sebelum sempat Ziqri menyapa.
“Laju kau ye,” perli Ziqri.
Daniel tergelak kuat. “Dah aku tengah godek telefon. Lajulah aku jawab,”
“Kau free tak tengahari ni? Kita jumpa tempat biasa?” tanya Ziqri tanpa menjawab salam Daniel.
“Kau tak jawab lagi salam aku. Macam mana aku nak jawab soalan kau,” kata Daniel.
“Waalaikumsalam! Puas hati?”
“Amboi! Kasarnya. Kenapa dengan kau ni? Masalah apa pula kali ni?” tanya Daniel kehairanan.
“Masalah yang sama dan kali ni bertambah lagi. Aku dah pening nak hadap perangai Mar,” jawab Ziqri sambil mengeluh kasar.
“Kalau nak dengar masalah kau ni, kat depan aku kena ada teh tarik, mi goreng mamak, roti kosong, martabak daging….”
“Banyak gila kau makan. Nak sumbat mana?” Pintas Ziqri dengan nada meluat.
Daniel ketawa sambil menghadiahkan perlian. “Mestilah! Akukan kena dengar masalah Negara,”
“Banyaklah kau punya masalah Negara. Nasib baik bukan kau yang kena,” tempelak Ziqri.
Daniel masih dengan ketawanya sambil mengelengkan kepalanya. “Ziqri, Ziqri!”
“Kita jumpa kat restoran mamaklah, tengahari ni,” putus ziqri.
“Okay!” jawab Daniel menyatakan persetujuannya.
Ziqri mencampakkan telefonnya itu ke atas meja sambil matanya dihalakan ke komputer di hadapannya. Sesekali dia merengus kasar mengingati kata-kata Marsha semalam. “Gila!”
“Tuan.” Berderau hati Ziqri melihat Haila berdiri dihadapannya tanpa dia sedari. Haila bekerja sebagai kerani am di pejabat itu. Pantang mak neneknya, orang masuk ke dalam biliknya tanpa mengetuk. Zizipun berkali kena, inikan pula pekerjanya.
“Kau tak reti ketuk pintu ke!” Jerkah Ziqri. Mencerlung pandangannya tepat ke wajah Haila.
Haila menunduk ketakutan. “Maaf tuan,”
“Kau ingat ni rumah kau! Main redah je!” Ziqri menepuk mejanya kuat. Pandangannya langsung tidak dialihkan dari Haila.
Terhinjut bahu Haila mendengar jerkahan dan tepukan kuat Ziqri pada meja kerjanya.
“Aku tak nak jumpa sesiapapun! Keluar!” Ziqri menunjukkan jari telunjuknya ke arah pintu keluar.
“Tapi tuan…,”
“Tak faham bahasa ke! Ke kau nak aku cakap bahasa alien pula!” Tengking Ziqri lagi.
Haila terpaksa akur dengan kehendak lelaki itu.
Ziqri merengus kasar sebaik Haila menghilang di sebalik pintu bilik itu. “Tak faham-faham lagi peraturan yang aku bagi?”
Fail yang bertimbun di atas mejanya itu dipandang satu persatu. Tiada satupun yang menarik perhatiannya ketika itu. Mindanya lebih terarah pada rancangan Marsha semalam. Tubuhnya di sandar kasar ke kerusi itu dan tangannya naik ke belakang tengkuknya.
“Kenapa aku rasa yang aku tengah dipermainkan oleh, Mar? Ke ini, permainan perasaan aku je,” keluh Ziqri sambil menggosok tengkuknya.
“Takkanlah bini aku nak permainkan aku, tapi… apa niat dia yang sebenar?” Ziqri bertanya lagi.
“Hish! Susah juga dapat bini yang pentingkan kesempurnaan,” keluhnya lagi.
Akhirnya Ziqri memaksa dirinya untuk memulakan kerja yang bertimbun itu. Fail yang paling atas, dicapainya lalu dibuka. Helaian demi helaian diselaknya untuk mengetahui isi kandungan fail itu. Berjaya juga dia membawa fikirannya jauh dari terus memikirkan kata-kata Marsha.
“LAMA tunggu?” Ziqri bertanya sebaik tiba di Restoran Jamilah.
Daniel menghadiahkan pandangan tajam ke wajah Ziqri. Kata jam satu tengahari, sampainya jam satu setengah! Daniel membentak geram di dalam hatinya.
“Dah naik kematu punggung aku ni duduk sini,” jawab Daniel separuh merungut.
Ziqri tersengih. Dia sedar kesalahannya itu.
“Maaflah bro! Aku terleka buat kerja.” Kata Ziqri sambil menayangkan muka minta kasihan.
Daniel mencebik. Bukan dia tidak kenal dengan perangai Ziqrii yang satu itu. “Nasib baik kau datang tau. Lagi lima minit kau lambat tadi, aku tinggal,”
“Yeke? Sampai hati kau nak tinggal aku?” soal Ziqri sambil menjongket keningnya.
Daniel herot bibirnya ke tepi tanda menyampah.
“Kau ingat, kau tu siapa? Raja?” pedas.
Ziqri tersengih mendengar ayat pedas Daniel itu. kepalanya yang tidak gatal itu digaru perlahan.
“Yelah, yelah. Aku minta maaf. Kau dah pesan makanan ke?” tanya Ziqri memandang wajah Daniel yang masam.
“Dah. Kalau aku tunggu kau, boleh kebulur aku,” kata Daniel.
Ziqri diam.
“Kau tak nak pesan?” tanya Daniel hairan melihat Ziqri membisu.
“Aku tak selera. Kau makanlah,” jawab Ziqri lalu membuang pandangan ke luar restoran itu. Gelagat seorang budak lelaki berpakaian compang camping yang sedang menuju ke arah restoran itu, menarik perhatiannya.
Daniel memandang ke arah pandangan Ziqri kemudian merengus kasar.
“Datang lagi budak ni. Kat mana-mana aku makan, mesti dia ada,” rungut Daniel menarik perhatian Ziqri.
“Maksud kau?” soal Ziqri hairan. Dia memandang Daniel dengan riak wajah ingin tahu.
Daniel diam sambil memandang budak itu, kemudian pandangannya dihalakan ke wajah Ziqri.
“Aku rasa budak ni ikut akulah. Hampir setiap hari aku terserempak dengan dia,” kata Daniel lagi.
Berkerut dahi Ziqri. “Minta sedekah dengan kau?”
Daniel angguk kepala malas.
“Mungkin dia nampak kat dahi kau yang kau ni orang kaya,” seloroh Ziqri.
Daniel berdecit. “ Banyaklah dia punya kaya,”
“Betullah kan?” kata Ziqri tidak mengalah.
“Dia ingat aku nak habiskan duit aku ni dengan bersedekah kat dia ke?” soal Daniel dengan cebikan bibir.
Ziqri ketawa kecil.
“Tak salah bersedekah. Bukankah memberi tu lagi baik dari menerima,” kata Ziqri.
Daniel merengus perlahan.
“Apa kata kau sedekah duit kau,” perli Daniel geram.
“Encik,”
Serentak mereka berdua berpaling ke arah suara itu. Budak lelaki itu sudah menadahkan mangkuknya untuk diisi duit.
“Bila masa pula dia ada kat sini? Bela jin ke ape?”
Ziqri tergelak mendengar kata-kata Daniel yang kelihatan geram itu.
“Bagi je lah. Tak nak bagi, cakap je takde,” kata Ziqri sambil mengeluarkan not sepuluh ringgit.
Daniel menjeling Ziqri. “Dia yang kaya,”
Tidak lama kemudian…
“Hoi, budak!” satu jeritan yang agak kuat dari arah kaunter pembayaran mengejutkan Ziqri dan Daniel. Siapa lagi kalau bukan pemilik restoran itu. Kelihatan pemilik restoran itu sudah memacu langkah kasarnya menghampiri mereka.
Ziqri dan Daniel berpandangan kaget. Pandangan mereka beralih pada budak lelaki yang sudah menunjukkan riak cemasnya.
“Nah!” Ziqri memasukkan not sepuluh ringgit itu ke dalam mangkuk budak lelaki itu lalu menunjukkan isyarat untuk pergi.
Budak lelaki itu membuka langkah pantas untuk keluar dari restoran itu.
Buk! Bunyi orang jatuh.
Semua pelanggan termasuk Ziqri dan Daniel memandang ke arah bunyi jatuh, manakala langkah pemilik restoran itu terhenti ditengah restoran. Seorang perempuan jatuh terduduk kerana dilanggar oleh budak lelaki itu. Seorang lagi perempuan sedang memandang budak lelaki itu dengan pandangan bengis.
“Ya Allah! Lufya! Heii! Buta ke!” tengking seorang perempuan kepada budak lelaki itu sambil membantu perempuan yang jatuh terduduk di situ.
Berderau hati Ziqri mendengar nama yang disebut oleh perempuan itu. Dia meneliti perempuan yang sedang dibantu oleh rakannya itu. ‘Lufya kawan Mar ke?’ Hatinya bertanya sendiri dan pandangannya tidak lepas dari terus memerhatikan mereka.
“Kau okay ke, Luf?” tanya perempuan di sampingnya itu setelah perempuan yang terjatuh itu selamat berdiri.
“Aku okay,” jawabnya lembut. Pandangannya meliar memandang sekeliling dan tanpa sengaja pandangannya terhenti pada wajah Ziqri. Wajahnya kelihatan membahang menahan malu. Dahinya kelihatan berkerut, kemudian satu senyuman tipis diberikan kepada Ziqri membuatkan Ziqri terpanar.
Budak lelaki itu bingkas bangun dengan wajahnya pucat bagaikan tidak berdarah. “M… maaf,”
“Maaf, maaf! Tengok sekarang, siapa susah!” jerkah Damya sebal.
Budak lelaki itu berdiri menikus ketakutan. Mangkuknya yang jatuh bersama duitnya itu dipandangnya sayu. Kecewa.
Lufya mengeluh perlahan. Faham sangat dengan perangai baran Damya itu. pandangannya terkunci pada duit syiling dan duit kertas yang bertaburan itu.
“Dah lah tu Damya. Dia cuma budak kecil yang tak tahu apa-apa. Kenapa nak tengking sampai macam tu,” tegur Lufya sambil menunduk dan mengutip satu persatu duit yang bertaburan itu.
Rata-rata pelanggan yang sedang memandang ke arah mereka termasuk Ziqri dan Daniel terkedu. Wajah Lufya yang tenang ketika mengutip duit itu, menjentik perasaan kagum dalam hati mereka.
Damya mengetap bibirnya tanda tidak puas hati dengan jawapan Lufya. Tambah lagi, kesudian Lufya membantu untuk memungut duit-duit yang bertaburan itu.
“Budak kecil kau kata? Budak kecillah kena didik! Biar berdisilin. Bukan dah tua Bangka, baru sibuk nak didik,” kata Damya geram. Dia menjeling budak lelaki itu.
Lufya yang sudah selesai memungut duit itu kembali menegakkan tubuhnya lalu menghulurkan mangkuk milik budak itu. Dia tidak peduli pada Damya dan mata yang melihat.
“Nah! Lain kali hati-hati tau. Tak semua orang suka kena langgar,” pesan Lufya diikuti senyuman nipisnya. Sempat dia mengeluarkan not seratus untuk diberikan kepada budak itu. Bertambah kagumlah yang melihat insiden itu.
“Terima kasih kak,” balas budak lelaki itu lalu pergi meninggalkan tempat itu.
Terbeliak mata Damya melihat Lufya yang mudah sekali memberikan wang kepada peminta sedekah itu. “Kau bagi banyak tu Luf?”
Lufya memandang Damya sekilas.
“Kenapa? Kau nak juga?” perli Lufya.
Damya mendengus kasar. “Banyak tu,” protes.
“Kita hidup dalam dunia ni, jangan terlalu mendongak langit. Tak selalunya kita kat atas. Ada masa kita perlukan bantuan orang lain,” kata Lufya, selamba menuturkan ayat itu sambil menjeling Damya dan juga pemilik restoran itu yang jelas tergamam. Malu.
Yang lain tertunduk malu. Ziqri tersenyum mendengar ayat itu manakala Daniel sudah terkedu. Malu!
Lufya melangkah meninggalkan Damya yang terkebil-kebil di situ. Lufya menghentikan langkah di hadapan pemilik restoran itu.
“Tuan bagi dia sepinggan nasipun, tuan takkan muflis punya. Kalau tuan lagi ikhlas, lagi banyak rezeki yang akan masuk. Tapi… kalau tuan tak nak berkongsi rezeki, tuan tutup je pintu restoran ni. Pelanggan tak masuk, pengemispun tak masuk. Habis cerita.” Lufya memerli lelaki india itu sambil menjungkit keningnya sinis.
Damya yang baru membuka langkah terhenti lagi sambil kepalanya digelengkan. Lufya,Lufya…
Pelanggan yang lain menghadiahkan pandangan sinis pada pemilik restoran itu membuatkan pemilik restoran itu merengus kasar lalu kembali ke kaunter permbayaran.
Ziqri dan Daniel yang dari tadi memerhati tergelak melihat wajah pemilik restoran itu. Masam mengalahkan cuka di dapur.
“Boleh tahan perempuan ni,” puji Daniel sambil memandang Lufya yang sudah duduk di sudut restoran itu.
“Cantik lagi,” sambung Daniel.
Terangkat kening Ziqri mendengar pujian yang terbit dari bibir Daniel itu.
“Tangkap cintan ke?” usik Ziqri sambil turut memandang ke arah Lufya.
Terbeliak mata Daniel mendengar ayat usikan Ziqri.
“Kau gila? Mana aku nak letak bini aku,” kata Daniel.
Ziqri tergelak kuat. “Pasanglah cawangan baru,”
“Yang seorangpun tak terlayan, nak tambah lagi satu memang cari bala,” balas Daniel.
“Nama dia Lufya.” Ziqri masih memandang ke arah Lufya dan Damya.
“Aku dengarlah tadi,” jawab Daniel.
Daniel menghadiahkan senyuman pada pelayan yang menghantar makanannya itu.
“Dia kawan, Mar,” kata Ziqri lagi.
Berkerut dahi Daniel mendengar ayat Ziqri.
“Apa dia? Kawan Mar? Maksud kau, Mar bini kau ke?” tanya Daniel sambil memandang ke arah Lufya.
“Ada Mar lain, kau kenal selain bini aku?” soal Ziqri malas. “Sah, sahlah Mar, bini aku,” sambungnya lagi.
Daniel tersengih dan mengangguk faham. “Aku tak tau pula, bini kau ada kawan sebaik tu. Seingat aku, kawan bini kau semuanya tak beradab,”
Ziqri diam. Dia akui perkara itu, tapi anggapannya pada Lufya berbeza.
“Dia kawan sekampung Mar. Hari tu kitaorang ada jumpa kat Pavillion. Mar sempat borak dengan dia. Kalau tak silap, dah lima tahun tak jumpa,”
Daniel diam memikirkan sesuatu.
“Eh! Kita ni nak cerita pasal masalah kau ke pasal kawan Mar? Atau kau dah jatuh cinta dengan kawan Mar pula?”
Ziqri diam kemudian mengeluh.
“Mar nak aku kahwin lagi satu,” kata Ziqri sambil tangannya naik menggosok tengkuknya.
Terbeliak mata Daniel mendengarnya.
“Biar betul!” Meninggi nada suara Daniel.
Serentak semua pelanggan yang lain memandang ke arah mereka.
“Shhhh... bisinglah!” Ziqri meletakkan jari telunjuknya di tengah bibirnya dan matanya dijengilkan tanda memberi amaran.
Daniel tersengih malu sambil memandang sekeliling mereka.
“Ops… sorry. Terlajak.”
“Banyaklah kau punya terlajak. Malu aku. Tau tak,” kata Ziqri. Dia menjeling Daniel tajam.
“Weii… untunglah kau. Dapat cawangan baru,” kata Daniel sambil menayangkan sengihan.
Ziqri mencebik. “Bukan cawangan, tapi bala!”
“Bala apa pulak? Kau mampukan?” soal Daniel.
“Ni bukan soal mampu atau tak,” keluh Ziqri.
“Habis tu?” Daniel memandang Ziqri hairan.
“Ini soal hidup dan mati aku. Mar pun aku tak mampu nak control, kalau tambah lagi seorang, tak ke huru hara hidup aku,” kata Ziqri.
Daniel diam sejenak.
“Alah, kau redah je lah,” kata Daniel.
“Redah, redah juga. Kau jangan ingat, poligami ni senang ke. Sape tah cakap, kalau poligami ni kaki sebelah dah masuk neraka. Kau nak?” Ziqri herot bibir ke tepi.
Daniel tersengih.
“Senang je. Kau berlaku adillah. Minta pendapat dengan orang yang berpengalaman. Tak pun, cuba tanya abah dengan umi kau. Mesti diorangpun nak. Yelah, Mar kan cerewet. Dah macam menantu hantu aku tengok. Boleh pula tinggikan suara kat umi dan abah kau.” Panjang lebar kata-kata Daniel itu.
Ziqri diam. Kata-kata Daniel itu menusuk hatinya sejenak.
“Aku tak tahulah. Penat nak hadap perangai dia tu. Ada laki, macam takde laki. Nak sangat hidup bebas. Kalau aku tahu macam ni jadinya, takdenya aku ajak dia kahwin,” kata Ziqri perlahan.
“Tulah! Dulu aku nasihatkan kau, kau boleh buat bodoh kat aku. Sekarang kau rasalah penangan kedegilan kau tu. Cinta pertama konon! Pui! Geli, bila aku ingat balik.” Selamba Daniel mengutuk kedegilannya tiga tahun lepas.
Ziqri tertunduk malu bila teringatkan kisah itu.
“Kau tahu kan macam mana baiknya Mar waktu tu,” kata Ziqri seakan mahu melindungi kebodohannya sendiri.
“Dari cara dia layan umi dengan abah kau pun, aku dah nampak perangai sebenar dia. Kau je terlebih buta dengan cinta dia. Sekarang… kau hadap sendirilah. Kalau rasa dah tak tahan, pulangkan cara baik. Terangkan pada mak bapa dia. Kalau dia izinkan kahwinpun, kahwin je. Dia yang minta,” kata Daniel panjang lebar. Sesekali dia menyuap makanannya ke dalam mulut.
Ziqri diam lagi. Dia kehilangan kata-kata untuk membalas Daniel. Apa yang dinyatakan dan dicadangkan oleh sepupunya itu, ada betulnya.
“Tapi… make sure calon isteri kau yang kedua berguna. Bukan jadi kawan Marsha berseronok. Kau yang naya. Lagipun, kau tu lelaki. Apa guna ada isteri kalau tak dapat nak layan kehendak kau. Sebulan bolehlah kau tahan. Ni dah berbulan-bulan. Ke… kau ada ‘makan luar’,” sambung Daniel menebak.
Terbuntang luas mata Ziqri mendengar tebakan Daniel itu. “Hish! Tak terfikir aku sampai macam tu. Memanglah aku ni jarang solat, tapi aku masih tahu halal haram,”
“Baguslah kalau macam tu. Kau jangan nak main-main. Karang kena HIV, kau juga susah,” kata Daniel lagi.
“Jauh otak kau pergi. Kau nampak aku ni teruk sangat ke?” Ziqri mencebik sambil memandang ke arah Lufya dengan Damya.
“Takdelah teruk sangat tapi, terlebih teruk adalah.”
Serentak ketawa Daniel meletus dengan ayatnya sendiri.
Ziqri mendengus perlahan. Satu pandangan tajam dihadiahkan pada Daniel.
“Kau jangan nak mainkan aku, Danny. Kang ada yang masuk ICU nanti,” kata Ziqri. Sebal!
“Yelah! Aku gurau je kot. Satu je aku boleh pesan kat kau. Dekatkan diri dengan Allah. Minta petunjuk,”
Ziqri diam. Dia tidak menafikan yang dia sudah lama tidak menunaikan solat. Semenjak dia berkahwin dengan Marsha hidupnya sedikit terpesong. Niat untuk membimbing Marsha juga terbantut kerana sikap Marsha yang suka mengelak setiap kali dia mengajak Marsha untuk bersolat. Lebih parah lagi, Marsha tidak berpuasa. Dia sendiri terkejut bila mengetahui perkara itu, ditahun pertama perkahwinan mereka.
Selesai sesi mengadu, Ziqri bangun bersama Daniel menuju ke pintu keluar. Dalam masa yang sama, Lufya dan Damya turut meninggalkan restoran itu menuju ke pintu keluar membuatkan mereka bertembung. Ziqri memerhatikan Lufya, namun Lufya memilih untuk menundukkan wajahnya tanda tidak rela diperhatikan.
“Hai cik Lufya,” tegur Ziqri membuatkan Lufya terdongak mendengar suara itu.
“Er… hai juga Encik Ziqri. Marsha sihat?” tanya Lufya lembut dan sedikit gemuruh kerana terkejut ditegur oleh suami rakannya.
Terangkat kening Damya mendengar pertanyaan Lufya itu. manakala Daniel sudah mencebik.
“Alhamdulillah sihat. Cik Lufya, sihat? Baru tadi saya dengar suara Cik Lufya. Tak sangka tengahari ni jumpa,” kata Ziqri, dengan senyumannya.
Lufya tersenyum kelat.
“Maaf Encik Ziqri. Saya ada kerja. Kirim salam kat Mar ye,” kata Lufya sambil melajukan langkahnya, meninggalkan mereka berdua sambil diekori oleh Damya dari belakang.
Daniel tersenyum mengejek.
Ziqri herot bibir ke tepi. “Sombong!”
“Bukan sombong, tapi dia menjaga adabnya sebagai seorang perempuan yang berkarisma,” bidas Daniel tanda tidak setuju dengan komen Ziqri tu.
“Macamlah kau kenal dia,” perli Ziqri.
“Suka hati kaulah Ziq. Aku nak balik tempat kerja dah ni. Terima kasihlah atas luahan kau tu,” perli Daniel pula.
“Hmmm….” Balas Ziqri malas.
Mereka akhirnya berpisah menuju ke destinasi masing-masing. Luahan yang diperdengarkan kepada sepupunya itu, hanyalah setakat luahan yang dia anggap tiada tindakan lanjut. Entah sampai bila hidup dia dengan Marsha begitu, dia sendiri tidak pasti. Dan sampai bila dia mampu bertahan, itu juga dia tidak tahu.
Share this novel