Get the app for full experience
PERASAAN gelisah menghantui Lufya, sebaik tiba di hadapan pintu apartment mereka. Jam di tangannya, sudah menunjukkan angka sembilan.
Dia risau, kalau Ziqri akan memarahinya. Apatah lagi dengan peristiwa tengahari tadi. Ditambahkan pula dengan kelewatannya pulang ke rumah. Sebenarnya, dia sudah memberitahu Ziqri, tentang kelewatanya. Tapi, Ziqri yang tidak membalas mesejnya.
“Apa nak buat ni?” Lufya berdecit perlahan. Sempat dia menggigit jarinya resah.
Dia mengangkat tangannya untuk mengetuk pintu, tapi Ziqri lebih laju membukanya. Lufya kaku berdiri di hadapan pintu, sebaik pintu itu terbuka luas.
Di hadapannya, Ziqri berdiri dengan dahi yang berkerut.
“Nak berdiri depan pintu je ke? Tak nak masuk? Atau… nak cuba tidur kat luar pula?”
Lufya menggigit bibirnya mendengar kata-kata Ziqri. Terasa tersindir mendengar kata-kata itu. Lufya kemudian mencapai jejari Ziqri untuk bersalaman.
“Abang marah ke?” tanya Lufya sambil memandang wajah lelaki itu.
Ziqri diam seketika kemudian menarik lembut tangan Lufya untuk masuk. Ikutkan hati, memang marah bila isteri keluar dengan lelaki lain. Tapi, Ziqri lebih memilih untuk bersikap professional. Dia tidak mahu terburu-buru menghukum. Dia yakin, Lufya bukan seperti itu.
“Abang tak marahpun,” jawab Ziqri. Nadanya lembut sahaja.
Lufya menunggu sehingga Ziqri selesai menutup pintu, dan mereka beriringan menuju ke sofa.
“Luf, minta maaf, sebab keluar dengan Hakim dengan balik lewat sangat.” Lufya mengucapkan permintaan maafnya, sebaik mereka berdua duduk di sofa itu.
“Abang tak marahpun. Cuma, abang tak sukalah, isteri abang keluar dengan lelaki lain. Kan tak manis…”
Lufya menunduk, bila menerima pandangan tersirat dari Ziqri. Sedar kesalahannya itu.
“Luf janji. Lepas ni, tak buat dah…”
Ziqri senyum. Tangan kanannya melingkari bahu Lufya. Selamba, pipi Lufya dikucupnya mesra.
“Pergi mandi. Busuklah Luf ni. Apa class, bos busuk…” usik Ziqri.
“Amboi… mengutuk nampak.” Lufya menjongket bibirnya ke atas sambil menjeling Ziqri.
“Tak kutuk sayang. Tapi… kenyataan,” balas Ziqri nakal. Sempat jarinya mencuit hidung mancung Lufya.
Lufya mencebik bibir.
“Sampai hati kata Luf busuk? Nak merajuklah,” kata Lufya dengan mulut yang dijuihkan.
Ziqri tergelak nakal. Jarinya pantas mengepit muncung mulut Lufya, membuatkan Lufya menjerit kecil.
“Abang… apa ni?” Lufya merengus perlahan. Tangan Ziqri itu ditepisnya lembut.
“Panjangkan lagi bibir tu. Biar abang sepit dengan penyepit ketam pula…” kata Ziqri lagi.
“Sepit ketam pula…” keluh Lufya.
Ziqri sembunyi senyum.
“Abang gurau je. Pergilah mandi,”
Lufya cebik bibir lalu bangkit dari duduknya. Ziqri, ditinggalkan sendirian di situ.
Lufya memuji sikap Ziqri yang tidak terlalu cepat melatah itu.
LOSYEN Enchanteur itu disapu rata, ke seluruh tangan dan kakinya, sambil matanya menghala pada Ziqri yang sibuk dengan Ipad kesayangannya. Kekhusyukan Ziqri menatap dan menatal Ipad di tangannya itu membuatkan Lufya bosan.
‘Workholic mamat ni,’ hatinya berkata sendirian.
“Pandang abang dari tadi kenapa sayang?”
Membahang wajah Lufya. Sepantas kilat, dia mengalih pandangan ke dinding. Dia tidak menyangka, Ziqri menyedari pandangannya. Malu!
“Mana ada pandang. Luf, pandang katil tu hah. Tak sabar nak tidur ni. Letih,” kata Lufya berdalih.
Tangan Ziqri berhenti bekerja, dan kepalanya di alihkan pada Lufya dengan keningnya sengaja di angkat nakal. Mengusik!
“Yeke?”
“Betullah…”
“Tak betul!”
Lufya berdecit.
“Kalau pandangpun, apa salahnya. Sentuh lagi tak salah,” usik Ziqri.
Lufya bangun dan beralih ke katil. Usikan suaminya itu, tidak dihirau. Dia mengambil tempat di sebelah Ziqri untuk melihat apa yang dilakukan oleh lelaki itu.
Jatuh rahangnya melihat permainan Clash of clans yang terpampang di skrin Ipad itu. Biar betul mamat ni.
“Abang main game?” tanya Lufya. Wajah Ziqri yang tenag itu di pandang sekilas.
“Ada larangan ke?”
“Takdelah… tapi, errr… dahlah, Luf, nak tidur,” kata Lufya, lalu mencapai tangan Ziqri dan menyalaminya. “Selamat malam. Assalamualaikum,” sambung Lufya. Dia menepuk bantalnya dan berbaring mengiring menghadap Ziqri yang masih lagi menghadap Ipadnya.
“Selamat malam. Waalaikumsalam,” jawabnya sambil menunduk dan mencium lembut dahi Lufya.
Lufya tersenyum menerima ciuman lembut itu. Terasa disayangi seketika.