TEKANAN demi tekanan yang datang, meresahkan Lufya. Dia menerima khabar dari Damya mengenai panggilan Imran dari stesen Tv. Bukan setakat itu, tapi juga mesej dan panggilan dari wartawan yang dahagakan gosip. Dia sengaja membiarkan semua email dan mesej itu tidak berbalas, memandangkan sehingga kini, Marsha dan Ziqri juga belum mengeluarkan sebarang kenyataan. Dia tidak mahu mencetuskan perbalahan apatah lagi memburukkan situasi.
“Anything, call me,” pesan Ziqri, ketika mereka berpisah di tempat letak kereta.
Lufya memandu menuju ke tempat majlis pelancaran produknya. Dia berharap agar pelancaran itu berjalan dengan lancar. Secara jujur, dia berat hati untuk memunculkan diri di majlis itu. Tambahan pula dengan gosip yang sedang bermaharaja lela ketika itu.
Ketika tiba di lampu isyarat, telefon bimbitnya menjerit lantang, minta untuk diangkat. Nama Damya tertera pada skrin telefon itu. Nasib baiklah dia sudah menyambungkannya dengan handsfree. Sekali tekan saja, suara Damya sudah kedengaran.
“Kau kat mana?” tanya Damya dengan nada resahnya.
“On the way nak ke sana,” jawab Lufya. “Kenapa?” tanyanya hairan.
Damya mengeluh perlahan. “Kau dah buka fac? Instagram?” tanya Damya ingin tahu.
Berkerut dahi Lufya mendengar pertanyaan berbaur kegelisahan itu.
“Tak… dah berapa hari aku tak buka semua tu,”
“Bagus! Untuk berapa hari ni, kau tak payah nak tengok semua tu. Kalau boleh, newspaperpun jangan beli,” kata Damya.
“Kenapa? Apa lagi gosip yang timbul?” tanya Lufya hairan.
“Tak payah tahulah. Nanti aku cuba jawab kat wartawan,” jawab Damya.
“Hmmm…” jawab Lufya ringkas.
“Cepat sikit. Ingat apa aku cakap. Jangan nak memandai buka semua yang aku dah larang. Aku tak nak kau terluka,” pesan Damya lagi.
“Okey Cik Damya. Aku tak buat,”
“Good! Aku letak dulu. Dah makin ramai yang datang ni. Artis jemputan kitapun dah sampai. Baik-baik drive,”
“Thanks a lot, Damya,” ucap Lufya.
“Small matterlah. Assalamualaikum,”
“Waalaikumsalam,”
Sebaik talian dipadamkan oleh Damya, Lufya membawa keretanya itu ke tepi. Rasa ingin tahu membuak-buak. Kenapa Damya beria tak nak dia buka semua tu. Apa lagi gosip yang tersebar? Persoalan itu takkan terjawab selagi dia tidak mencarinya sendiri.
Lufya menekan ikon Fac untuk mendaftar masuk. Selesai mendaftar masuk, laju jari telunjuknya menatal untuk mencari sesuatu. Pandangannya terkunci pada satu pautan yang bertajuk “DIA PERNAH RAMPAS KEKASIH SAYA”. Hatinya mula berdebar. Tubuhnya terasa bergegar seketika melihat kenyataan itu. Dia menekan pautan itu dengan penuh debaran.
Jantungnya seakan gugur melihat gambar Syikin, sepupunya. Matanya mula membaca setiap bait artikel yang disiarkan oleh blog itu. Dia mula sebak.
“Lufya Adelia pernah rampas kekasih saya, sampai mereka betunang. Tapi hubungan mereka taklah lama sangat. Sebab Lufya perempuan kotor. Tiada maruah. Saya kenal sangat dengan perangai perempuan yang tak bermaruah macam dia. Dia sanggup jual harga dirinya kerana wang ringgit. Saya ingatkan dia dah insaf. Tak sangka pulak, kali ni dia rampas suami kawan baik sendiri,”
Tubuhnya mengeletar saat membaca semuanya sehingga habis. Setiba di bahagian paling bawah artikel itu, satu lagi berita hangat yang memaparkan gambar Puan Hazimah.
“#HOT – Kami Sekeluarga Dah Buang Dia!”
Telefon di tangan Lufya terlepas dari pegangan. Bibirnya diketap kuat dan air matanya mula menitis. Dua artikel yang cukup menghancurkan hatinya sendiri. Mampukah dia menghadapi semuanya. Inilah kehancuran dirinya yang sebenar.
LUFYA mengesat sisa air matanya itu, setelah tiba di tempat letak kereta. Dia masih berusaha untuk menabahkan hatinya.
“Nampak tak betina tu? Bukan tu ke betina yang sondol laki orang tu?”
Sebaik menutup pintu kereta, suara seorang perempuan menjengah ke pendengaran Lufya. Tangkai hatinya seakan direnggut kasar, dan ditoreh-toreh sehingga meampakkan luka yang banyak. Dia tidak menoleh ke arah suara itu.
“Hah! Dia lah betina tu,” balas satu lagi suara perempuan.
“Hoi betina!” panggil salah satu perempuan itu dengan kasar.
Lufya tidak menoleh, tapi dia terus melangkah memasuki hotel itu.
“Hoi! Pekak ke? Aku panggil kaulah!” jerkah seorang perempuan.
Serentak lengannya ditarik kasar membuatkan dia terdorong ke belakang dan menghadap perempuan itu.
Lufya memandang kedua perempuan bertudung itu silih berganti sambil memperbetulkan kedudukannya. Seorang bertubuh tinggi lampai manakala yang seorang lagi berbadan gempal.
“Ada apa cik? Saya kenal kamu ke?” Lufya cuba utuk bertoleransi.
Mencerlung pandangan kedua perempuan itu padanya.
“Kau memang tak kenalpun. Tapi kami berdua kenal dengan perempuan perampas macam kau. Dasar model sampah!”
Mengeleter tubuh Lufya ketika mendengar hinaan itu.
“Jaga mulut cik berdua. Saya tak suka bergaduh,” tegur Lufya dengan nada bergetar.
Kedua perempuan itu ketawa sinis.
“Dengan kau tak perlu kot. Ikut hati, nak je kami kerjakan kau kat sini. Nasib baiklah tempat awam,” kata perempuan yang berbadan gempal itu.
Lufya melorek senyuman yang hambar untuk mereka berdua.
“Terima kasih!” ucap Lufya, lalu membuka langkah meninggalkan kedua perempuan itu. Dia berusaha menahan perasaannya sendiri. Hidupnya terasa dianiaya.
Dia menyandarkan tubuhnya ke dinding lif sambil menenangkan hatinya yang merawan. Dia tidak mahu kelihatan lemah dihadapan semua orang.
Share this novel